Oleh Dr. Nasir Hashim dan V. Selvam
Peristiwa perobohan lapan puluh satu (81) rumah penduduk Kg.Sg. Nipah pada 28hb. Jun 1999 adalah satu pencerobohan terhadap hak rakyat. Keangkuhan, kekejaman dan penganiayaan ini benar-benar mendedahkan kebencian golongan yang berkuasa terhadap golongan miskin. Walhal golongan miskin inilah yang telah mengorbankan jiwa raga mereka, demi membangunkan negara yang tercinta ini. Mereka adalah tulang belakang kepada ekonomi negara. Ramai yang tidak sedar dan ramai pula tidak ingin tahu.
Perobohan rumah berlaku selama dua hari berturut-turut. Perobohan yang kedua berlaku pada 17hb. Ogos 1999 kepada saki baki pondok yang ada kerana mereka tidak ada tempat lain untuk mendapatkan perlindungan. Harta benda hancur, tanaman dimusnahkan lagi. Siapa yang melihat kedua peristiwa ini pasti merasa hiba. Pemaju dengan penuh kuasa di tangan, mengarahkan Pegawai-Pegawai Pejabat Tanah dan Pegawai-Pegawai Polis supaya mengesan rumah mana yang harus dirobohkan dulu. Pendedahan penduduk terhadap penyelewengan yang berlaku tidak dipedulikan. Keseronokan meroboh rumah sudah menjadi lambang kuasa dan keangkuhan.
Sesungguhnya perobohan ini membelakangkan Resolusi Bangsa-Bangsa Bersatu yang dimeterikan pada 10hb. Mac 1993 (di mana Malaysia adalah salah satu anggotanya yang menandatangani Resolusi ini) jelas menegaskan bahawa perobohan rumah secara paksa adalah satu kezaliman yang mencerobohi hak asasi manusia. Pihak yang bekenaan harus mencari jalan untuk berunding. Kita bertempik sorak di gelanggang dunia antarabangsa mempertahankan keluhuran hak asasi manusia walhal kita menjadi hipokrit terbesar apabila kerajaan merestui perobohan rumah secara paksa di dalam negara sendiri.
Sejarah Penduduk Kg Sg Nipah
Sudah empat puluh (40) tahun mereka menduduki lereng bukit yang pernah menjadi tanah perkuburan dan hutan rimba. Inilah kampong mereka yang bernama Kg. Sg. Nipah. Bekas wakil rakyat YB Michael Chen pernah membenarkan mereka menerokai tanah ini dan pada 1977 YB G. Vadiveloo selaku ADUN BN kawasan Bukit Rajah telah merasmikan Balai Raya mereka. Mereka juga diberi segala kemudahan asas yang secara langsung mengiktiraf tempat kediaman mereka sebagai satu kawasan perkampungan. Pendek kata mereka lebih dikenali sebagai Peneroka Bandar dan bukan setinggan kerana mereka membangunkan kawasan ini dan berhak di atas tanah ini (‘Licensee in Equity’).
Gagal Dalam Mahkamah
Pada hari Jumaat 25hb. Jun 1999 penduduk Kg.Sg.Nipah gagal mengenepikan notis penyingkiran (‘Eviction Notice’) kerajaan Seksyen 425 Kanun Tanah Negara. Penduduk telah menggunakan Order 53 (‘Certiorari’). Penduduk mengalami kejutan pertama apabila hakim berpuas hati dengan sumpahan affidavit En Abdul Malek selaku Timbalan Pentadbir Tanah Petaling yang mengatakan tanah tersebut adalah milikan kerajaan. Hakim tidak mengarahkan En. Abdul Malek untuk mengeluarkan geran tanah asal Lot 198 dan Lot 161 sebagai bukti bahawa Lot-Lot tersebut benar-benar milikan kerajaan.
Kejutan yang kedua adalah apabila hakim mengatakan kepada peguam penduduk Kg. Sg. Nipah bahawa beliau tidak perlu melanjutkan lagi hujahannya (‘Submission’) kerana beliau (hakim) sudah siap dengan keputusan bertulis (‘written judgement’) terhadap kes ini. Kalaulah begitu apa gunanya kita mengadakan perbicaraan di mahkamah – sekiranya keputusan terhadap kes ini sudahpun ditentukan lebih awal lagi? Hingga sekarang peguam kami masih terkilan terhadap peristiwa yang mengejutkan ini. Tidak bolehkah hakim tunggu hingga habis hujahan dan rumusan akhir (‘submission’) tersebut? Apa yang menyebabkan hakim terdesak sangat untuk membuat keputusan? Tidakkah perbuatan ini menimbulkan kecurigaan terhadap kewibawaannya untuk bersikap adil? Adakah sesuatu yang luar jangkauan kami yang harus diketahui? Hingga ke hari ini kami masih belum menerima ‘Written Judgement’ yang kononnya dikatakan sudah siap pada hari perbicaraan tersebut (Jumaat 25hb. Jun 1999) dan kelambatan ini menimbulkan masalah kepada penduduk untuk membuat rayuan lanjut di mahkamah.
Hakim pula menegur penduduk bahawa mereka sepatutnya merayu kepada Pejabat Tanah menggunakan Seksyen 418 Kanun Tanah Negara dan bukan cuba membatalkan notis pengusiran di dalam mahkamah. Pada hemat kami usaha ini hanya boleh dilakukan sekiranya penduduk sudah pasti bahawa tanah ini adalah milikan kerajaan. Malangnya seorang pun tidak tahu siapa sebenarnya pemilik tanah ini. Memandangkan penduduk di dalam keadaan terdesak maka mereka menerima juga saranan hakim. Terlintas juga pada fikiran mereka bahawa cadangan hakim ini memberi makna bahawa Pejabat Tanah tidak boleh bertindak sehingga penduduk dapat mengemukakan rayuan Seksyen 418 tersebut. Malangnya tanggapan kami salah dan hakim pula tidak memberi kata putus tentang penangguhan perobohan rumah. Kalau rumah sudah roboh rayuan di mahkamah menjadi isu akademik dan lebih menguntungkan pemaju dan Pejabat Tanah.
Rayuan Kepada Pejabat Tanah Dan Menteri Besar Selangor
Maka penduduk membuat rayuan kepada Pejabat Tanah mengguna Seksyen 418 dengan harapan perobohan tidak berlaku hingga mereka dapat membuat rayuan lanjut di mahkamah. Rayuan seksyen 418 telah dibuat dan DO langsung tidak mahu menjawab surat rayuan mereka seolah-olah rayuan ini tidak wujud dan cadangan hakim adalah cadanagn kolot belaka. Pada masa-masa yang lepas, MB juga tidak menjawab surat-surat penduduk kampung. Mengikut amalan pentadbiran dan etika surat menyurat, segala tindakan ditangguhkan sehingga surat atau rayuan yang berkaitan dengannya sudah dibalas dan sudah selesai. Malangnya ini bukan amalan Pejabat Tanah. Cadangan hakim tidak dipedulikan dan rumah-rumah tetap dirobohkan. Begitulah nasib golongan miskin.
Akibat dari keputusan mahkamah, penduduk cuba bertemu dengan Menteri Besar di Pejabatnya tetapi gagal. Kemudian mereka cuba pula di rumahnya pada waktu malam. Pemangku OCPD ACP. Zulkapli telah datang dan mengugut menangkap penduduk sekiranya mereka tidak bersurai. ACP Zulkapli pasti sudah tahu nasib penduduk Kg.Sg. Nipah serta rancangan perobohan rumah yang akan berlaku pada 28hb. Jun 1999 kerana Kg. Sg. Nipah adalah di bawah jajahannya. Sekiranya beliau mempunyai perasaan perikemanusiaan, beliau seharusnya cuba membantu dan membuka jalan agar penduduk yang malang ini dapat bertemu dengan MB. Ini tidak berlaku dan penduduk tidak dapat bertemu dengan MB. Penduduk kampung terkilan dengan sikap pegawai polis ini.
Bukan itu saja, pada waktu pagi sebelum perobohan rumah, penduduk cuba lagi berjumpa Pegawai Daerah. Ceritanya sama. Ada yang memohon dan sujud kepadanya. Keangkuhan dan kekejaman ini amat menyedihkan. Pada Pegawai ini, penduduk kampung diibaratkan seperti sampah masyarakat yang harus dibuang jauh dari masyarakat umum. Soalnya di manakah orang kampung hendak pergi? Nampaknya semua tidak sabar lagi hendak merobohkan rumah. Mungkin perobohan ini sudah dijanjikan. Mungkin beliau juga sudah ada agenda tersendiri.
Penduduk juga bertemu dan menelefon pemimpin-pemimpin politik MIC sehari sebelum perobohan rumah. Malangnya pemimpin-pemimpin ini lebih banyak bersandiwara dan tuduhan palsu daripada melaksanakan kuasa ketegasan politik untuk benar-benar menyelesaikan masalah penduduk. Masing-masing ada kepentingan yang saling untung menguntungkan. Yang tetap menjadi mangsa adalah rakyat miskin.
Perobohan Rumah Secara Paksa
Hari Isnin, 28hb. Jun 1999 adalah hari penentuan kerana semua sudah tahu bahawa perobohan rumah akan berlaku. Penduduk, badan-badan NGO, badan politik dan peguam kami cuba memohon agar menangguhkan perobohan tersebut kerana peguam penduduk sudah berada di mahkamah cuba mendapatkan perintah menangguhkan perobohan tersebut. Yang paling berdegil dan tidak mahu beralah adalah Pegawai Pejabat Tanah seolah-olah maruah beliau akan terhakis sekiranya perobohan ini tidak dilakukan serta merta. Nasib dan penderitaan penduduk Kg. Sg. Nipah bukan keutamaannya. Lagi pun Pejabat Tanah memang tidak mahu penduduk merayu di mahkamah kerana ini akan menyulitkan lagi kerja-kerja mereka. Jelas bahawa perobohan ini harus dan patut dilaksanakan mengikut arahan. Arahan dari siapa?
Meroboh sebuah rumah mengambil masa 15 minit. Penduduk miskin pula mungkin mengambil masa 15 tahun untuk menyempurnakan rumah mereka. Mereka tahu asal usul kepingan kayu yang kini terlekat menjadi dinding rumah mereka. Pada mereka walaupun rumah mereka ini tidak bernilai bila dihitung dengan wang ringgit akan tetapi nilai emosinya tidak ada tolak bandingannya. Keangkuhan ini memang tidak harus wujud kerana sifat ini melanggar tata susila hidup. Yang menentukan tammadun dan kebanggaan sesuatu masyarakat adalah sifat kemanusiaannya dan bukan dengan kekejaman dan keangkuhan.
Di dalam keadaan yang cemas seperti ini, tidak guna cuba menghubungi wakil-wakil rakyat kerajaan atau pegawai tertentu kerana rakyat sudah tahu bahawa DO atau pihak-hak atasan akan menghilangkan diri; ataupun tidak dibenarkan mengggangu pegawai-pegawai tinggi kerana mereka sedang bersidang; ataupun kalau penduduk cuba menelefon mereka telefon bimbit mereka pasti sudah ditutup. Ada di antara mereka akan menjelma kembali selepas perobohan rumah dan cuba menonjolkan keikhlasan mereka, meluahkan perasaan simpati, memarahi pihak-pihak tertentu serta pelbagai lagi sandiwara politik yang menjijikkan.
Penduduk dan Rakan-Rakan Di Tahan
Maka kami ditahan. Ada disiram air kimia termasuklah kanak-kanak, belia, ibu-ibu dan orang-orang tua. Lima puluh satu (51) orang ditahan termasuk rakan-rakan NGO, ahli-ahli politik. Perobohan rumah-rumah penduduk Kg. Sg. Nipah disambung semula pada keesokan hari. Kesemua yang ditahan dibebaskan pada waktu malam kecuali tujuh (7) yang ditahan sampai keesokan hari. Semasa di dalam bilik lokap, kami juga diberi tahu bahawa pihak polis sudahpun bersiap-sedia untuk membantu perobohan rumah pada hari Jumaat 25hb Jun 1999 iaitu pada hari yang sama di mana kes penduduk masih dibicarakan di dalam mahkamah. Nampaknya pihak-pihak tertentu sudah tahu lebih awal lagi apa yang akan diputuskan oleh hakim pada hari itu. Keyakinan bahawa keputusan mahkamah akan memihak kepada pemaju dan Pejabat Tanah amat menakjubkan. Andainya Pejabat Tanah mendapat keputusan mahkamah pada awal pagi maka sudah tentu perobohan akan berlangsung pada hari itu juga. Malangnya kesibukan mahkamah menyebabkan keputusan diterima pada lewat pagi.
Selepas kami dibebaskan dari lokap polis, kami kembali ke Kg. Sg. Nipah dan cuba berunding lagi dengan pihak polis kerana peguam kami masih berusaha mendapatkan perintah bertulis dari mahkamah untuk menahan perobohan tersebut. Pihak polis menangguh kerja perobohan kerana sudah pun tiba waktu makan tengah hari. Penduduk menjadi riuh rendah dan beremosi memikirkan mereka sudah berjaya menghentikan perobohan. Kami pula masih belum menerima maklum balas dari mahkamah dan terpaksa menunggu pada pukul dua petang.
Polis Tayangkan Kuasanya
Pihak Polis datang kembali lebih kurang 1:30 petang (iaitu masih masa waktu rehat makan tengah hari) dan terus menjalankan tugas mereka. Mereka tidak sabar lagi dan tidak mahu tunggu hingga pukul 2:00 petang. Mungkin pemaju dan Pejabat Tanah takut keputusan mahkamah memihak kepada penduduk. Kali ini polis membawa lebih ramai lagi anggota FRU. Empat trak polis sudah sedia menunggu untuk menyumbat penduduk yang akan ditangkap. Pihak polis yang tidak berunifom mengusung rantai yang penuh dengan gari-gari sebagai satu pameran kuasa bertujuan untuk menakut-nakutkan penduduk kampung. Ada yang memakai baju Pejabat Tanah dan bersenjata kayu jenis ala Kung-Fu. Kalau kita melihat persediaan polis, kita akan mengatakan pihak polis sudah istihar perang terhadap penduduk kampung dan hanya menunggu peluang untuk membinasakan mereka. Kami tidak boleh buat apa-apa kerana masih menunggu berita dari mahkamah à hanya dengan perasaan sedih melihat rumah tumbang satu demi satu dari hasakan jentolak-jentolak.
Semoga kewarasan pemikiran dapat menerajui keazaman rakyat menentang kezaliman yang menimpa bumi yang tercinta ini.
Pemaju Mendapat Perlindungan Teristimewa
Pegawai-pegawai pemaju sentiasa ada di tempat kejadian dua hari berturut-turut dan sentiasa memberi arahan kepada pihak polis dan pihak Pejabat Tanah. Pemaju pula mendapat perlindungan yang teristimewa dari pihak polis. Mereka ini diapit oleh polis di dalam kereta jeep Pejabat Tanah BCX 505serta mendapat kawalan di sekeliling jeep. Jika Perdana Menteri dapat melihat telatah ini beliau tentu merasa tersinggung kerana sepatutnya perlindungan seperti ini adalah hak mutlaknya. Sekarang kita makin kenal siapa yang lebih berkuasa dan siapa yang menjadi pengampu dan kroni pemaju.
Soalnya kedua-dua (pemaju dan pegawai Pejabat Tanah) tidak boleh ada bersama pada masa kejadian ini. Kalau ini tanah pemaju apa halnya Pejabat Tanah buat disitu. Ini bukan tanah kerajaan. Sebaliknya kalau ini tanah kerajaan apa halnya pula pemaju buat disitu. Dia tidak boleh memberi arahan. Kalau dua-dua berada disitu – ini bermakna penyelewengan dan salahgunakuasa sudah berlaku.
Kenyataan MB Selangor Memalukan
Esok harinya MB Selangor membidas penduduk kampung di dalam akhbar tempatan ‘Sun’ dan ‘NST’, mengatakan:
- Tanah Kg.Sg. Nipah adalah tanah pemaju Tanjung Istimewa Sdn. Bhd.
- Perobohan yang dilakukan adalah sah
- Penduduk degil dan tidak mahu menerima tawaran pampasan dan tidak mahu duduk rumah panjang
- NGO dan parti politik tertentu buat kacau.
Sekiranya Tanah ini Milikan Pemaju …….
Soalnya sekarang, sekiranya tanah ini tanah pemaju dan sekiranya dia ingin mengusir penduduk kampong maka pemaju ini harus menggunakan tindakan sivil (‘civil proceedings’) seperti Order 89 untuk membicarakan kes ini di dalam mahkamah. Sekiranya pemaju berjaya barulah perintah mahkamah dikeluarkan untuk menyingkir penduduk kampong.
Sekiranya tanah ini tanah pemaju, kenapa Pejabat Tanah campurtangan membantu pemaju? Kenapa Pejabat Tanah menggunakan Kanun Tanah Negara Seksyen 425 walhal tanah tersebut bukan milikan kerajaan! Soalnya apakah keistimewaan pemaju Tanjung Istimewa Sdn. Bhd. hingga MB, ahli-ahli politik kerajaan, Pejabat Tanah dan pihak polis sanggup mengorbankan hak rakyat dan menghina mereka sebegini rupa? Adakah ada orang yang terpengaruh di dalam syarikat-syarikat ini seperti Hasan M Taib seorang pengarah di dalam kedua syarikat tersebut dan dipercayaii beliau adalah akli keluarga bekas Menteri Besar Selangor? Apakah hubungan mereka ini hingga sanggup bersifat kejam lalu memangsakan rakyat miskin? Sebenarnya pemaju sedar bahawa perbicaraan di mahkamah menggunakan Order 89 memakan masa yang panjang dan mereka juga sedar perobohan rumah menggunakan Kanun Tanah Negara Seksyen 425 tidak perlu mendapatkan perintah mahkamah. Kalau begitu lebih elok mereka menggunakan Kanun Tanah Negara daripada Order 89. Justeru itu mereka menggunakan kuasa, wang dan pengaruh agar hasrat mereka ini menjadi satu realiti.
Sekiranya tanah ini tanah pemaju, mengapa En. Abdul Malek, Timbalan Pentadbir Tanah Petaling pada 12hb. Mac 1999, di dalam mahkamah berani bersumpah di dalam affidavitnya mengaku bahawa tanah ini adalah tanah kerajaan dan bersumpah juga bahawa syarikat Tanjung Istimewa Sdn. Bhd. tidak membayar premium sebanyak RM 9,893,075.00 dalam tempoh tiga (3) bulan dari tarikh tawaran iaitu 26hb. Mei 1996. Ini bermakna sehingga 12hb. Mac 1999, Syarikat Tanjung Istimewa Sdn.Bhd. tidak membayar premium yang bernilai RM 9.9 juta. Justeru itu tawaran ini seharusnya sudah luput tiga tahun dahulu. Kalau begitu kenapa kerajaan masih sayang kepada sebuah syarikat yang tidak mengikut peraturan. Apakah keistimewaan syarikat ini hingga kerajaan sanggup bersekongkol dengan syarikat pemaju yang tidak bertanggungjawab ini dan sekaligus mengorbankan hak rakyat? Apakah hubungan terselindung yang harus kita ketahui dan patut pertikaikan?
Sebenarnya tanah ini adalah tanah rakyat bukan tanah Kerajaan ataupun tanah persendirian. Kerajaan diamanahkan untuk mengendalikan harta rakyat dan bukan memutarbelitkan atau menyeleweng harta rakyat. Siapa yang sebenarnya menipu – En. Malek atau MB? Kalau En. Malek bersalah beliau harus didakwa kerana menipu dan menghina mahkamah ! Beliau telah menyebabkan penduduk kalah di dalam mahkamah. Kalaulah MB bersalah beliau harus letak jawatan kerana membenarkan pemaju menguasai dan mempergunakan Pejabat Tanah.
Sekiranya Tanah ini Milikan Kerajaan ………
Sebaliknya pula, sekiranya tanah ini tanah kerajaan mengapa Syarikat Tanjung Istimewa Sdn Bhd. dapat miminjam wang dari Standard Chartered bersandarkan kepada Lot 198 dan Lot 161 di Kg Sg Nipah untuk Projek Subang Sentral dan berkuasa menggadaikan Lot-Lot tanah kerajaan ini kepada Multi-Purpose Bank Berhad pada 24hb. Januari 1998 dengan gadaian sebanyak RM7 juta. Kalau Lot-Lot ini bukan milikan Tanjung Istimewa Sdn.Bhd. bagaimana Bank-Bank tersebut dapat meluluskan pinjaman syarikat ini?
Juga, bagaimana Syarikat Tanjung Istimewa Sdn Bhd. dapat melaksanakan Perjanjian Jual Beli (‘Sales & Purchase Agreement’) dengan pelanggan-pelanggan pada 30hb Januari 1999? Bahagian ‘C’ dan ‘D’ di dalam Perjanjian Jual Beli tersebut menegaskan Syarikat Tanjung Istimewa Sdn Bhd adalah pemilik mutlak kepada Lot 198 dan Lot 161 berjumlah 18.2798 ekar iaitu kawasan Kg. Sg. Nipah. Perjanjian ini lengkap dengan ‘Lay-out Plan dan ‘Floor Plan’. Kalau begitu tanah ini adalah milikan pemaju dan kenapa pula Pejabat Tanah merobohkan rumah penduduk pada 28hb. Jun 1999 walhal kerajaan tidak berhak di atas tanah tersebut?
Fail Lot 198 dan Lot 161 Sudah Menjadi Milikan DO
Kami tidak berjaya mendapatkan fail terhadap milikan tanah kepada Lot 198 dan Lot 161 di Pejabat Tanah walaupun kami telah tiga kali berulang-alik ke Pejabat Tanah. Akhirnya kami difahamkan bahawa fail tersebut ada di dalam bilik DO dan tidak seorang pun berani mengambilnya. Soalnya apakah kepentingan DO terhadap tanah ini hingga dia sanggup perap fail tersebut di dalam biliknya. Selepas gagal mendapat maklumat ini kami terpaksa mengandaikan perkara yang buruk iaitu DO mungkin menyimpan fail ini untuk melindungi orang tertentu. Justeru itu kami masih tidak tahu siapa sebenarnya pemilik Lot 198 dan Lot 161.
MB Berkata Perobohan Rumah-Rumah Adalah Sah
Kami juga tidak faham bagaiman MB Selangor boleh mengatakan perobohan oleh Pejabat Tanah itu adalah sah dan sekaligus beliau pula mengatakan tanah tersebut adalah milikan pemaju. MB harus diajar dengan sejelas-jelasnya tentang perbezaan di antara Kanun Tanah Negara Seksyen 425 dan 526 dengan Order 89. Kami makin yakin wujudnya penyelewengan dan salahguna kuasa serta ada konspirasi yang menindas rakyat miskin.
MB Mudah Mengutuk
MB Selangor juga mengatakan penduduk berdegil dan tidak mahu keluar walaupun mereka ditawarkan RM 9000 dan kediaman rumah panjang. Tahukah MB bahawa:
- penduduk perlu bayar RM 6,500 sekira hendak duduk di Rumah Panjang
- tawaran asal harga rumah sudah berubah dari RM 25,000.00 menjadi RM 42,000.00 Mampukah penduduk membayar harga baru ini ?
- Lima puluh lima (55) keluarga langsung tidak mendapat tawaran pampasan dan rumah panjang.
Justeru itu kami mencabar MB siasat terlebih dulu sebelum membuka mulutnya agar martabatnya sebagai MB tidak dipersenda dan diperbudak-budakan lagi.
NGO dan Parti Politik Menjadi Sasaran
Badan NGO dan parti politik menjadi sasaran MB terhadap kekecohan yang berlaku. Penduduk telah menulis beberapa surat kepada MB terhadap penyelewengan dan salahguna kuasa yang mengorbankan rakyat miskin. Surat-surat memang tidak berbalas. Penderitaan rakyat tidak penting lagi bagi MB. Kalau MB mengambil berat tentang masalah rakyat perkara sejijik ini tidak akan berlaku dan sekaligus menjadi sumbang sekiranya badan-badan lain cuba membela nasib rakyat yang tertindas.
Apakah Sebenarnya Peranan YB Dato Lee Hwa Beng
Kami juga tidak senang dengan YB Dato Lee Hwa Beng kerana kami percaya beliau berhubung rapat dengan pemaju Tanjung Istimewa dan Pejabat Tanah. Tiga tawaran yang di buat oleh pemaju pada 1996, 1997 dan 1998 adalah melalui YB Dato Lee Hwa Beng. Yang aneh sekali adalah setiap kali tawaran-tawaran dibuat maka ianya disusuli dengan notis mengosongkan kawasan – notis seksyen 425 Kanun Tanah Negara dari Pejabat Tanah. YB Dato Lee Hwa Beng adalah ahli majlis MPSJ dan mempunyai pengaruh besar di Pejabat Tanah. Ada yang mengatakan pemaju ingin berunding tetapi YB yang berdegil. Kenyataan ini mungkin di sengajakan untuk mengelirukan penduduk kampung.
Kami difahamkan bahawa seorang akli keluarganya yang bernama Lee Hwa Yang adalah pengarah syarikat pembinaan yang bernama Topaz Alliance Sdn. Bhd. dan kini menjadi kontraktor kepada Tanjung Istimewa Sdn Bhd untuk memajukan kawasan Kg. Sg. Nipah. Penduduk Kg. Sg. Nipah mengenalinya kerana beliau sering masuk kampung.
Penduduk Keliru Terhadap Penangkapan Polis
Kesemua mereka yang ditahan telah dibebaskan dengan jaminan polis. Di dalam kertas jaminan polis tidak disebutkan di bawah seksyen mana kami di tahan. Justeru itu penahanan kami adalah disengajakan dan dianggap tidak sah kerana seseorang itu seharusnya di beritahu di bawah seksyen apa yang membolehkan dia ditahan. Kami percaya penangkapan ini menyenangkan lagi kerja-kerja Pejabat Tanah dan Pemaju untuk merobohkan rumah. Kami juga telah membuat aduan polis terhadap peristiwa yang berlaku dan membabitkan lima penama iaitu Dato Abu Hassan Omar selaku Menteri Besar Selangor; Hj.Emran selaku Pegawai Daerah Petaling; En. Nasir Khan selaku Timbalan Pegawai Daerah; En. Malek selaku Timbalan Pentadbir Tanah Daerah Petaling dan ACP Zulkapli selaku Pemangku OCPD Shah Alam. Aduan kami berkaitan dengan komplot yang dilakukan untuk mengusir secara paksa penduduk Kg. Sg. Nipah; memutarbelitkan keadaan fakta-fakta terhadap penduduk Kg.Sg. Nipah; salahguna kuasa dan jentera kerajaan untuk mengusir secara paksa demi membela syarikat Tanjung Istimewa Sdn. Bhd. dan Million Horizons Development Sdn Bhd.(kedua-dua syarikat ini mempunyai pengarah-pengarah dan setiausaha yang sama). Maklumat–maklumat yang berkaitan dengan aduan ini telah dilampirkan bersama dan ditandatangi oleh empat orang. Aduan ini telah dibuat di Balai Polis Seksyen 11 Shah Alam.
Pemangku OCPD Tidak Membenarkan Pengesahan Salinan Aduan Polis
Aduan kami telah diterima dan kami memerlukan pengesahan salinan repot yang ada bersama kami. Kami telah diberi tahu bahawa salinan hanya boleh disahkan dengan syarat pemohon menulis kepada Pemangku OCPD. Sepanjang pengalaman kami berhubungan membuat aduan polis, inilah pertama kali kami mendapat arahan yang ganjil. Kami juga pernah membuat beberapa aduan polis terhadap OCPD di dalam balai polis masing-masing dan tidak menerima syarat yang ganjil seperti ini. Apatah lagi pegawai yang membuat arahan adalah pegawai yang dituduh di dalam aduan polis ini. Kami juga telah mencatatkan kesalan kami terhadap tindakan Pemangku OCPD di dalam aduan yang sama.
Keganjilan ini makin bertambah apabila satu di antara kami yang menandatangani adaun polis tidak dibenarkan membeli aduan tersebut kecuali Dr. Nasir. Kriteria apa yang digunakan? Sepatutnya keempat penandatangan ini berhak membeli repot tersebut. Arahan ini juga datang dari Pemangku OCPD. Soalnya mengapa melakukan demikian. Tidakkah ini meyakinkan lagi kepada kami ada sesuatu yang tidak kena bersabit dengan perobohan rumah di Kg. Sg. Nipah? Ataupun adakah halangan ini harus dianggapkan sebagai cara halus untuk mengugut dan menakutkan kami?
Sikap Polis yang tidak Profesional
Dr. Nasir telah dipanggil untuk membuat statement 112 bersabit dengan aduan kami. Yang anehnya beliau diberi tahu oleh Chief Inspector bahawa tugasnya adalah merakamkan statement bersabit dengan aduan terhadap pegawai polis. Itu sahaja. Siapa pula akan membuat siasatan yang berkaitan dengan orang lain yang disebutkan di dalam aduan polis ini?
Yang mengecewakan lagi apabila polis mengikut perintah tanpa menggunakan budibicara. Di dalam kes Kg Sg Nipah, tidak bolehkah pihak polis merujuk kepada Peguam Negara atau peguam Polis yang untuk mengkaji kesahihan sesuatu permohonan perlindungan dari Pejabat Tanah, pemaju atau sesiapa pun? Misalnya berusaha memastikan bukti yang nyata terhadap milikan harta atau tanah; makna dan kuasa yang ada pada seksyen tertentu didalam Kanun tanah Negara; kuasa yang ada pada Order 89 dan lain lain lagi. Dengan cara ini pihak polis boleh membuat teguran tertentu terhadap mereka yang bekenaan dan bertindak di atas kebenaran dan bukan semata-mata atas arahan. Justeru itu kalau tanah ini dimiliki oleh kerajaan maka pihak polis seharusnya tidak akan membenarkan pemaju berada di dalam kawasan perobohan rumah. Ataupun sekiranya tanah ini adalah milikan pemaju maka pihak polis seharusnya tidak membenarkan kakitangan Pejabat Tanah berada di kawasan perobohan rumah. Sekiranya Kakitangan Pejabat Tanah dan kakitangan pemaju ada bersama ini bermakna pihak polis tidak tahu undang-undang milikan tanah ataupun pihak polis bersekongkol dengan pemaju dan Pejabat Tanah untuk merobohkan rumah rakyat yang miskin
Pada masa-masa yang lepas perkara seperti ini pernah kami utarakan kepada CPO Selangor dan Kuala Lumpur dan juga Pegawai-Pegawai Tinggi di Bukit Aman. Malangnya kami tetap kecewa dan tetap terkilan dengan tindakan-tindakan polis hingga kami terpaksa mempertikaikan hubungan polis dengan pihak-pihak tertentu kerana pihak Pejabat Tanah dan Pemaju menjadi angkuh dan kurang ajar apabila dilindungi oleh pihak polis.
Kami Kecewa Dengan Sikap Penolong Pengarah ACA
Kami juga telah membawa aduan kami kepada ACA Selangor dan membentangkan segala maklumat terhadap pemaju, gambar, keratan akhbar, dokumen gadaian, isu Kanun Tanah Negara, Order 89, dan lain-lain. Selepas itu, satu dari ahli kami telah menemui Encik Rathakrishnan selaku Penolong Pengarah ACA untuk mendapat keterangan lanjut terhadap laporan kami. Beliau pula hendakkan bukti-bukti yang sahih dan nyata dari kami barulah mereka boleh bertindak. Kalau sudah ada bukti yang lengkap tidak payahlah kami pergi ke ACA. Lebih elok kami dakwa terus!!! Apa yang dapat kami rumuskan adalah pegawai ini lebih selesa memanaskan saja kerusi empuk di dalam pejabat ACA daripada melakukan siasatan. Tugas kami adalah untuk membawa kes ini kepada pegawai ACA dengan harapan bahawa apabila ada maklumat yang berunsur penyelewengan beliau harus siasat dengan lebih mendalam lagi kerana ACA berkuasa untuk soal siasat sesiapa saja atau mendapat apa jua maklumat. Kami merasakan maklumat yang kami perolehi dapat digunakan sabagai tindakan awal bagi membuat siasatan lanjut. Ataupun adakah siasatan tidak dapat dilakukan kerana mereka yang terlibat mempunyai pengaruh besar hinggakan ACA tidak sanggup memulakan siasat dan memerlukan arahan dari atas? Tidakkah pendirian dan kealpaan pegawai tinggi ini dapat menggambarkan seolah-olah ACA menghalalkan rasuah dan salahguna kuasa?
Perobohan Rumah Kg Sg Nipah untuk Kali Kedua
Pada 17hb. Ogos 1999, Kg. Sg. Nipah diroboh untuk kali kedua. Turut hadir adalah ACP Zulkapli selaku Pemangku OCPD dan pegawai-pegawai polisnya; pegawai-pegawai Pejabat Tanah dan kakitangannya; Jentolak-jentolak JKR dan pemaju; pemaju dan samseng-samsengnya; seorang bekas Inspektor Bernard Tan yang kini menjadi talibarut pemaju dan ramai orang luar yang tidak berunifom. Penduduk kampong pernah membuat aduan polis terhadap ugutan Bernard Tan terhadap orang kampong.
Ini bermakna segala aduan-aduan polis, aduan ACA, hubungan telefon dengan Bukit Aman, liputan akhbar, himpunan beramai-ramai di Pejabat Menteri Besar untuk mendedahkan kegiatan rasuah, tidak mendapat perhatian seolah-olah ada konspirasi besar ataupun sikap tidak peduli terhadap masalah rakyat. Cuba fikirkan kepada siapa lagi rakyat hendak mengadu nasib!! Kami mempertikaikan lagi kewujudan pemaju dan samseng-samseng mereka bersama dengan pegawai-pegawai Pejabat Tanah di Kg Sg Nipah. Malangnya keangkuhan pegawai-pegawai Pejabat Tanah, pemaju dan pihak polis mengatasi segala-galanya. Jelas mereka yang berharta dan berkuasa bersama dengan kroni-kroni mereka sudah hilang pedoman. Perkataan-perkataan seperti ‘kemanusiaan’ dan ‘keadilan’ tidak wujud lagi di dalam jiwa mereka ini.
Nampaknya rakyat terpaksa mengharapkan kepada diri sendiri dan bukan lagi kepada agensi-agensi kerajaan dan pemimpin kerajaan. Mereka dikejutkan dengan kesedaran untuk melibatkan diri secara langsung di dalam arena politik demi menentukan nasib diri dan negara mereka lalu mengikis segala najis-najis rasuah dan salahguna kuasa di dalam negara yang tercinta ini. Pada penduduk kampung Hari Kemerdekaan harus ditukar menjadi Hari Penjajahan rakyat sendiri. Kami tetap mencabar semua pihak membuktikan bahawa apa yang telah kami sebutkan adalah tidak benar dan tidak pernah berlaku.
Samseng-samseng Pemaju Memukul Penduduk Kg Sg Nipah
Pada 19hb. Ogos 1999 lebih kurang pukul 11:30 pagi saya mendapat satu panggilan dari rakan kami mengatakan Ketua penduduk Kg. Sg. Nipah dan rakan-rakannya telah dipukul oleh gangster-gangster pemaju di dalam kawasan kampung sendiri. Saya akhirnya dapat menghubungi Bukit Aman lebih kurang 12:15 petang untuk membuat aduan dan pegawai ini mengatakan dia akan menghubungi Balai Polis Seksyen 11. Saya juga menghubungi Ketua penduduk kampung saudara Mohan untuk mendapatkan keterangan lanjut. Beliau mengatakan sudah lebih satu jam mereka memanggil polis tetapi masih belum tiba. Cukup sayu hati ini. Kami percaya sekiranya pemaju yang memanggil polis maka sudah pasti pihak polis akan tiba serta merta membawa trak-trak yang dipenuhi dengan anggota polis. Apa lagi yang harus lakukan untuk mendapat perhatian bahawa mereka dibelasah, dianiayai dan dizalimi?
Pada waktu petang penduduk-penduduk Kg Sg Nipah dibelasah lagi sekali oleh samseng-samseng pemaju. Penduduk kampung bertindak balas untuk mempertahankan diri. Maka berlakulah pergaduhan. Penduduk membuat beberapa aduan polis di Balai Polis Seksyen 11. Selepas itu wakil dari pemaju berpura-pura ingin berunding dan penduduk sudah tidak yakin dengan tawaran ini.
Polis Melindungi Samseng-Samseng Pemaju
Lebih kurang pukul 10:00 pagi pada 21hb. Ogos 1999, pihak polis yang diketuai oleh Chief Inspektor Atni datang bersama dengan polis bersenjata dan lebih kurang 20 samseng-samseng pemaju. Alasan yang diberi adalah beliau diarahkan oleh Pemangku OCPD untuk melindungi golongan ini. Samseng yang datang tidak membawa alat dan pakaian untuk bekerja. Pemaju atau pegawainya sendiri tidak hadir dan siapa pula hendak mengarah mereka ini bekerja kecuali Chief Inspector Atni sendiri. Sebelum ini, pada 20hb. Ogos 1999 lebih kurang 11:30 malam, kami telah membuat aduan polis terhadap Chief Inspector Atni, di Balai Polis Seksyen 11 yang kami syaki bersekongkol dengan wakil pemaju iaitu bekas Inspektor Polis Bernard Tan. Penduduk mempertikaikan kehadiran Atni dan beliau dengan angkuh mengatakan beliau akan menahan sesiapa saja yang menghalang pekerja-pekerja pemaju. Kehadiran Atni menimbulkan ketegangan memang disengajakan oleh Pemangku OCPD. Beberapa minit kemudian lebih banyak lagi kereta dari luar masuk ke kawasan Kg Sg Nipah dan penduduk mengatakan mereka ini adalah samseng-samseng dari Kuala Lumpur. Maka kami tidak syak lagi bahawa Chief Inspektor Atni di arahkan untuk melindungi samseng-samseng pemaju. Mungkin tujuan utama adalah untuk menimbulkan kacau bilau di dalam kampung dan seterusnya menahan penduduk kampong dan mungkin penduduk kampong akan di tuduh merusuh.
Apabila kami sedar kemungkinan ini maka kami terus memanggil IPK Selangor dan Bukit Aman mempertikaikan kehadiran Atni. Akhirnya Chief Inspektor Nazri datang ke kampong dan ingin tahu siapa wakil pemaju di antara ramai orang tadi. Tidak sesiapa pun ingin mengaku. Beliau terus menghubungi pemaju melalui telefon dan tidak membenarkan pemaju masuk kampung selagi mereka tidak memiliki geran tanah dan tidak mempunyai perintah mahkamah Order 89. Chief Inspektor Nazri meninggalkan Kg Sg Nipah tanpa menghubungi Chief Inspektor Atni yang ada di situ. Selepas itu Atni dengan pasukan polisnya beredar bersama samseng-samseng yang sudah meningkat jumlah menjadi lebih kurang 60 orang.
Perobohan Rumah Yang Ketiga
Pada 24hb. Ogos polis bersama dengan pemaju dan samseng-samseng telah merobohkan pondok-pondok penduduk Kg Sg Nipah dan menahan beberapa penduduk kampong termasuk ketua mereka saudara Mohan. Mereka di tahan lebih kurang pada 10:00 pagi kerana meminta pemaju menunjukan dokumen geran milikan tanah atau perintah mahkamah. Mereka ditahan oleh Pemangku OCPD ACP Zulkapli. Sehari sebelum kejadian ini penduduk kampung telah pun membuat aduan polis terhadap ugutan pemaju untuk mencerobohi kampung. Nampaknya pemaju ini memang berpengaruh dan berkuasa.
Penganiayaan dan Niat Jahat Pihak Polis
Lima jam selepas di tahan, polis terus cuba mendapatkan lanjutan tahanan (reman) selama 6 hari di Mahkamah Majistret Shah Alam. Majistret telah menolak kerana permintaan polis adalah salah dari sisi perlembagaan negara. Mereka boleh memohon untuk mendapatkan reman selepas 24 jam dan bukan selepas 5 jam dalam tahanan. Polis diarahkan untuk membebaskan penduduk kampung pada esok harinya kerana majistret sedar niat jahat pihak polis. Tindakan polis ini memang membayangkan unsur-unsur penganiayaan.
Pada masa itu kami berada di Bukit Aman untuk membuat aduan terhadap Pemangku OCPD Seksyen 11 dan CPO Selangor. Kami difahamkan Bukit Aman akan mengambil alih penyiasatan terhadap mereka yang dituduh. Mudah-mudahan penduduk dapat pembelaan yang sewajarnya. Kalau tidak kami akan kempen seluruh pelusuk negara dan dunia terhadap kekejaman yang dasyat ini.
Malangnya, niat jahat ini berlarutan. Lebih kurang pukul 10:30 malam dua penduduk kampung yang berada di lokap termasuklah ketua penduduk telah di gari dan dibawa ke Kg Sg Nipah dan seterusnya dibawa ke sebuah rumah di Segambut. Kawan- kawan kami telah mengekori kereta tersebut. Kami syaki pihak polis berniat jahat dan penduduk terus membuat aduan polis. Undang undang lokap tidak membenarkan seseorang di dalam lokap di bawa keluar kawasan dari 6 petang hingga 8 pagi. Soalnya berapa banyak lagi aduan polis harus kita laporkan untuk mendapat perhatian pihak atasan? Kami telah membuat lebih kurang 100 aduan polis dan pada hemat kami tidak ada satu tindakan pun dilakukan untuk menyiasat aduan kami. Di mana letaknya keadilan? Salahkah kalau penduduk mengesyaki polis menyalahgunakan kuasa dan bersubahat dengan pemaju?
Polis Mengingkari Perintah Majistret
Soalnya, polis tidak membebaskan penduduk kampung sepertimana di arahkan oleh majistret. Jangkamasa tahanan 24 jam untuk disiasat sudah habis dan mereka masih belum didakwa atau dibebaskan. Ini bermakna mereka ditahan secara haram dan hak asasi mereka telah dicabuli oleh pihak polis. Selepas melebihi 24 jam di dalam tahanan itu mereka dibawa ke Mahkamah Majistret yang lain pada lebih kurang 3:00 petang untuk didakwa di bawah Seksyen 148 dan di ikat jamin pada pukul 4:00 petang. Ini bermakna wang jaminan tidak dapat dibayar kerana pejabat sudah tutup. Maka mereka terpaksa bermalam lagi di lokap. Kami percaya kesemua tindakan polis ini memang disengajakan dengan tujuan untuk menganiayai penduduk kampung.
Dua Penduduk Kampung di Pukul Lagi Oleh Samseng-samseng Pemaju
Selepas wang jaminan dibayar dan penduduk pada keesokan hari mereka balik ke Kg Sg Nipah untuk mengutip saki baki harta benda mereka, maka dua di antara mereka dipukul oleh samseng-samseng pemaju, termasuk ketua kampung Mohan. Penduduk menelefon polis.
Ketua kampung dipukul dengan kayu di kepalanya dan terus pingsan. Yang satu lagi mengalami kecederaan teruk dan kedua tangannya patah. Mereka juga ditendang dan direjam dengan batu. Mereka dikejarkan ke hospital dan terlantarlah mereka untuk beberapa hari di dalam hospital tersebut. Seperti biasa polis tidak datang dan apabila mereka datang beberapa jam kemudian mereka terus pergi berbual-bual dengan samseng-samseng tersebut. Samseng-samseng yang memukul penduduk kampung masih ada di situ dan tidak gentar dengan kehadiran polis kerana mereka tahu bahawa pihak polis tidak akan menangkap mereka. Begitulah keangkuhan samseng-samseng pemaju dan begitulah amalan polis. Maka hilanglah keyakinan rakyat terhadap pihak polis yang kononnya menjaga keselamatan rakyat.
Konspirasi Yang Menghancurkan Rakyat Miskin Dan Negara
Justeru itu dengan beberapa peristiwa ini, kami berpendirian bahawa penduduk Kg.Sg. Nipah telah menjadi mangsa di dalam percaturan merebut tanah penduduk. Apabila penduduk mempertikaikan penyelewengan yang berlaku maka timbullah satu konspirasi cuba menghancurkan mereka. Maka jentera kerajaan, ahli-ahli politik dan kroni-kroni mereka akan digunakan untuk memaksa rakyat tunduk kepada kehendak mereka yang berkuasa dan berharta. Maka berlakulah kekejaman terhadap golongan miskin. Konspirasi dan kepincangan yang berlaku amat memalukan dan sudah menjadi penyakit barah yang makin merebak, menghisap dan menghancurkan diri, keluarga, masyarakat dan kemakmuran negara.[1]
****
Dr.Mohd Nasir Hashim, salah seorang pengasas Parti Sosialis Malaysia,merupakan pengerusi Parti Sosialis Malaysia sejak penubuhannya, tahun 1998. Beliau merupakan bekas Ahli Dewan Undangan Negeri kawasan Kota Damansara di Selangor dan juga merupakan bekas Pengerusi INSAN dan Institut Kajian Sosial. Beliau pernah ditahan semasa Operasi Lalang pada 1987, selama 15 bulan.
[1] Penduduk Kampung Sungai Nipah akhirnya setelah 5 tahun dirobohkan rumah pada 2003 telah ditawarkan rumah kos rendah di Pangsapuri Sri Kayan yang dibina atas tapak sama kawasan bekas Kampung Sungai Nipah iaitu di Taman Pinggiran USJ kini dengan harga RM42 000 seunit. Kerajaan negeri Selangor telah membuat polisi untuk memberikan subsidi sebanyak RM7 000 bagi setiap unit rumah untuk penempatan semula peneroka bandar menjadikan harga seunit hanya RM35 000. Penduduk Kampung Sungai Nipah tidak diberikan subsidi sama sebagai hukuman dan pengajaran kepada mereka kerana bangkit melawan kezaliman Kerajaan Negeri Selangor ketika itu.