Untuk selama lebih 22 tahun, pekerja-pekerja Ladang Kirby, Labu, Negeri Sembilan, sering mendapat janji bahawa rumah mereka akan dibina. Ramai juga ADUN dan pemimpim parti politik yang datang melawat ke ladang tersebut. Biasanya janji-janji ini semakin kerap ditaburkan pada masa pilihanraya, tetapi setelah selesai setiap pilihanraya, janji itu menjadi basi.
Sejak zaman pemerintahan Barisan Nasional (BN) lagi, mereka kerap kali dijanjikan bahawa ruman teres akan dibina untuk mereka. Mereka juga dijanjikan bahawa rumah itu kena beli dengan harga rumah kos rendah, iaitu pada awalnya RM35 ribu, kemudian menjadi RM42 ribu, dan kemudian lagi meningkat ke RM80 ribu. Selain itu, pihak tuan tanah ladang pun sering membuat ugutan dan pernah mengeluarkan notis pengusiran beberapa kali. Pernah juga dipotong bekalan air dan sebagainya. Semua masalah ini dihadapi dengan bantahan daripada penduduk-penduduk ladang.
PSM telah bersama masyarakat ini untuk satu jangkamasa yang lama, dan pernah juga tinggal di rumah bekas pekerja ladang ini serta mengadakan program pendidikan dan sebagainya. Namun, masalah utama adalah masalah pekerjaan dan perumahan tetap kerana gaji mereka tidak cukup untuk membeli sebuah rumah mampu milik memandangkan harga rumah hari ini adalah sekitar RM300,000.
Namun, penantian ini berakhir. Setelah menanti selama 22 tahun, akhirnya pada 27 Januari 2022, 35 orang bekas pekerja Ladang Kirby mendapat surat pengesahan jaminan (letter of undertaking) daripada pemaju New Times Development Sdn. Bhd. yang menyatakan bahawa perjanjian jual beli (S&P) akan ditandatangani dalam masa 6 bulan dan rumah untuk mereka akan disiapkan dalam tempoh 2 tahun. Saiz rumah ialah 20 x 60 kaki. Pekerja hanya perlu membayar RM36 ribu sahaja dan bakinya diselesaikan melalui skim sewa beli. Kerajaan Negeri Sembilan melalui MBI (Menteri Besar Negeri Sembilan Incorporated) akan menyediakan subsidi sebanyak RM44,000. Selain itu, sewa sebanyak RM500 sebulan diberikan kepada mereka yang tinggal di ladang sekarang untuk berpindah keluar sehingga rumah mereka siap dibina.
Yang cantiknya adalah, rumah baharu mereka akan dibina di atas tapak yang sama dengan rumah ladang yang dihuni mereka sekarang.
PSM telah bersama penduduk Ladang Kirby untuk memperjuangkan hak perumahan pekerja ladang ini selama lebih dua dekad, iaitu sejak zaman pemerintahan BN lagi. Namun, terdapat beberapa rintangan pada awalnya dari segi harga kos rumah, tempat alternatif dan tarikh berpindah keluar. Isu paling pokok adalah pekerja tidak selesa untuk keluar dari ladang tanpa satu perjanjian yang boleh digunapakai di mahkamah. Walau bagaimanapun, rintangan terakhir ini pun selesai dengan perjanjian dan surat jaminan yang diberikan oleh pemaju yang telah disemak oleh peguam pekerja.
Akhirnya satu penyelesaian yang baik tercapai, memandangkan harga rumah di pasaran sekarang lebih RM300 ribu.
Ucapan terima kasih diberikan kepada Kerajaan Negeri Sembilan, Menteri Besar Dato’ Seri Haji Aminuddin bin Harun, dan juga Ahli EXCO Kerajaan Negeri Sembilan Arul Kumar, yang telah memainkan peranan penting dalam rundingan dan menyelesaikan masalah ini, termasuk isu penempatan semula kuil. Tidak lupa juga pada Datuk Lau Chin An, pengarah syarikat pemaju yang telah menyelesaikan isu ini dengan baik.
Ini adalah satu penantian yang panjang dan akhirnya mereka pulang dengan satu kertas yang ada nilai harga. Kini semua pekerja akan keluar dari rumah estet mereka sekarang pada bulan Februari 2022 untuk membolehkan projek perumahan mereka bermula.
Bagi PSM, setiap ladang di Malaysia harus mempunyai skim perumahan tetap untuk pekerja yang diberi subsidi penuh, kerana kaum pekerja ialah antara golongan yang banyak berkorban untuk pembangunan ekonomi kita. Hidup rakyat!
==========
S. Arutchelvan ialah Timbalan Pengerusi Parti Sosialis Malaysia (PSM).
==========
Dapatkan informasi terkini mengenai Parti Sosialis Malaysia (PSM) sekarang dengan mengikuti saluran Telegram PSM.