KUALA LUMPUR, 5 Okt – Gabungan Marhaen akan menganjurkan #HimpunanMarhaen2021 pada pertengahan Oktober ini bersempena Hari Antarabangsa untuk Pembasmian Kemiskinan.
Himpunan tersebut merangkumi beberapa siri forum kebangsaan secara talian mulai 12 Oktober dan diakhiri dengan konsert Malam Marhaen pada 17 Oktober.
Gabungan Marhaen dalam satu kenyataan berkata, siri forum yang diadakan akan memberikan fokus isu rakyat termasuk pekerjaan, perumahan, jaminan makanan, orang asal dan sektor informal.
“Kami sedar COVID 19 membawa kesan yang serius kepada keadaan ekonomi dan sosial di seluruh dunia,
“Krisis kesihatan awam telah mempengaruhi masyarakat yang paling terpinggir di seluruh dunia, termasuk Malaysia, bukan hanya dari segi ekonomi tetapi juga sosial,” kata kenyataan itu.
Jelasnya, kesemua isu yang dibangkitkan akan dibincangkan oleh ahli panel yang hadir.
Isu perumahan mampu milik akan diberi fokus pada hari pertama dan diikuti isu Suara Pekerja pada hari kedua himpunan.
“Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan akan merasmikan dan menyertai panel perbincangan pada hari kedua himpunan,” kata kenyataan itu.
Cabaran pekerja ekonomi gig dan e-hailing akan dibincangkan pada 14 Oktober.
“Isu rampasan tanah adat Orang Asal dari Semenanjung Malaysia, Sabah, dan Sarawak sama ada meningkat atau menurun semasa COVID-19 akan dijadikan fokus pada hari ke-4 himpunan,
“Masalah jaminan makanan yang dihadapi oleh petani dan penternak di Malaysia bakal dibincangkan pada 16 Oktober,” katanya lagi.
Hari kemuncak himpunan pada 17 Oktober menyaksikan 2 forum diadakan pada waktu siang.
“#HimpunanMarhaen2021 akan diakhiri dengan Malam Marhaen; Konsert atas talian yang menampilkan pelbagai artis Malaysia dan aktivis yang menggunakan seni untuk bersatu dengan perjuangan rakyat,
“Persembahan akan disiarkan secara langsung di Facebook Gabungan Marhaen,” jelasnya lagi.
Pada masa yang sama, pihak gabungan turut menyeru rakyat Malaysia untuk menyertai kempen #HimpunanMarhaen2021.
Gabungan Marhen ditubuhkan pada Januari 2017 selepas aktivis yang terlibat dalam Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) telah mengambil keputusan untuk membina satu gerakan baru.
“Gerakan ini ditubuhkan dengan merangkumi lebih sektor, kolektif baru dengan misi yang baru,” jelas kenyataan itu. – airtimes.my