Oleh Saraswathy Muthu
Pada petang 30 November 2003, 31 penduduk Kampung Chepor menerima hak milik tanah di RPT Sri Klebang Tambahan 1. Di hari ini hak milik tanah telah ‘dianugerahkan’ kepada peneroka oleh tiga orang yang sangat penting. Apabila jawatankuasa telah diminta pada 15 September tahun ini oleh pegawai-pegawai pejabat tanah, “sama ada mereka mahu Ketua Menteri (MB) atau sesiapa sahaja dalam Kerajaan Negeri untuk menyerahkan hak milik tanah kepada rakyat”, peneroka memutuskan bahawa mereka akan membuat keputusan kemudian. Hari ini, hak milik tanah secara rasmi diserahkan kepada rakyat oleh Pengerusi Nasional PSM, Komrad Dr. Nasir Hashim; Pengerusi PSM Sg. Siput, Komrad Dr. Kumar dan Timbalan Pengerusi Nasional PSM, Komrad M.Saraswathy yang juga salah seorang pengasas Alaigal.
Majlis penyerahan geran tanah telah dihadiri oleh tidak kurang daripada 700 orang yang datang dari pelbagai tempat di Perak dan juga dari negeri-negeri lain. Jawatankuasa peneroka tempatan memutuskan untuk tidak memohon sebarang permit polis kerana acara itu diadakan di tanah mereka, oleh itu mereka merasakan mereka mempunyai semua hak di tanah mereka berjuang. Berpuluh-puluh polis yang menghadiri majlis hari ini bertindak sopan apabila mereka membenarkan perarakan tradisi penduduk ke tanah kemenangan mereka. Perarakan itu diketuai oleh berpuluh-puluh orang yang membawa bendera genggaman tangan merah, diikuti oleh beratus-ratus penyokong membawa sepanduk, diringi dengan lagu dan pukulan gendang. Walaupun polis cuba menghalang pukulan gendang beberapa kali, ia hanya seketika. Apabila peneroka memasuki zon bebas mereka, dentuman gendang berterusan, seperti mana sambutan kemenangan kaum tertindas.
Dr. Kumar, dalam ucapan beliau telah melafazkan segalanya. Pada awalnya, di seluruh Perak, persepsi masyarakat adalah mereka tidak boleh melawan atau menang kerana mereka tidak mempunyai pendidikan, tiada wang dan tiada hubungan politik. Hari ini, beberapa kejayaan di pelbagai tempat di Perak membuktikan bahawa Kuasa Rakyat masih hidup dan ia satu-satunya faktor penting kepada semua kemenangan di negeri ini. Beliau memberi beberapa contoh kemenangan rakyat tertindas iaitu di Ladang Klebang, Stratshila, Kg. Chekkadi, Tanah Hitam dan kawasan-kawasan lain untuk membuktikan dakwaannya itu. Dalam semua kawasan-kawasan ini, formula kemenangan adalah Kuasa Rakyat (Peoples Power).
Latar Belakang
Peneroka Kg. Chepor sebenarnya adalah bekas pekerja ladang gula dari kawasan Bagan Serai dan berpindah ke tempat ini dalam tahun 70an. Mereka bekerja di kawasan kilang Zon Industri Tasek. Oleh kerana mereka tiada rumah dan kemiskinan menyebabkan mereka memulakan penempatan di tanah kerajaan/bekas tanah lombong. 20 tahun kemudian, 31 keluarga dari sini dianiyai. Hasil dari perjuangan, 31 peneroka Bandar ini menjadi pemilik sah sebidang tanah.
Kerajaan Negeri melancarkan skim RPT (Sri Klebang Tambahan Satu) kepada lebih daripada 400 keluarga yang tinggal di Kg. Chepor. Tanah yang mereka duduki selama ini telah diperuntukkan untuk keluarga-keluarga di situ dan saiznya adalah 50×80 kaki. Untuk membolehkan kerja-kerja tanah dan infrastruktur asas dibina, rakyat perlu berpindah sementara pada tahun 1990. Ia mengambil masa 2 tahun untuk menyiapkan kerja. Setiap keluarga dikehendaki membayar RM5800 untuk meratakan tanah dan kerja infrastruktur. Jawatankuasa Penduduk dan pejabat tanah melantik kontraktor untuk memulakan kerja.
Pada tahun 1992, kebanyakan keluarga telah berpindah semula ke RPT. Hanya pada penghujung tahun 1993, beberapa keluarga menyedari bahawa nama mereka tercicir dari senarai yang disediakan oleh Pejabat Tanah. Apabila mereka membawa isu ini kepada Pejabat Tanah, alasan yang diberi ialah mereka gagal membuat pembayaran sepenuhnya namun keluarga yang membuat pembayaran penuh juga tidak tersenarai, kononnya tiada lagi tanah! Seramai 31 keluarga mendapati bahawa plot tanah mereka telah diberikan kepada orang luar termasuk beberapa bekas polis/tentera.
31 keluarga tersebut amat marah kerana mereka adalah penghuni asal yang telah menetap lebih dari 20 tahun namun orang luar diberi keutamaan untuk memiliki tanah. Pada masa inilah, mereka mendekati ALAIGAL iaitu pada tahun 1994. Atas tunjuk ajar ALAIGAL dan PSM, satu Jawatankuasa Bertindak dibentuk sebagai permulaan. Jawatankuasa ini berjaya membongkarkan isu korupsi dalam peruntukan tanah.
Strategi Perjuangan Diatur….
Dua hari sebelum pengundian lot diadakan (kecuali untuk 31 keluarga) di pejabat Menteri Besar Perak (Ramli Ngah Talib), semasa sidang Dewan Perundangan Negeri sedang berlangsung, satu demonstrasi terbesar dan yang pertama mengambil tempat di luar pejabat MB. Lebih daripada 300 orang penduduk hadir, polis dan FRU pun turun. Kami beritahu EXCO melalui memorandum untuk batalkan pengundian tetapi gagal.
Komrad-komrad Rani, Dr. Kumar, Dr. Nasir, Arul, Selvam – semua turut bersama kami. Macam- macam usaha kami ambil untuk hentikan pengundian lot. Kita berjumpa peguam – dinasihatkan bahawa kami ada hak selagi kami ada membuat pembayaran. Maka kami fail kes di Mahkamah Tinggi Ipoh. Kenapa tanah diberi kepada orang luar? Bagi balik kepada penduduk sah. Itulah tuntutan kami.
Laporan dibuat kepada BPR (Badan Pencegah Rasuah) terhadap PTG (Pejabat Tanah dan Galian) dan Pejabat Tanah, tapi tiada tindakan diambil. Kami menulis berpuluh-puluh surat dan memorandum kepada Pejabat Tanah, menuntut Menteri Besar memberi tanah ganti di kawasan berhampiran. Jawapan mereka – tiada tanah! Maka kami cuba cari tanah sebagai satu cara untuk selesaikan masalah – kita memang jumpa tanah lapang di Sri Klebang yang di peruntukkan untuk pembinaan kedai.Kita tuntut tanah itu untuk 7 keluarga; juga didapati ada tanah kolam yang cukup besar untuk menampung 24 keluarga. Namun itu pun ditolak dengan alasan tanah tersebut perlu untuk kerja-kerja pembangunan di masa depan.
Lebih dari 10 perundingan diadakan dengan Kerajaan Negeri sehingga dua Menteri Besar sudah bertukar. Ya, dari Ramli Ngah Talib kepada Tajol Rosli. Pada tahun 1998,demonstrasi ke dua di atur di pejabat MB. Kali ini MB setuju untuk memperuntukkan tanah kolam untuk 24 keluarga tetapi enggan mahu beri tanah lapang di Sri Klebang kepada 7 keluarga lagi.
Ketika ini kami menasihati 31 keluarga tersebut untuk ambil balik wang yang mereka bayar kepada Jawatankuasa Penduduk lama supaya 24 keluarga boleh memulakan kerja-kerja pembangunan kolam yang dianggarkan menelan belanja sebanyak RM200,000. Hanya 26 keluarga berjaya dapatkan balik duit mereka.Manakala 5 keluarga lagi berjaya di hasut oleh MIC supaya tidak ambil duit dan juga tidak membuat bayaran kepada Jawatankuasa Bertindak (31 keluarga). Rasional mereka ialah kerja pembangunan tanah di kawasan yang mereka dapat lot sudah pun dibuat, jadi mereka tak perlu ambil balik duit. Ini menyusahkan keadaan untuk meneruskan kerja-kerja pembangunan untuk 24 keluarga.
Ini adalah perjuangan 31 keluarga yang bermula pada tahun 1994 apabila ke semua 31 orang di lepas tangan oleh kerajaan negeri dan pejabat tanah. Hari ini, bila perjuangan telah menghasilkan satu kejayaan, MIC dan pejabat tanah membalas dendam, menggunakan taktik kotor dengan menghasut 5 keluarga ini.
Kami tiada jalan lain kecuali membawa masuk 5 keluarga lain iaitu peneroka dari kawasan berhampiran dengan persetujuan ADO Kamarulzaman. Pada tahun 1999, kerja-kerja pembangunan tanah bermula dan tidak lama kemudian Jawatankuasa Bertindak mendapat tahu bahawa 5 lot di tanah lapang di Sri Klebang akan diberi kepada 5 keluarga lain yang pro MIC. Pada masa yang sama di pejabat Daerah pula En. Kamarul diganti oleh pegawai baru.
Keadaan semakin rumit dan tegang, maka Jawatankuasa Bertindak membuat keputusan untuk membina 7 buah rumah di kawasan tanah lapang sebelum dirampas oleh pejabat tanah. Rumah-rumah siap dibina pada tahun 2000 dan penempatan bermula.
Hari Hitam
Tiba-tiba pada 2hb. Oktober 2001, lebih kurang 7.30 pagi tujuh buah rumah ini dirobohkan oleh Kerajaan Negeri dengan menggunakan lebih 100 anggota polis, ahli-ahli RELA dan pegawai penguatkuasa. Peneroka kemudian menegakkan dada dan mengadakan demonstrasi bantahan terhadap perobohan ini. Mereka membina semula rumah mereka. Risalah tentang perjuangan mereka diedarkan di seluruh negeri Perak. Suasana telah dicipta dan tidak lama kemudian Menteri Besar Perak yang baru telah isytiharkan bahawa perobohan itu adalah salah.
Kerajaan negeri mengalah dan akhirnya memberikan mereka hak milik tanah.
Kes 6 keluarga di Mahkamah Tinggi
Hanya 6 keluarga fail kes di Mahkamah Tinggi. Ada seorang peneroka minta kepastian samaada kes boleh menang. Oleh kerana Ahli Jawatankuasa tak dapat beri jaminan, dia undur. 6 keluarga teruskan perjuangan.Pada tahun 2010, hakim V.T.Singgam mencadangkan kepada ke dua-dua pihak supaya membuat rundingan dengan kerajaan Pakatan (baru) untuk mencari penyelesaian. Kedua-dua pihak melakukan rundingan dengan pihak kerajaan dan isu ini dibawa kepada Menteri Besar Nizar Jamaluddin. Malangnya tiada apa-apa perkembangan, sebaliknya kerajaan tersebut ditumbang dalam masa 10 bulan. Perbicaraan diteruskan di Mahkamah Tinggi dan penduduk menang. Pejabat Tanah membuat rayuan di Mahkamah Rayuan, kes dibuang pada tahun 2013. Penduduk sewajarnya menerima tuntutan ganti rugi RM200,000, tapi sehingga hari ini masih dalam rundingan. Ganti rugi mereka perlu ditaksirkan oleh mahkamah.
Belajar daripada Kemenangan
Komrad Nasir Hashim yang turut serta dalam Majlis Sambutan Kemenangan berkata bahawa kemenangan 31 keluarga ini adalah kemenangan Sosialis. Katanya, semua orang boleh belajar daripada kemenangan itu dan PSM akan terus belajar dari rakyat dan bersama-sama dengan pengalaman rakyat, akan membina pergerakan rakyat yang kukuh.
Saraswathy Muthu, Timbalan Pengerusi PSM. Sebagai seorang pengelola masyarakat, Saras telah mengatur masyarakat tertindas dalam pelbagai sektor – perladangan, peneroka bandar, petani dan pekerja kilang -mendidik mereka mengenai hak-hak mereka dan memberi kuasa kepada mereka untuk berjuang mempertahankan hak. Beliau, salah seorang ahli PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat atas tuduhan menghasut rakyat menyertai Pergerakan Bersih 2.0 yang dipanggil untuk perhimpunan pada 9 Julai 2011. Beliau juga adalah penerima Anugerah Yayori 2011.