Ipoh: Mahkamah Majistret, di sini, hari ini menolak permohonan reman terhadap empat aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) bagi membantu siasatan kes provokasi terhadap anggota polis dan pencerobohan tanah membabitkan petani di Chemor.
Keputusan itu dibuat Majistret Adilah Mokhtar selepas mendengar penghujahan barisan empat peguam yang mewakili semua empat aktivis terbabit.
Permohonan reman dibuat polis bagi membantu siasatan kes mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan (KK) kerana menghalang tugas polis dan Seksyen 447 kanun yang sama iaitu kerana menceroboh.
Terdahulu di kamar perbicaraan berasingan, Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret, Noor Azna Tajul Anuar membenarkan tempoh reman selama sehari atas empat petani yang ditahan petang semalam untuk disiasat mengikut Seksyen 447 KK juga berkaitan dengan kes pencerobohan itu.
Seorang daripada peguam yang mewakili tertuduh, P Balakrishna Balaravi ketika ditemui di luar mahkamah berkata, Adilah berpuas hati selepas mengambil kira kes pencerobohan oleh empat aktivis berkenan seharusnya dirujuk di bawah kes sivil dan tidak seharusnya dirujuk sebagai pencerobohan jenayah.
Katanya, justeru tangkapan yang dilakukan polis ke atas empat aktivis terbabit dibuat secara salah kerana bagi kes sivil, tindakan seharusnya diambil melalui writ saman atau melalui permohonan bawah Perintah 89 Peraturan Mahkamah iaitu permohonan untuk pengusiran.
“Sebenarnya, kedua-dua kes ini membabitkan pertikaian tanah namun semua lapan individu iaitu empat aktivis dan empat petani ditahan atas kesalahan yang dikatakan sebagai pencerobohan jenayah iaitu mengikut Seksyen 447 KK.
“Penghujahan polis untuk menahan reman empat aktivis itu juga tidak relevan dan tidak jelas memandangkan pertikaian tanah adalah di bawah bidang kuasa sivil dan bukan bawah jenayah.
“Justeru mahkamah menetapkan agar empat aktivis ini dibebaskan serta-merta selain tempoh reman empat petani terbabit yang akan berakhir jam 5 petang hari ini,” katanya.
Semalam, Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, penahanan dua daripada aktivis itu dilakukan pagi semalam selepas mereka didapati tidak mengendahkan amaran sebanyak tiga kali yang diberikan polis supaya tidak menghasut orang ramai.
Katanya, ketibaan polis di tempat kejadian iaitu di sebuah lot tanah milikan persendirian di Chepor, Chemor, berhampiran Taman Chepor Impian, di sini, mendapati sekumpulan lelaki tempatan gagal membuktikan hak pemilikan tanah sedang menghalang kerja pembersihan tanah.
Difahamkan, selepas penahanan dua aktivis itu, seramai enam lagi individu ditahan petang semalam susulan kes pencerobohan berkenaan.
Mior Faridalathrash dilaporkan berkata, polis menahan aktivis terbabit kerana jelas berlaku anggota polis diprovokasi di lokasi kejadian.
Sumber: myMetro