Sehati Sejiwa Dalam Perjuangan

Oleh V. Paneerselvam

Zaman neoliberalisme bermula di Malaysia sekitar awal tahun 80an. Ia adalah satu dasar yang diperkenalkan oleh Mahathir yang mengambil alih pemerintahan pada tahun 1981.  ‘Penswastaan’ menjadi kalimah Mahathir sehingga semua sektor kerajaan dilabel sebagai tidak berkesan, pekerja-pekerjanya malas dan tidak beruntung. Penswastaan adalah jawapan kepada propaganda pentadbiran Mahathir.

Perkhidmatan ‘parkir’ (parking) kereta yang selama ini di bawah penguatkuasaan pihak berkuasa tempatan dan sebelum itu Majlis Kerajaan Tempatan (zaman pilihanraya majlis 1957-1964), turut diswastakan. Wilson Parking, sebuah syarikat milik Australia adalah syarikat swasta pertama yang meneroka perkhidmatan parking.  Mereka berusahasama dengan UMNO. Syarikat tersebut menguruskan 40 tempat letak kereta di Kuala Lumpur dan Petaling Jaya.

Notis Amaran kalau gagal ucap Selamat Pagi!

Ketika saya masuk bekerja dengan Wilson Parking, pada Jun 1986, saya berumur 26 tahun. Saya dilantik sebagai supervisor dan selepas seminggu dinaik pangkat menjadi ‘Operations Assistant @ OA’ yang berpusat di Kompleks Campbell (bersebelahan Dangi Wangi). Saya menguruskan 8 tempat letak kereta di kawasan Petaling Jaya dan Kuala Lumpur sekaligus perlu menguruskan 38 operator dan 12 penyelia. Ia memberi saya peluang untuk melawat dan berkomunikasi dengan pekerja-pekerja. Saya dapati kebanyakan pekerja adalah remaja lepasan SPM dan gaji mereka terlalu rendah. Layanan terhadap mereka sangat teruk.Tiada jaminan kerja dan bila-bila masa mereka boleh kehilangan kerja. Peraturan kerja terlalu rigid dan menindas.Pemberhentian kerja kerana tidak mematuhi peraturan tempat kerja menjadi suatu perkara biasa.Sekurang-kurangnya 2 orang diberhentikan kerja dalam seminggu. Ada seorang General Manager yang selalu membawa bersamanya brief case yang diisi dengan ‘surat amaran’. Contoh kesalahan pekerja ialah gagal mengucap “selamat pagi”!

Inilah yang menjadi punca pekerja merasa amat marah dan tidak puas hati. Pekerja terpaksa bersatu dan mula memikirkan penyelesaian kepada penindasan ini. Pekerja-pekerja pernah sekali mencuba tubuhkan kesatuan sekerja (1984/1985) tetapi pihak majikan telah mematahkan mereka (union busting) dan ramai pemimpin pekerja telah dibuang kerja.

Penubuhan Kesatuan Sekerja

Perjuangan untuk memula kesatuan sekerja telah disambung semula pada tahun 1986 dan ketika itulah saya berada di Wilson Parking. Memandangkan saya dalam kategori pihak pengurusan, saya tidak boleh melibatkan diri dengan kesatuan sekerja tapi saya telah menawarkan diri saya untuk membantu mereka. Pada masa yang sama, Biro Buruh INSAN (Institut Analisa Sosial) di bawah pimpinan Dr. Nasir Hashim, Dr. Jomo Kwame Sundram dan Ramasamy (Professor) turun ke padang membantu kesatuan. Sebenarnya, usaha pertama menubuhkan kesatuan adalah di bawah bimbingan Jomo dan sepupu beliau Gopi yang juga seorang penyelia di Wilson Parking. Pengalaman kami dalam mengatur pekerja dan proses penubuhan kesatuan telah mempercepatkan proses pendaftaran ahli masuk ke Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Perdagangan (National Union of Commercial Workers), di bawah pimpinan M.M. Vasagam, Setiausaha  Agung.

Permohonan pengiktirafan Kesatuan di hantar pada bulan Ogos 1986.Pihak pengurusan   dapat ‘menghidu’ pergerakan pekerja yang sedang berkembang tetapi mereka tidak sempat  campurtangan kerana pihak pekerja sudah pun membuat permohonan tuntutan pengiktirafan kesatuan. Maka,tindakan diambil selepas tuntutan pengiktirafan dan saya adalah orang pertama dipecat. Kemenangan terbesar ialah menjadi ahli kesatuan. Oleh kerana saya dipecat pada lewat bulan Ogos 1986, namun pihak majikan gagal menjustifikasi pemecatan saya. Dengan sokongan pekerja, pemecatan saya ditarik balik. Sebaliknya tempoh masa percubaan dipanjangkan untuk 3 bulan lagi.

Penganiyaan Kesatuan Kebangsaan

Selepas pengiktirafan, kedua-dua Kesatuan Kebangsaaan dan Pengurusan menjadi ‘kawan rapat’.  Sama-sama mereka telah kenalpasti ‘musuh’ mereka yang perlu dikikis. Malangnya, sayalah orang pertama, diikuti dengan 20 pemimpin pekerja.  Pemimpin-pemimpin utama diperingkat cawangan (Wilson Parking) telah disingkirkan dari keanggotan kesatuan sekerja. Ini adalah satu perkara luarbiasa kerana Kesatuan sepatutnya membela mereka, memandangkan mereka adalah ahli. Sekiranya, mereka disingkir dari Kesatuan, mereka tidak lagi menjadi ahli kesatuan dan tidak lagi mendapat perlindungan kesatuan. Maka mereka terdedah kepada serangan dan menjadi lemah! Ini berlaku serentak dengan pembuangan kerja. Ini adalah modus operandi Syarikat Australia bersama UMNO yang bersekutu dengan Kesatuan Kebangsaaan.

Saya dibuang kerja sekali lagi di penghujung tempoh percubaan sahaja, November 1986. Penghancuran kesatuan sekerja (union busting) semakin teruk dengan tindakan disiplin terhadap ketua-ketua pekerja dan kesatuan. Akhirnya mereka turut dibuang kerja.

Pada saat-saat pengiktirafan kesatuan, Saudara Gopi dan kumpulan pekerja yang di berhentikan kerja, dipusingan pertama telah di ambil semula kerja atas campurtangan Jabatan Perhubungan Perusahaan (IRD). Oleh kerana tidak menerima sokongan dari Kesatuan Kebangsaan untuk melawan balik tindakan-tindakan mematahkan kesatuan, pekerja terpaksa buat mogok kilat(wild cat strike) dan peralatan kerja diabaikan (workers put down their tools).

Solidariti Pekerja Mengkagumkan

Mogok tersebut melibatkan 40 parkir kereta. Semua pekerja mengabaikan tempat kerja dan berkumpul di Ampang Park. 3 hari kemudian semua pekerja yang melibatkan diri dalam ‘mogok haram’ di berhenti kerja. Setiap pekerja di barisan piket ditahan. Lebih 100 pekerja menjadi mangsa. Semasa piket ini, pekerja-pekerja sementara di minta bekerja memandangkan risiko kehilangan kerja lebih tinggi. Hanya pekerja tetap mengambil bahagian dalam mogok ini yang telah bertahan lebih dari 2 minggu. Secara teknikal, ia bukanlah barisan piket memandangkan pekerja yang mogok sudah dibuang kerja. Walaubagaimanapun sumbangan dari orang ramai membolehkan kaum pekerja teruskan perjuangan.

Kesatuan Kebangsaan pula bersikap lepas tangan dan langsung tidak mahu melawan pihak majikan. Pekerja diabaikan. Ketika polis membuat penahanan (balai polis seberang jalan sahaja!), polis membawa Black Maria.Pekerja disumbat masuk ke dalam lori tersebut. Lebih kurang 5 pekerja tertinggal kerana mereka dalam tandas. Namun mereka ternampak lori bergerak dan mereka terus lari dan lompat masuk, termasuk pekerja wanita. Begitulah hebatnya solidariti mereka.

Malahan, kepimpinan pekerja wanita lebih hebat. Salah seorang ketua pekerja, Cik Azalina, dalam satu mesyuarat dengan ketua Kesatuan Kebangsaan, terpaksa berdiri atas meja untuk menyampaikan mesej yang cukup tegas kepada Kesatuan Kebangsaan apabila mereka ‘membedil’ kesatuan sekerja tempatan kerana tidak mahu bekerjasama dengan pihak majikan di bawah kondisi kerja yang sama. Satu tahun selepas insiden mogok, saya dapat berjumpa dengan Cik Samsiah, salah seorang pemimpin pekerja yang berada dalam cuti bersalin semasa mogok. Beliau memaklumkan bahawa Kesatuan telah menandatangani Perjanjian Bersama dengan syarikat tersebut. Katanya, Perjanjian Bersama tersebut mempunyai terma dan kondisi kerja yang lebih baik.

Kesimpulan

Begitulah kisah penganiyaan dan penghancuran kesatuan serta undang-undang yang tidak membantu pekerja untuk bersatu demi mempertahankan hak mereka.  Kerajaan lebih senang dengan ‘kesatuan-kesatuan kuning’. Pekerja-pekerja dan organisasi-organisasi yang radikal ‘dihapuskan’, yang menjadi ‘pak turut’ di sanjung. Kesatuan Kuning ini adalah hasil dari undang-undang buruh yang di bawa masuk oleh penjajah British. Ia dikekalkan hingga hari ini. Kesatuan Kuning ini bukannya untuk membela hak pekerja sebaliknya untuk memastikan pekerja-pekerja terkawal. Kalau pihak pekerja mahu keluar dari ‘penjajahan’ ini, kaum pekerja mesti menentang birokrasi kesatuan dan bergerak ke arah kesatuan progresif.

(V. Paneerselvam, seorang aktivis buruh sejak berumur 17 tahun. Pada tahun 1984, beliau menyertai Biro Buruh INSAN dan memainkan peranan penting dalam mengatur pekerja. 1987, beliau menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (penolong setiausaha cawangan Brickfield). Beliau telah keluar dari PSRM pada tahun 1990 atas dasar prinsip apabila parti mengeluarkan nama “Sosialis” menjadi Parti Rakyat Malaysia (PRM) . Pada tahun 1991, SWP (Suara Warga Pertiwi) ditubuhkan dan perjuangan bersejarah SWP adalah kemenangan pekerja Ladang Sg. Rasah. Dr. Nasir bersama Selvam juga telah mengasaskan JSPB (Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar) pada tahun 1995. Dalam zaman kegemilangan JSPB (1995-1998),lebih daripada 40 komuniti peneroka Bandar di Lembah Klang telah dibantu dalam perjuangan hak perumahan. Beliau merupakan salah seorang pengasas Parti Sosialis Malaysia (1998) dan masih memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat.)