Perjuangan 7 keluarga Green Cow Kea Farm, Cameron Highlands

Oleh Suresh Kumar

Kea Farm ialah satu kawasan di Cameron Highlands, merupakan tempat tarikan utama pelancong untuk membeli-belah sayur-sayuran dan buah-buahan. Oleh sebab kawasan itu cukup terkenal, kini beberapa projek pembangunan sedang dijalankan di sana tanpa mengambil kira peneroka bandar yang telah mula menetap sejak 40 tahun dahulu. Kerajaan BN Pahang gagal dalam menjalankan tugas menjaga hak-hak rakyat untuk perumahan dan mencari pendapatan. Sebaliknya, Kerajaan BN Pahang pula berpakat dengan syarikat-syarikat pemaju seperti LTT Development Sdn Bhd dan cuba menghalau peneroka bandar dengan menggunakan undang-undang tanah yang tidak adil.

 

Tetapi apa yang tidak disedari oleh Kerajaan BN Pahang ialah Cameron bukan lagi seperti dulu di mana penindasan Kerajaan Negeri akan terus berlaku tanpa disoal. Kewujudan PSM Cameron sejak tahun 2004 telah memperkenalkan tradisi berjuang apabila hak-hak asasi seperti perumahan untuk rakyat dirampas. PSM Cameron kini sedang bersama rakyat di sana di dalam 2 perjuangan di kawasan itu:

 

  • Perjuangan Pemilik gerai Kecil Kea Farm untuk terus berniaga dan mencari pendapatan dan;
  • Perjuangan Penduduk Green Cow untuk hak perumahan selamat.

 

Walaupun bilangan pemilik gerai dan penduduk yang terlibat adalah kecil, namun saya dengan bangga boleh menyatakan bahawa gerai-gerai di Kea Farm masih belum dirobohkan kerana tentangan yang telah diberikan oleh pemilik gerai bersama PSM Cameron.


Berbalik semula kepada penduduk Green Cow, masalah bermula selepas pemaju pertama Ng Yeet Ng menolak tanah dan menyebabkan sebuah batu sebesar 10mx10mx10 menjadi tidak stabil dan mungkin boleh menyebabkan tanah runtuh. Usaha telah diambil untuk berbincang dengan jabatan-jabatan kerajaan seperti Pejabat Daerah & Tanah, Majlis Daerah, JKR dan Jabatan Alam Sekitar. Namun tiada pihak ingin berjumpa dengan penduduk dan menyelesaikan masalah mereka. 


Lebih 10 laporan polis telah dibuat namun tiada tindakan dari mana-mana pihak. Akhirnya apabila semua jalan perundingan & penyelesaian tidak berjaya, penduduk telah menahan jentolak pemaju pertama, Ng Yeet Ng dari bekerja. Pihak polis yang tidak mengambil sebarang tindakan apabila penduduk membuat laporan; kini bertindak pro-aktif dengan menahan 2 penduduk dan saya sebagai aktivis PSM. Kami kini sedang didakwa di Mahkahmah Majistret Cameron Highlands di atas tuduhan KK341 & KK506. Tetapi taktik pemaju yang menggunakan polis & mahkamah untuk menakutkan penduduk tidak berjaya. Penduduk masih menahan jentolak bekerja selagi perbincangan mengenai keselamatan penduduk tidak diteruskan.


Pemaju tukar taktik

Apabila pemaju mendapati taktik polis dan mahkamah tidak berjaya, mereka mengunakan taktik samseng upahan untuk memecahkan kandang kambing milik salah seorang penduduk dengan kekerasan. 2 laporan polis telah dibuat di atas tindakan pemaju gunakan samseng. Namun pihak polis Cameron yang jelas telah berpakat dengan pemaju tidak dapat menahan & mendakwa mana-mana samseng tersebut sehingga ke hari ini. Polis Cameron juga memerli penduduk yang membuat laporan dengan bertanyakan apakah nombor surat beranak kambing yang telah hilang. Semasa mengambil kenyataan bertulis, polis juga telah menyoal penduduk mengenai jenis pistol yang digunakan oleh samseng supaya tindakan dapat diambil. Adakah semua ini masuk akal? Inikah polis yang menjalankan tugas yang profesional?

 

Satu-satunya Ahli Parlimen Sosialis, Dr Jeyakumar dari PSM terkejut apabila mendengar perkara-perkara ini dan telah cuba mengadakan perbincangan dengan KPD Cameron. Namun Dr Jeyakumar hanya dapat berjumpa dengan KCKD Cameron dan telah menyatakan ketidakpuasan polis Cameron dalam menangani isu ini. Satu laporan polis juga telah dibuat oleh beliau mengenai perkara ini. Dr.Jeyakumar juga telah menulis aduan terhadap polis Cameron yang menangani kes ini kepada IGP. Pihak SUARAM yang telah dimaklumkan mengenai isu ini juga telah menghantar satu ‘URGENT APPEAL’ kepada IGP.



Permintaan penduduk dan tawaran kecil yang tidak lengkap dari pemaju

Kini pemaju yang terdesak dan tidak dapat menjalankan kerja-kerja menolak tanah telah bersedia untuk memberikan pampasan membina rumah sebanyak RM30,000 untuk setiap keluarga. Tawaran ini telah diberikan melalui Ahli Parlimen Kuantan, Pn.Fuziah Salleh yang telah membuat lawatan ke Green Cow di ats jemputan PSM Cameron. Tetapi adakah tawaran ini cukup untuk membeli/membina sebuah rumah di Cameron? Jawapannya tentu tidak. Malah pemaju sendiri apabila diminta membina sebuah rumah dengan kos tersebut mengaku tidak boleh. Satu lagi persoalan ialah di mana penduduk ingin membina rumah? Kini penduduk telah meminta sebidang tanah dari Pegawai Daerah Cameron untuk membolehkan mereka membina rumah dan berpindah keluar dari kawasan sekarang. Tetapi seperti biasa, tiada jawapan dari Pegawai Daerah.

 

Sambutan Kemenangan Perjuangan pada 20 Disember 2013

Pemaju LTT Development akhirnya akur dengan keselamatan penduduk yang menetap di Green Cow dan setuju untuk beri pampasan supaya 3 keluarga boleh bina rumah di tanah lain dan berpindah.

 

Perjuangan ini telah memakan masa 2 ½  tahun sebelum pemaju tunduk kepada permintaan penduduk. Green Cow merupakan satu isu di mana peneroka bandar diketepikan selepas tempat tersebut dimajukan oleh mereka.

 

Pada asalnya terdapat 7 keluarga yang membentuk Gabungan Penduduk Green Cow. Tetapi dengan kuasa polis yang di salah guna, kes mahkahmah, ugutan gangster & masuk campur wakil BN; maka akhirnya hanya tinggal 3 keluarga yang ingin berjuang.


Pelbagai rintangan dihadapi oleh penduduk, wakil PSM dan kawan-kawan lain yang turut membantu. Di antaranya ialah:

 

  • Penangkapan & pertuduhan dua orang penduduk dan seorang ahli PSM di bawah seksyen 341KK (halangan salah) & 506KK (ugutan jenayah) di Mahkahmah Majistrest Cameron & Mahkahmah Tinggi Temerloh pada November 2011. Penduduk menang di kedua-dua mahkahmah.
  • Penangkapan & pertuduhan 2 penduduk lain di bawah seksyen 341KK (halangan salah) pada Julai 2012. Penduduk menang di Mahkahmah Majistret Cameron. Kes masih jalan di Mahkahmah Tinggi Temerloh.
  • Penangkapan oleh polis Kuantan di hadapan Pejabat MB Pahang pada 10/7/12 kerana berkumpul minta MB campurtangan. Seramai 31 penduduk Cameron dan wakil PSM ditahan dalam lokap sehari.
  • Permohonan injuksi terhadap penduduk oleh pemaju. Tetapi sebaliknya penduduk diberi injuksi untuk hentikan kerja pemaju di Mahkahmah Tinggi Kuantan.
  • Ugutan gangster yang diupah oleh pemaju dan percubaan untuk merobohkan kandang kambing penduduk.

 

Apakah yang dipelajari oleh penduduk Green Cow daripada kemenangan ini?

“Hanya apabila kita berjuang, mata dan telinga penindas mula buka. Kita bukan rampas hak orang lain, kita tuntut hak kita yang dirampas. Perumahan yang selamat adalah hak semua manusia. Untuk keuntungan pemaju, nyawa kita bukan boleh digadai. Kami sekarang lebih berani dan tahu cara untuk kendalikan manusia di sekeliling yang mahu menindas kami. Yang paling penting, kita mesti sentiasa bersatu untuk berjuang.” Saudari Vanitha.S, Penduduk Green Cow

 

Suresh Kumar adalah aktivis akarumbi yang banyak berjuang dalam isu Alam Sekitar, Hak Orang Asli, Hak pekebun Kecil di Cameron Highland. Beliau juga telah beberapa kali ditangkap polis kerana aktivitinya mempertahankan hak rakyat biasa di Cameron Highland. Beliau kini adalah Ahli jawatankuasa Pusat PSM dan pernah menjadi Timbalan SUA PSM.  Mendapat pendidikan awal di   Sekolah Menengah Kebangsaan Clifford,Kuala Lipis,Pahang Darul Makmur. Dan adalah seorang Siswazah dari universiti Teknologi Malaysia dalam bidang kejuruteraan Elektrikal. Beliau juga adalah seorang usahawan dan mempunyai sebuah kedai komputer.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *