Oleh V. Paneerselvam
Dalam sektor perladangan, para pekerja disediakan kuarters/rumah. Pada mulanya apabila ladang dimulakan, diandaikan rumah ini akan kekal selama-lamanya. Kemudian, pada awal 60-an akibat spekulasi tanah (permulaan hartanah) dan pembangunan moden (perumahan & bandar), tanah ladang (beberapa ribu ekar) dipecah-belah untuk tujuan ini. Ini menyebabkan tenaga kerja di ladang tercampak keluar dan mereka kehilangan kedua-dua kerja dan tempat tinggal. Mereka keluar dan menjadi setinggan. Di Lembah Klang sebahagian besar penduduk yang tiada tempat tinggal mendirikan rumah di sepanjang landasan kereta api. Kampung Udara adalah satu koloni setinggan yang terletak sepanjang laluan kereta api iaitu di belakang lapangan terbang antarabangsa pertama, Sg. Besi. Kedua-duanya terletak di pinggir bandar dan orang ramai menggunakan tanah rizab di kawasan itu untuk petempatan kerana ia selamat dari gangguan pihak berkuasa tempatan. Lagipun mereka ada peluang pekerjaan. Pinggir (serambi) pembangunan di pintu mereka. Terdapat kedua-dua faktor tolak dan tarik untuk penempatan berkembang.
Kampung Udara
Petempatan Kampung Udara muncul pada tahun 70-an, terdiri daripada lebih kurang 600 keluarga. Tanah yang mereka duduki adalah milik Kerajaan Negeri. Sepanjang jalan Sg. Besi kian menjadi kawasan perindustrian ringan, terutamanya industri besi buruk. Bertambahnya peluang pekerjaan telah membawa lebih ramai orang ke bandar. Pembangunan perumahan komersial semakin berkembang dari Petaling Jaya à Jalan Klang Lama (Bandar Taman Danau Desa) à Sg. Besi.
Infrastruktur perlu dimajukan maka jalan raya utama perlu dilebarkan. Ini mengakibatkan pengusiran petempatan Kampung Udara pada tahun 1995. Satu tahun sebelum itu kira-kira 300 keluarga telah diusir dan mereka telah diberikan rumah panjang sebagai rumah transit. Hakikatnya, keluarga-keluarga ini masih di Rumah Panjang Jinjang selama hampir 20 tahun!
Kumpulan kedua penduduk Kg. Udara menentang pengusiran itu kerana (a) tidak ada tempat alternatif untuk pergi (b) kemudian apabila mereka ditawarkan Rumah Panjang, mereka enggan terima kerana ia terlalu jauh dan akan kehilangan segala-galanya termasuk pekerjaan dan pendidikan anak-anak. Mereka mahu rumah alternatif kekal. Pengusiran yang berlaku disini tidak mudah dilupa – ramai ditangkap dan diintimidasi – polis keterlaluan dan sangat agresif sehingga Undang-Undang Darurat digunakan. Semua ini dipercayai kerana orang-orang di belakang projek ini. Siapa mereka?
Kemuncak Kronism
Pemaju Projek Desa Danau adalah Farlim & FABER UNION. Sebuah syarikat yang dimiliki oleh Halim Saad (salah satu daripada 10 Bumiputera yang diiktiraf oleh Mahathir untuk memimpin pelbagai industri di Malaysia, beliau mengetuai UEM dan syarikat-syarikat yang berkaitan dengan infrastruktur, perumahan dan pembangunan bandar). Daim Zainuddin, kapitalis politik elit nombor satu –sangat berkuasa, juga terlibat. Saya percaya ada hubungan politik yang kuat yang membawa kepada penyalahgunaan kuasa polis dan peranan DBKL dalam menjalankan pengusiran di Kampung Udara.
Polis Hutan Mengusir Penduduk?
Pengusiran pertama berlaku sekitar tahun 1995. Pada kira-kira 06:00 pagi seluruh koloni itu dikepung dan disita oleh Pasukan Polis Hutan dan DBKL. Jentolak kelihatan untuk tujuan meratakan rumah. Beberapa pemimpin utama dan aktivis (dari Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar dan Pusat Pembangunan Masyarakat) ditahan. Tangkapan itu sebahagian besarnya dibuat oleh DBKL. Apabila hal ini dibawa ke mahkamah, pihak polis mendakwa mereka yang membuat penangkapan itu. DBKL tidak mempunyai kuasa menangkap namun cara bagaimana mereka melaksanakan pengusiran dan penangkapan pemimpin-pemimpin utama menunjukkan kuasa mutlak di belakang insiden ini.
Selepas mereka yang ditahan dibebaskan, mereka memutuskan untuk membina semula rumah-rumah mereka. Kira-kira 30-37 rumah dibina semula. Seminggu kemudian, pusingan kedua perobohan berlaku. Penduduk tidak kecewa, mereka membina semula rumah-rumah dan perobohan ketiga berlaku begitu cepat sekali. Pihak berkuasa langsung tidak memberi ruang untuk runding, mungkin mereka yang berkuasa tidak sabar menunggu!
Kemenangan
Lebih kurang 15 pertuduhan dilemparkan terhadap penduduk dan aktivis-aktivis yang terlibat. Antara lain merusuh di balai polis, menghalang penjawat awam daripada menjalankan tugas mereka, ugutan jenayah dan pencerobohan. Apabila menerima notis pengusiran, penduduk memfailkan kes mahkamah untuk semakan kehakiman untuk menentang notis pengusiran itu. Ia dipanggil permohonan certiorari. Pendengaran itu hanya berlaku selepas perobohan ke-3. Walau bagaimanapun, disebabkan oleh tentangan hebat daripada kira-kira 30 keluarga, pemaju tidak mempunyai pilihan lain tetapi untuk bincang penyelesaian, iaitu:
· Rumah Transit di Kuchai Lama, kira-kira satu kilometer – oleh itu tiada anjakan (mereka boleh kekalkan anak-anak mereka di sekolah, dan pekerjaan mereka)
· (Ii) Rumah Kos Rendah di Danau Desa, dibina dalam tempoh 3 tahun dari tarikh mereka dipindahkan ke Rumah Transit. Unit kos rendah itu ditawarkan pada harga RM25, 000.
Kesimpulan
Biasanya, di penempatan peneroka Bandar (setinggan), kita boleh melihat kumpulan masyarakat dari pelbagai latarbelakang, kelas ekonomi dan ideologi. Mengatur kumpulan masyarakat ini adalah satu cabaran namun tidak mustahil. Perjuangan ini adalah perjuangan kelas menentang kapitalis yang zalim, perjuangan menentang ketidakadilan dan ketidakmanusiaan. Ia adalah perjuangan untuk maruah.
(V. Paneerselvam, seorang aktivis buruh sejak berumur 17 tahun. Pada tahun 1984, beliau menyertai Biro Buruh INSAN dan memainkan peranan penting dalam mengatur pekerja. 1987, beliau menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (penolong setiausaha cawangan Brickfield). Beliau telah keluar dari PSRM pada tahun 1990 atas dasar prinsip apabila parti mengeluarkan nama “Sosialis” menjadi Parti Rakyat Malaysia (PRM) . Pada tahun 1991, SWP (Suara Warga Pertiwi) ditubuhkan dan perjuangan bersejarah SWP adalah kemenangan pekerja Ladang Sg. Rasah. Dr. Nasir bersama Selvam juga telah mengasaskan JSPB (Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar) pada tahun 1995. Dalam zaman kegemilangan JSPB (1995-1998),lebih daripada 40 komuniti peneroka Bandar di Lembah Klang telah dibantu dalam perjuangan hak perumahan. Beliau merupakan salah seorang pengasas Parti Sosialis Malaysia (1998) dan masih memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat.)