Oleh Dr. Jeyakumar
23 Ogos 2002, keadaan tegang menyelubungi kawasan pertanian Sg. Buluh di Sg. Siput. Di satu sudut, pihak penguatkuasa Pejabat Tanah Sungai Siput bersiap sedia untuk memusnahkan kawasan pertanian manakala di sudut yang lain pula petani Lai Ah Lee bersama 30 orang dari PSM dan ahli-ahli GAPETAK menunggu tindakan Pejabat Tanah. Empat orang anggota polis juga menunggu di kebun Lai Ah Lee sejak pagi lagi.
Ketegangan menjadi reda seketika apabila pada jam 10.30 pagi, setiausaha Chang Ko Youn telah menelefon Lai Ah Lee dan memberitahu kepadanya bahawa Dato Chang Ko Youn sedang menuju ke Sungai Buluh bersama dengan KPPD-Sungai Siput untuk menawarkan satu tanah ganti. Berita ini adalah satu kejutan kerana sehari sebelum ini sememangnya tujuan mereka adalah memusnahkan tanaman pertanian.
Jam 11.15 pagi Chang Ko Youn datang dengan Pajero Pejabat Tanah bersama dengan KPPD En. Rashid dan PPD En. Khusairi. Masa suspen akhirnya berakhir apabila, satu kawasan baru seluas 2 ekar yang tidak digunakan telah dikenalpasti di Sungai Buluh. Pejabat Tanah berjanji dalam tempoh 3 hari kawasan itu akan dibersih dan diratakan,kemudian TOL akan dikeluarkan kepada Saudara Lai Ah Lee. Lai Ah Lee bersetuju dengan tawaran itu dengan meminta RM5,000 pampasan untuk berpindah ke tapak baru. Turut bersama Sdr. Lai Ah Lee ialah Komrad Segar dari Alaigal/PSM.
Keadaan tegang pagi bertukar menjadi tenang. Orang ramai berkumpul di kebun saudara Lai Ah Lee dan merayakan kemenangan ini dengan laungan – hidup perjuangan! long min man soi! vaalga porattam !
Apa yang pada awalnya enggan ditunaikan oleh Chang Ko Youn dan Samy Vello akhirnya berjaya juga diperolehi kerana perjuangan dan keutuhan kumpulan petani di Sungai Siput. Perkara yang paling mendukacitakan ialah apabila petani-petani ini dilabel sebagai petani haram.
Latarbelakang
22 keluarga petani telah berkerja keras untuk memulihkan tanah lombong yang terbiar, di belakang Sg Buloh, Sg Siput (U), disampaikan notis pengusiran pada Mei 2001. Pejabat Tanah, Dato Chang Ko Youn dan Dato Seri Samy Vellu telah diberitahu bahawa mereka adalah petani haram dan dengan itu tidak berhak kepada apa-apa pampasan sama sekali.
Setahun sebelum itu, Menteri Besar Perak Tajol Rosli telah mengumumkan bahawa semua petani yang kehilangan tanah akan ditawarkan tapak alternatif untuk meneruskan pertanian. Walau bagaimanapun sehingga 22/8/02 Pejabat Sg Siput Tanah menegaskan bahawa tidak ada lagi tanah untuk ditawarkan kepada baki 4 petani.
Sebelum ini telah diberitahu bahawa mereka boleh terus membajak tanah itu kerana bahagian tanah mereka tidak terjejas. 9 keluarga petani telah menerima RM5000 sebagai pampasan, meninggalkan 4 keluarga petani ini yang tuntut tanah ganti.
Tawaran terbaik dari ADUN Jalong dan ahli EXCO Negeri, Chang Ko Youn dan Pejabat Tanah Sg Siput adalah tanah yang telah digunakan oleh satu lagi kumpulan petani. Petani kita menolak tanah itu atas prinsip tidak mahu menindas dan mengusir satu lagi kumpulan petani. Pertemuan dengan Chang Ko Youn pada 22/8/02 berakhir dengan Chang Ko Youn mengulangi bahawa jentolak akan di hantar hari berikutnya untuk meratakan kawasan.
Ahli-ahli Gapeta (Gabungan Petani Perak) dan Jaringan Rakyat Sg Siput mula berkumpul di ladang petani Sg Buloh. Sebelum pukul 10 pagi orang ramai sudah bertambah kepada 40 orang. Saya bersama saudara Augustine dan Segar turut bersama pejuang-pejuang. Ahli-ahli DAP Sg Buloh dan cawangan Jalong juga ada bersama. Sementara itu, polis dan kakitangan pejabat tanah telah berkumpul di pejabat tanah. Pengusiran paksa sudah pasti.
Walau bagaimanapun pegawai SB yang meronda kawasan itu sudah pasti telah memaklumkan kepada pejabat tanah dan pihak polis bahawa kumpulan pejuang semakin bertambah dan pihak kami juga memberitahu bahawa beratus penyokong akan turun jika berlaku sebarang tangkapan.
Di saat-saat akhir, Pejabat Tanah dan Chang Ko Youn memanggil petani untuk perbincangan. Mereka tawarkan sebidang tanah lain di Sg Buloh yang tidak dicucuk tanam oleh sesiapa pun. Satu perjanjian telah dicapai – 3 petani ini akan diberikan tanah dan TOL akan dikeluarkan oleh Pejabat Tanah manakala Pemaju akan membersihkan dan meratakan 3 plot tanah. Para petani akan dibayar RM5000 untuk mengimbangi kos berpindah. Seorang petani lagi ditawarkan pampasan tunai sebanyak RM10,000.
Tanah pertanian itu tidak akan disentuh sehingga petani-petani mengalihkan paip pengairan dan peralatan lain ke tanah baru. Ia adalah satu kemenangan manis untuk petani Sg Buloh. Jangan berfikir bahawa kerana kita miskin kita lemah. Kekuatan kita terletak pada perpaduan kita. Kita boleh berjuang untuk terma yang lebih baik jika kita boleh berdiri bersama-sama dalam perpaduan.
Bilangan tak penting!
Perjuangan ini telah dibawa kepada perhatian Parti Sosialis Malaysia oleh para petani apabila saluran parti pemerintah menikam mereka dari belakang. 12 petani yang tidak puas hati telah membuat keputusan untuk meneruskan perjuangan dengan bantuan PSM. Akhirnya 8 orang sedia menerima pampasan wang tetapi 3 orang lagi terus memohon tanah gantian dengan pampasan termasuk saudara Lai Ah Lee yang menjadi pemimpin mereka.
Lai Ah Lee yang berumur 54 tahun, berani dan cukup bersemangat, tekad mahu terus berjuang demi haknya. PSM berusaha keras mengedar risalah mengkritik tindakan kerajaan negeri yang memusnahkan kawasan pertanian, memberikan tanah kepada pemaju yang berkepentingan politik di seluruh kampung baru dan pekan Sungai Siput.
Perjuangan Lai Ah Lee ini dengan jelasnya menunjukkan, dalam perjuangan bilangan itu tak begitu penting. Yang pentingnya adalah keihklasan dan keberanian dalam perjuangan.
Saudara Ah Lee berkata kemenangan ini sukar untuk dicapai, “saya masuk politik dan ahli satu parti pembangkang selama 25 tahun, tetapi saya tidak nampak satu parti pun, yang kuat kerja macam PSM”. Komrad PSM disana terus membetulkannya dan berkata PSM kuat bukan kerana PSM tetapi kerana ada orang seperti Lai Ah Lee dan petani lain yang sanggup sama-sama berjuang.
Dr. Jeyakumar adalah pengasas Alaigal dan Parti Sosialis Malaysia. Dr. Kumar adalah seorang doktor pakar. Beliau telah bertanding di pilihanraya umum, kerusi Parlimen Sg. Siput pada tahun 1999, 2004 dan 2008 menentang pemimpin MIC, Samy Vellu. Menang pada tahun 2008 dan 2013. Sehingga hari ini satu-satunya Ahli Parlimen Sosialis di Malaysia. Beliau pernah disifatkan oleh Speaker Dewan Rakyat antara Ahli Parlimen yang terbaik kerana selalu mengajukan isu-isu penting. Beliau juga pernah menerbitkan pelbagai buku mengenai keadaan politik dan perjuangan-perjuangan beliau menentang sistem neo-liberal di Malaysia.