oleh Gabungan Marhaen
“Saya dah tua tetapi saya tidak akan takut! Saya akan berjuang sampai akhir. Ini bukan kali terakhir saya akan bersuara.”
Begitulah keluhan salah seorang ahli panel, Kak Manis dari Kampung Bukit Kuda, Klang, Selangor, yang dengan penuh semangat dan api perjuangan, menceritakan kehidupannya tinggal di atas tanah yang diterokanya tetapi kini diancam oleh kondo-kondo mewah.
Forum Himpunan Marhaen membuka tirai semalam (12 Oktober 2021) dengan penglibatan rancak selama 2 jam secara atas talian daripada lebih 160 orang peserta di mana ramai dalam kalangan mereka adalah rakyat marhean.
Forum dimulakan dengan ahli panel pertama, Gregory Ho Wai Son dari Khazanah Research Institute, yang berbincang mengenai “Kemiskinan dan Perumahan – Isu dan Cabaran”, di mana pembentangannya meliputi isu-isu seperti kekurangan kualiti perumahan kos rendah, ketiadaan piawaian perumahan di Malaysia dan tempoh pinjaman perumahan yang menekan rakyat biasa.
Ini diikuti dengan wakil pekerja ladang, Shanmugam dari Ladang Gedung, Bagan Serai, Perak, yang telah menekankan bahawa sudah 40 tahun beliau menjadi pekerja ladang, kerja sebagai penoreh getah dan pemotong buah kelapa sawit, tetapi sehingga kini, masih tidak dapat memiliki rumah kerana gajinya adalah rendah. “Tiga dan empat generasi kami menjadi pekerja, tetapi masih tidak memiliki rumah sendiri dan masih menetap di rumah ladang dan diancam diusir keluar,” katanya lagi.
Shanmugam juga berazam untuk tidak mahu keluar dari ladang tersebut sehingga skim perumahan dilaksanakan untuk mereka. Beliau menyarankan kerajaan supaya membina skim perumahan sewa beli untuk semua pekerja ladang.
Wakil anak muda, Azura Nasron daripada Rekod Media, memberitahu bagaimana sebagai anak muda beliau hanya boleh bermimpi dan tidak mampu bayar sewa atau beli rumah di bandar-bandar besar. Beliau juga berkongsi pandangan bahawa anak muda daripada keluarga B40 terikat kerana bukan hanya kena fikir diri sendiri tetapi kena menampung hidup ibu bapa. Beliau juga dengan kesal berkali-kali mengutarakan bahawa dengan gaji minimum yang begitu rendah, bila agaknya keluarganya boleh memiliki sebuah rumah?
Antara soalan menarik daripada peserta adalah, “Macam mana satu orang boleh beli dua, tiga buah rumah kos rendah?” Persoalan seperti ini jelas menunjukkan bahawa wujudnya dua darjat dalam penyediaan skim perumahan di negara ini ataupun terdapatnya penyelewengan. Ada juga komen di mana orang berkata bahawa Kerajaan mampu tetapi tidak mahu buat.
Isu mengenai flat kos rendah mengundang pelbagai soalan dan reaksi. Isu penyelenggaraan flat adalah isu pokok. Ramai penghuni yang tidak membayar? Itulah pandangan Mohd Yuswan Hamza, seorang wakil Badan Pengurusan Bersama (JMB) Pangsapuri di Selangor, tetapi adakah mereka perlu dipersalahkan? Wujud banyak isu seperti kekurangan kemudahan di flat, isu lif yang sering rosak, dan flat tidak mesra untuk orang berusia. Ada pula cadangan daripada Arumugam, seorang yang pernah diusir dari ladang, kemudian menjadi penghuni rumah panjang dan akhirnya setelah hampir tiga dekad, baru dapat rumah flat yang kecil. Beliau mencabar kerajaan untuk membina rumah percuma kepada semua rakyat B40 kerana mereka tidak mampu membeli dan membuat bayaran ansuran.
Dua isu yang sering timbul dan kerap diungkit sepanjang forum semalam adalah isu gaji pekerja yang difikirkan tidak mencukupi untuk membeli rumah di pasaran bebas dan harga rumah pada masa kini adalah tidak mampu ditanggung rakyat biasa. Mereka mengharapkan Kerajaan dapat kawal harga rumah dan campurtangan dalam penyediaan rumah untuk golongan marhaen.
Wakil Jaringan Peneroka Bandar Marhaen, E. Parames pula menekan bahawa perumahan untuk rakyat di Malaysia harus dilihat sebagai hak asasi dan bukannya komoditi untuk keuntungan pemodal. Beliau juga mengetengahkan 6 hujah penting sebagai tuntutan perumahan rakyat marhaen, antaranya:
- Bina rumah mampu milik berharga bawah RM100,000;
- Bina lebih banyak rumah sewa PPR;
- Hentikan pengusiran paksa;
- Jangan lelong rumah marhaen;
- Penyelenggaraan flat kos rendah diambilalih oleh majlis perbandaran;
- Tubuhkan amanah (trust) untuk bina rumah bagi golongan B40/M40 – jangan serahkan pembinaan rumah B40/M40 kepada pemaju swasta
Forum semalam berakhir dengan satu harapan: Perumahan untuk rakyat marhaen ialah satu keperluan yang sangat penting dan memang boleh dilaksanakan jika pihak kerajaan melihat rumah sebagai hak asasi dan bukan sebagai alat perniagaan untuk dapat untung. Ini hanya boleh dicapai jika Kerajaan mengeluarkan pembinaan perumahan rakyat daripada pasaran bebas yang bermotifkan keuntungan.
Kak Manis dalam ucapan penutupnya mengajak semua orang bersatu dan berjuang untuk hak perumahan dan menggesa semua orang untuk turun melawan demi memperjuangkan isu perumahan ini. “Jangan takut. Kita juang!” begitu katanya.
Paparan asal di Sosialis.net