2 aktivis ditahan halang tugas polis

Ipoh: Dua lelaki yang juga aktivis parti politik ditahan pagi tadi, selepas melakukan provokasi terhadap anggota polis yang sedang bertugas di Kawasan Perindustrian Kanthan, Chemor di sini, susulan kes pencerobohan tanah.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, pihaknya menahan kedua-duanya selepas mereka tidak mengendahkan tiga amaran yang diberikan polis supaya mereka tidak menghasut orang ramai.

Katanya, ketika tiba di lokasi terbabit, pihaknya mendapati sekumpulan lelaki warga tempatan sedang berkumpul malah mereka gagal membuktikan hak pemilikan tanah di situ.

Kumpulan terbabit juga didapati menghalang kerja pembersihan tanah di kawasan terbabit.

“Pegawai polis yang bertugas pada mulanya menasihati kumpulan itu supaya bersurai bagi mengelakkan berlaku perkara tidak diingini. Pada masa sama, mereka juga melakukan kesalahan kerana menceroboh (tanah).

“Orang awam berkenaan akur untuk bersurai namun dua lelaki warga tempatan yang memperkenalkan diri sebagai ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) enggan beredar selain tidak memberikan kerjasama.

“Mereka malah melakukan provokasi terhadap pegawai polis sebelum ditahan,” katanya pada kenyataan.

Menurut beliau, kes disiasat mengikut Seksyen 186 dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan (menghalang tugas penjawat awam dan pencerobohan).

Katanya, pihaknya memberi amaran kepada semua pihak berkepentingan supaya tidak menghasut orang awam untuk melakukan tindakan yang menggugat ketenteraman awam selain menceroboh tanah milikan pihak lain.

“Kami akan terus mengamalkan dasar lebih tegas pada masa depan dalam mengendali kes khianat awam sebegini,” katanya.

Ahad lalu, Mior Faridalathrash berkata, pihaknya menahan seorang individu yang mewakili pekebun di kawasan itu kerana disyaki menghalang penjawat awam menjalankan tugas berhubung isu terbabit.

Pada Jumaat lalu, kerja-kerja kajian tanah di sebuah kawasan perindustrian di Khantan, Chemor di Hulu Kinta terpaksa ditangguhkan akibat dihalang oleh sekumpulan orang awam disyaki pekebun.

Difahamkan, tanah milik Perbadanan Kemajuan Negeri Perak (PKNP) itu diusahakan secara haram oleh petani di kawasan berkenaan.

Sumber: myMetro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *