Normal 0 false false false EN-MY X-NONE AR-SA /* Style Definitions */ table.MsoNormalTable {mso-style-name:"Table Normal"; mso-tstyle-rowband-size:0; mso-tstyle-colband-size:0; mso-style-noshow:yes; mso-style-priority:99; mso-style-parent:""; mso-padding-alt:0in 5.4pt 0in 5.4pt; mso-para-margin-top:0in; mso-para-margin-right:0in; mso-para-margin-bottom:10.0pt; mso-para-margin-left:0in; line-height:115%; mso-pagination:widow-orphan; font-size:11.0pt; font-family:"Calibri",sans-serif; mso-ascii-font-family:Calibri; mso-ascii-theme-font:minor-latin; mso-hansi-font-family:Calibri; mso-hansi-theme-font:minor-latin; mso-bidi-font-family:Arial; mso-bidi-theme-font:minor-bidi;} Oleh S. Arutchelvan
Saya menerima satu panggilan telefon pada 26 Jun 2002 daripada seorang yang saya tidak kenali. Suara dia begitu resah sekali. Pemanggil tersebut berikan talian telefon kepada Varatharajoo (Rajoo), seorang aktivis berpengalaman yang pernah bertugas dengan SAM dan pada masa itu, dia bersama Kumpulan Pengguna Klang. Rajoo beritahu saya bahwa mereka (Guthrie) berada di situ untuk robohkan rumah-rumah di Bukit Jelutong dan dia tanya saya, apa yang boleh dibuat. Saya hanya beritahu dia untuk hentikan perobohan. Saya menerima beberapa panggilan dengan berita yang sama selepas itu. Saya rasa tidak bermaya kerana saya tidak kenal pekerja-pekerja ladang tersebut dan saya tidak pasti kondisi subjektif ketika itu. Kedua, saya tidak boleh buat apa-apa dari 45km jauh di Kajang, mahupun saya ada sebarang mantera rahsia yang boleh hentikan pengusiran tersebut.
Pengusiran dan panggilan untuk bantuan terus menggangu fikiran saya. Saya hubungi Selvam dan beberapa ahli PSM. Saya diberi amaran oleh beberapa ahli PSM bahwa inilah ladang, yang saya telah lawati beberapa tahun dulu, dimana beberapa orang telah mengejek kami ketika itu. Barulah saya ingat samar-samar, saya dijemput oleh seorang lagi kawan, Manivennan beberapa tahun lalu. Di ladang tersebut, ada orang tanya, “Apa yang awak boleh buat?” Kami beritahu mereka bahwa kami tidak boleh buat apa-apa dan hanya rakyat –mereka yang boleh membuat sesuatu dengan keadaan mereka. Kenyataan tersebut bukanlah satu buah fikiran yang diterima baik dan kami tinggalkan ladang itu macam orang bodoh.
Hari ini, kami tiba-tiba dipanggil dalam satu keadaan kecemasan. Selvam pada awalnya enggan mahu ikut sama. Sebagai seorang aktivis yang sangat berpengalaman, dia tahu apa yang boleh diharapkan terutama perasaan bila masuk ke satu kawasan apabila rumah-rumah telah diroboh. Ia merupakan satu keputusan sukar, walaubagaimanapun saya yakinkan Selvam dan kami sama-sama pergi ke Bukit Jelutong Rasak.
Jalan masuk ke ladang tersebut, terdapat pokok-pokok pisang di kedua-dua belah jalan termasuk hiasan dan daun kelapa. Kami terkejut dengan keadaan sebegitu kerana ia tidak kelihatan seperti kawasan yang menghadapi pengusiran. Bila kami berada di puncak bukit, dilokasi rumah-rumah ladang, kami nampak FRU (skuad rusuhan) berehat sambil makan. Masa, lebih kurang 12.30 tengahari. Kelihatan mereka sudah habis kerja mereka dan sudah cukup rehat. Kita lihat beberapa mesin sedang bekerja, dan kebanyakan rumah-rumah pula sudah diratakan oleh mesin-mesin berat. Kami nampak kehancuran dan kemusnahan yang dilakukan. Kami nampak ekspresi muka, mereka yang kehilangan rumah. Tiada apa yang kami boleh tanya dan mereka pun tidak berkata apa-apa. Kami nampak Rajoo bersama segelintir orang. Mereka sedang mengutuk beberapa orang termasuk peguam, ahli-ahli MIC dan sebagainya. Perobohan masih berjalan. Kelihatan tiada tentangan dari penduduk. Penduduk sudah serah diri kepada kehendak gergasi, Guthrie dan kuasa polis yang mengiringi Guthrie dan Majlis Perbandaran Shah Alam, MBSA.
Satu-satunya nasihat kami kepada penduduk yang rasa tertewas ialah, “buat laporan polis dan bina semula rumah-rumah”. Kami tidak mahu melayan soalan-soalan lain. Seorang anak muda tanya kami, orang-orang MBSA itu sangat kasar, bolehkah kita buat sesuatu”. Kami hanya cakap pada dia untuk buat apa saja yang dia mampu untuk hentikan pengusiran dan kemudian barulah beritahu kita. Kami tinggalkan tempat itu dengan jaminan akan kembali sekiranya penduduk bersedia untuk teruskan perjuangan mereka.
Dengan maklumat lengkap yang kami peroleh tentang pengusiran berkenaan, semakin kami marah. Guthrie memang tidak berhati perut dan tidak berperikemanusiaan. Pada 8 March 2002, Guthrie telah fail kes di mahkamah untuk pemilikan kosong (vacant possession) dan satu injuksi. Peguam penduduk ketika itu, P.Kandasamy telah menghadiri mahkamah pada 22 March dan pada hari itu kes telah di tunda ke 27 Jun 2002. Tapi sehari sebelum itu, pada 26 Jun 2002, Guthrie memberi notis kepada pekerja-pekerja dan sejam selepas itu, mereka merobohkan lebih dari 40 buah rumah yang masih ada di sana. Kemudian baru disedari bahawa Guthrie sebenarnya sudah pun ambil perintah engkar (default judgment) memandangkan penduduk tidak fail notis kehadiran. Penghakiman itu diambil pada 6 Jun 2002 tanpa kehadiran peguam penduduk. Jadi, penduduk langsung tidak tahu pasal penghakiman tersebut. Yang peliknya, notis berkenaan harus diserahkan dan jika arahan pengosongan tidak dipatuhi selepas 14 hari, Guthrie boleh teruskan dengan prosiding untuk mengusir penduduk secara paksa (committal proceeding). Guthrie beri notis dan sejam selepas itu, robohkan rumah mereka. Ketika itu, ramai sudah pergi kerja dan bila mereka kembali, hanya tinggal serpihan batu bata. Ia adalah satu kejutan besar kepada penduduk, ia sesuatu yang langsung tidak dijangka.
Kami mempersoalkan keganasan Guthrie berbanding dengan George Bush. Bush memberi Saddam amaran 48 jam sebelum dia serang tapi Guthrie hanya memberi satu jam notis kepada penduduk dan rumah mereka sudah tiada lagi.
Latarbelakang konflik
Pekerja-pekerja dari Bukit Jelutong Rasak adalah dari dua ladang iaitu Bukit Jelutong dan Ladang Rasak. Pada tahun 1979, mereka diminta pindah ke ladang baru yang dipanggil Bukit Jelutong Rasak dengan janji bila ladang dijual untuk pembangunan, mereka akan ditawarkan rumah di kawasan Bukit Jelutong. Pada tahun 1997, selepas 18 tahun, mereka diminta pindah ke ladang lain, Ladang Subang kerana sekarang tanah di Bukit Jelutong Rasak diperlukan. Penduduk enggan pindah dan menuntut rumah ganti di tempat sekarang seperti yang dijanji sebelum ini.
Kemudian, selepas sedikit pergelutan dan penduduk enggan pindah ke rumah panjang, Guthrie menawarkan mereka berpindah ke rumah pangsa 6 tingkat di Bukit Subang yang terletak di Ladang Subang. Sementara tawaran ini diberi, ladang sekarang di mana penduduk tinggal tidak diurus dengan baik. Pada November 2011, rumah pangsa kos rendah Guthrie telah siap dan pada bulan May 2001, penduduk diberi surat tawaran untuk berpindah ke rumah pangsa ini dimana setiap unit dijual pada harga RM25,000. Penduduk enggan pindah kerana tempat itu masih sangat jauh dan mereka tetap dengan janji asal Guthrie untuk membina rumah di kawasan Bukit Jelutong.
Sementara itu, Guthrie berkata bahawa mereka tidak membina rumah kos rendah di Bukit Jelutong dan telah memberi banyak tekanan untuk penduduk berpindah. Akibat tekanan teruk, satu kumpulan pekerja yang bersama MIC, telah tinggalkan ladang tersebut. Pada 22 Januari 2002, pekerja-pekerja di beri satu lagi notis oleh Guthrie meminta mereka kosongkan ladang sebelum 5 Februari 2002. Pada 6 Feb 2002, Guthrie merobohkan pusat tuisyen, kedai runcit dan dewan orang ramai. Ke semua ini dijalankan dengan kehadiran pegawai-pegawai MBSA dan polis. Peliknya, perobohan di jalankan tanpa perintah mahkamah.
Pada 27 Januari 2002, Guthrie memotong bekalan air dan kemudian elektrik. Kedua-dua dilakukan tanpa sebarang notis atau perintah mahkamah. Jelas sekali, ia satu kaedah digunakan untuk memaksa penduduk keluar dari ladang. Guthrie dan peguam-peguam mereka semakin mengertak penduduk. Pada April 2002, peguam Guthrie, Skrine & Co berkata bahawa tawaran rumah kos rendah sudah luput. Kemudian, sampai pula notis mahkamah pada bulan Mac diikuti dengan perobohan haram pada 26 Jun 2002.
Aktivis PSM Melangkah Masuk
Pertemuan pertama kita dengan penduduk adalah pada hari rumah mereka dirobohkan. Kami terpaksa mula dari asas jika kami hendak membina semula kominiti ini. Ini bukanlah satu kerja yang mudah, terutamanya selepas rumah mereka diroboh dan semangat mereka lemah. Selepas perobohan tersebut, beberapa orang telah tinggalkan ladang. Kami bekerja dengan 27 keluarga yang mahu terus berjuang. Jadi, kami mula mengatur dan mengadakan perbincangan dengan mereka.
Berasaskan kepada perbincangan kami, kami mendapati ada tiga kelemahan utama dari segi strategi penduduk mendekati masalah mereka. Pertama, seluruh perjuangan mereka disasarkan kepada MIC (Malaysian Indian Congress) dan NUPW (Kesatuan). Kebanyakan usaha telah diambil untuk melawan dua kumpulan ini ataupun untuk kumpulan ini mengambil tanggungjawab menyelesaikan masalah penduduk. Sangat sedikit usaha diambil untuk melawan pihak syarikat Guthrie, majikan mereka. Sekiranya PSM, kami akan mengambil pendekatan yang cukup berbeza. Kami akan mengambil pendekatan kelas dan perjuangan kami adalah di antara kelas pekerja dan kelas kapitalis, Guthrie. Orang yang kita perlu melawan untuk merealisasikan tuntutan kita adalah Guthrie dan bukan Kesatuan dan MIC, yang hanya merupakan organisasi-organisasi yang boleh digunakan untuk mencapai tuntutan kita.
Kelemahan kedua yang kami lihat adalah, kebanyakan aktiviti yang dilakukan oleh Jawatankuasa yang wujud ketika itu hanya dilakukan oleh beberapa orang sahaja. Orang ini juga yang terlibat dalam perundingan dengan pihak kerajaan dan sebagainya. Pekerja-pekerja dan komuniti pula ketinggalan. Sekiranya terdapat satu jalinan antara individu-individu tersebut dan komuniti, ia hanya setakat memberi arahan dari atas ke bawah. Sekali lagi, ini menjadikan majoriti penduduk di sana, peserta pasif dalam perjuangan dan ia juga menjawab soalan kami kenapa penduduk kelihatan kabur dan lemah.
Kelemahan ketiga, terlalu banyak penekanan diberi kepada penulisan surat dan memorandum tanpa tindakan langsung oleh penduduk dalam menangani masalah ini seperti tindakan jalanraya dan sebagainya. Saya terkejut melihat surat-surat mereka yang begitu panjang dengan begitu banyak lampiran sampai penduduk berkata, ia telah menelan banyak duit mereka untuk membuat salinan sahaja! Surat-surat ini juga telah dihantar kepada ramai orang termasuk Raja, Sultan, wakil-wakil rakyat, parti-parti politik dan lain-lain. Kebanyakan surat ini hanya memberi harapan palsu. Perjuangan yang dilakukan melalui kertas tanpa penglibatan penduduk melalui tindakan langsung, tidak akan membawa kita ke mana-mana.
Tugasan segera kami adalah untuk mengatur penduduk, memberi mereka semangat dan memberi ruang untuk mereka menganalisa masalah serta mengambil keputusan yang bernas berasaskan kepada pengalaman dan pengetahuan mereka. Ia adalah satu proses dialektika yang mengambil masa beberapa lama untuk diubah dan untuk bebaskan masyarakat dari bentuk pemikiran mereka sebelum ini, dimana mereka hanyalah penumpang dan bukan pemandu.
Agama –telah memisahkan mereka
Bila kami adakan mesyuarat besar yang pertama dengan 27 keluarga, kami berdepan dengan satu isu baru. Kami adakan mesyuarat di kuil kerana ia adalah satu-satunya ruang terbuka yang besar. Selepas mesyuarat satu lagi kumpulan penduduk berjumpa dengan kami di luar kuil. Kononnya, mereka beragama Kristian dan mahu kami sekali lagi mengadakan mesyuarat dengan mereka. Selain daripada masalah dengan Guthrie, kita ada satu komuniti yang terpisah antara golongan Hindu dan Kristian. Kedua-dua kuil dan gereja dipisahkan oleh satu lorong/jalan kecil. Sejak itu, segala mesyuarat kami diadakan di lorong ini. Ia mengambil masa kami beberapa bulan agar isu ini dilihat dari perspektif yang betul dan akhirnya, kita berjaya mengadakan mesyuarat di kuil dan juga di gereja. Kini, ramai orang di sana sedar bahawa perjuangan sebenar adalah menaruh kepercayaan dan yakin dengan diri mereka sendiri.
Tindakan Massa Bermula
Tindakan pertama diambil sejak penglibatan kami adalah membuat aduan polis terhadap Guthrie dan terhadap polis yang bertanggungjawab ke atas perobohan haram rumah-rumah pada 26 Jun 2002. Aduan polis ini dibuat pada 25 Julai 2002 dan lebih dari seratus orang hadir. Polis telah sering digunakan dan sekali lagi diguna oleh tuan punya ladang untuk mewujudkan perasaan takut dikalangan pekerja-pekerja ladang. Di hari ini, buat pertama kali, seluruh masyarakat rasa lebih berwibawa dan telah turun untuk membuat aduan terhadap polis di balai polis yang merupakan pengkalan utama dalam urusan perobohan rumah-rumah penduduk. Sekali mereka dapat mengatasi ketakutan mereka, yang lainnya akan menjadi mudah.
Tindakan besar kedua kami adalah tunjuk perasaan di hadapan Wisma Denmark di Jalan Ampang iaitu di lokasi Mahkamah Tinggi. Tindakan ini dilakukan pada 15 Ogos 2002. Penduduk menjunjung satu baner yang ditujukan kepada firma guaman yang di upah oleh Guthrie untuk mengusir penduduk ladang. Protes itu dibuat di tingkat bawah Wisma Denmark. Pada hari yang sama, kami fail kes untuk kerosakan, RM500,000 atas tindakan perobohan rumah-rumah dan sebanyak RM200,000 lagi untuk tekanan mental. Ini juga merupakan tunjuk perasaan pertama di mana komuniti memperkenalkan risalah dan ia diedarkan di seluruh kompleks mahkamah. Kami edarkan risalah mengenai kesusahan kami dan kelihatan ramai peguam membaca risalah kami.
Guthrie melawan balik
Sementara itu, bekas pekerja-pekerja terus membina semula rumah mereka. Pada mulanya, tujuh rumah sahaja didirikan tetapi semakin lama penduduk semakin yakin dan daripada 27 rumah, 23 rumah telah didirikan. Ini adalah salah satu syarat kami jika penduduk ingin teruskan perjuangan. Memandangkan penduduk sudah menduduki semula ditanah tersebut, Guthrie telah memukul balik. Guthrie memang tahu, bila dan bagaimana untuk mematahkan semangat mereka. Sekarang Guthrie menggunakan terma setinggan untuk menangani komuniti ini dan bukan bekas pekerja-pekerja ladang.
Pada hari yang sama, 26hb, 2 bulan kemudian pada bulan Ogos, Guthrie kembali untuk merobohkan rumah-rumah. Penduduk telah memberi tentangan berani dan sekali lagi Guthrie tidak ada perintah mahkamah. Kali ini 25 orang ditahan termasuk kanak-kanak dan perempuan. Bila saya dengar tentang perobohan tersebut, saya berkejar dari Kajang ke ladang Bukit Jelutong. Bila saya sampai di sana, tiada seorang pun kelihatan. Saya tidak sedar bahawa mereka semua telah ditahan. Sebenarnya, pada ketika itu, 24 orang telah ditahan. Saya meletak motorsikal saya Honda Ex-5 di tempat di mana ia boleh menghalang jalan, macamlah kenderaan saya itu besar sangat. Dan saya konfron Guthrie dan polis. Mereka serang saya, digari dan diheret ke kereta peronda yang sedang menunggu.
Bila saya sampai di balai polis, saya jumpa dengan penduduk yang telah di tahan. Semangat mereka tinggi dan begitu megah sekali bila menceritakan bagaimana setiap mereka melawan polis dan Guthrie. Nampaknya, penduduk Bukit Jelutong telah merentangi satu peringkat penting dalam perjuangan mereka – ketakutan terhadap polis dan tangkapan. Ramai orang telah berkumpul di luar balai polis. Kebanyakan polis pangkat biasa melayan tahanan dengan hormat dan berkata, ada pengaruh politik diperingkat tinggi sekali yang menyebabkan tangkapan kami. Mereka memberitahu apa yang kami sudah tahu iaitu hubungan diantara Guthrie dan polis. Salah satu daripada balai polis merupakan sambungan dari pejabat Guthrie di Bukit Jelutong. Seseorang mungkin salah anggap, balai polis itu sebagai rumah pengawal Guthrie.
Kami dibebaskan pada hari yang sama dan perkara pertama kami buat ialah membina semula rumah-rumah. Kini, penduduk ada semangat perjuangan dan Guthrie perlu lebih dari mesin roboh untuk mematahkan penduduk dan memenangi tanah tersebut.
Memandangkan gabungan Guthrie, dan polis begitu serius sekali, termasuk dengan majlis perbandaran MBSA, kami membuat keputusan untuk membuat aduan kepada Agensi Anti Rasuah (ACA) di Kuala Lumpur yang terletak dekat dengan Dataran Merdeka. Satu tunjuk perasaan juga di adakan di sana dan ini telah menjana sokongan orang ramai. Sekarang, polis datang dengan LSF (light strike force). Mereka mahu menahan peserta-peserta demonstrasi tapi campurtangan Selvam dan Dr. Nasir, tepat pada masanya berjaya mengawal keadaan.
Seminggu selepas aduan ACA, masih tiada sebarang kemajuan. Guthrie sekali lagi menyerang buat kali ke tiga. Sekali lagi ia jatuh pada 26, cuma kali ini 26 September. Sekali lagi penduduk telah mempertahankan rumah mereka. Kali ini polis datang tanpa pakaian seragam. Satu konfrontasi telah berlaku, dan polis bersama dengan pengawal Guthrie gagal untuk memusnahkan kebanyakan rumah namun 18 orang telah ditahan dalam konfrontasi ini. Pengkomplot bersama Guthrie dan polis menjadi semakin teruk. Kali ini mereka yang ditahan di bawa ke balai polis dengan menggunakan kenderaan Guthrie. Hanya selepas beberapa protes, mereka di alihkan ke trak polis, setengah jalan sebelum sampai balai polis. Selepas insiden ini, Guthrie telah menyediakan unit anjing bersama pengawal mereka. Apabila penduduk kembali, pengawal-pengawal Guthrie pula lari dari sana demi keselamatan mereka, tinggalkan anjing mereka. Sekali lagi penduduk mengambil alih hak milik tanah dan pertikaian berterusan.
Sekali lagi pada 3 Mac 2003, Guthrie datang untuk merobohkan rumah, yang kini lebih kecil saiznya disebabkan perobohan-perobohan sebelum ini. Kali ini, penduduk menggunakan pendekatan berbeza. Satu kumpulan akan melawan dan selepas perobohan dan tangkapan, satu kumpulan lagi akan membina semula rumah. Sekali lagi, 10 orang ditahan dan 21 rumah diroboh. Turut ditahan ialah K.Arumugam dari kumpulan Group of Concerned Citizen dan Saravanan dari PSM. Penduduk membina semula rumah. Kini, ia nampak sebagai kerja rutin. Tapi untuk memenangi suatu perjuangan, kita perlu cari jalan baru untuk memenangi Guthrie.
Faktor Musa Hitam
Tiga hari selepas perobohan, kita sekarang telah menemui sasaran baru di Guthrie iaitu Tan Sri Musa Hitam, pengerusi Guthrie. Tapi sudut yang kita ambil ialah – Musa Hitam, bekas pengerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia. Kami berfikiran isu ini perlu di bawa ke perhatian Musa Hitam di bawah konteks pelanggaran hak asasi dan apa yang dialami oleh penduduk Bukit Jelutong sememangnya satu pencabulan hak asasi dan hak untuk rumah yang selesa.
Untuk memastikan tindakan kita membawa impak, kita mengambil satu keputusan kritikal. Kami membuat satu tunjuk perasaan di Menara Citi Bank di Jalan Ampang iaitu pejabat peribadi Musa Hitam dan bukan dekat pejabat Guthrie di Pusat Damansara. Ini adalah satu keputusan sedar kerana sebelum ini bila pekerja-pekerja membuat demo di hadapan pejabat Guthrie, tiada seorang pun yang datang menerima memorandum malah bekas pekerja tersebut juga tidak dibenarkan masuk ke dalam bangunan Guthrie yang dibina dari hasil titik peluh pekerja-pekerja ini. Mereka dilayan seperti sampah. Musa Hitam mempunyai satu pejabat di Menara Citi Bank dan itulah sasaran kami. Pihak Guthrie pula tercengang kerana isu ini melibatkan mereka tetapi kawasan dimana tunjuk perasaan di buat bukan tempat mereka.
Para penunjuk perasaan mendukung poster-poster (placard) yang sasar Musa Hitam dan cuba memperoleh campurtangan beliau untuk membersihkan imej Guthrie. Ketika tunjuk perasaan, pegawai Guthrie keluar tapi penduduk tidak mahu serahkan memorandum kepada mereka. Sebaliknya, ia hanya diberi kepada wakil Musa. Datin Noor Aizam menerima memorandum bagi pihak Musa Hitam. Sementara itu, satu siri demonstrasi dan aduan turut dibuat. Salah satu sasaran kami ialah Ketua Hakim Negara yang bakal bersara, Tun Dzaiddin, menyeru pada beliau untuk campurtangan sebab ke semua empat perobohan dibuat tanpa perintah mahkamah. Kami juga membuat aduan kepada Biro Aduan Awam terhadap agensi anti rasuah kerana gagal menyiasat aduan kami sebelum ini.
Kami buat satu lagi tunjuk perasaan di pejabat Musa dan ia melibatkan pekerja dari tiga ladang. Nampaknya, tindakan-tindakan ini memberi kesan pada Musa. Tiba-tiba, pekerja-pekerja dari tiga ladang ini menerima surat meminta datang untuk dialog dengan pengerusi – Tan Sri Musa Hitam.
Dialog itu sendiri adalah satu peristiwa bersejarah. Tidak pernah sebelum ini ada sebarang kes di mana Pengerusi sesebuah syarikat perladangan terutamanya gergasi perladangan seperti Guthrie berjumpa dengan pekerja-pekerjanya. Orang paling senior yang mungkin pekerja pernah berjumpa pun adalah ketua bahagian ladang. Mesyuarat dengan Musa Hitam di adakan pada 7 April 2003. Dalam dialog tersebut, Musa sindir bahwa Guthrie mempunyai tempat yang begitu luas dan para pekerja boleh berdemonstrasi secara bebas di sini memandangkan tempatnya luas. Hakikatnya, tunjuk perasaan pekerja di hadapan pejabatnya di Jalan Ampang sememangnya telah meninggalkan satu impak yang membuah hasil mesyuarat di hari ini.
Mesyuarat tersebut dikordinasi dengan bagus sekali oleh Musa Hitam dimana dia mendengar segala yang dicerita oleh wakil penduduk malah menegur orangnya sendiri, setiap kali mereka tidak mendengar. Datuk Khalid – CEO Guthrie memang sangat marah apabila kami menuduh Guthrie sebagai maha pembuli. Datuk Khalid mula berkata bahawa pemegang saham Guthrie adalah petani-petani dan nelayan-nelayan miskin. Oleh itu bila kita buat tuntutan, sememangnya kita rompak dari orang miskin. Komen Khalid ini telah membuat kami semua ketawa besar. Kita semua tahu siapa Guthrie dan kepentingan siapa yang mereka wakili.
Terdapat satu perkara yang telah menghentam Musa dan Guthrie tepat pada sasarannya iaitu cara mereka merobohkan rumah-rumah penduduk tanpa memberi mereka masa yang secukupnya. Musa sendiri marah. Dia memanggil pegawainya untuk memastikan versi kami. Pegawai tersebut cuba berdolak-dalik tetapi Musa sangat fokus. Pegawai tersebut kemudiannya menyalahkan peguam mereka Skrine & Co yang menasihatkan mereka. Mesyuarat tersebut berakhir dengan Musa Hitam bersetuju untuk membentuk satu jawatankuasa kerja untuk memulakan proses perundingan dengan penduduk. Ini adalah satu kemajuan besar kerana kini perundingan telah dipulih kembali.
Jawatankuasa kerja mengadakan mesyuarat pertama, dua bulan selepas sesi dialog dengan Musa. Mesyuarat di adakan dan dipengerusikan oleh Zarul – pengurus hartanah. Dalam mesyuarat ini, lima perkara telah dibangkitkan iaitu isu gantirugi, rumah kos rendah, faedah persaraan, kuil, gereja dan sekolah termasuk hak Guthrie untuk membuat kerja-kerja pembangunan di dalam kawasan yang dipertikaikan. Mesyuarat tidak berjalan lancar dan perasaan pihak kami adalah, ahli-ahli Guthrie sekadar membuat mesyuarat untuk menepati janji yang dibuat oleh Musa tetapi hakikatnya, Guthrie yang diketuai oleh CEO Khalid tidak begitu berminat. Khalid, sebenarnya memang berada di tempat kejadian apabila perobohan pertama dilakukan. Pada penghujung mesyuarat, jelas sekali bahwa Guthrie mahu mengusir penduduk sekali lagi dan mereka merancang satu lagi pusingan perobohan. Mereka hanya menunggu untuk mesyuarat itu mengesahkan bahwa perkara ini tidak boleh diselesaikan.
Pertempuran Mahkamah dan Perintah Injuksi
Pada saat ini, kami melantik Manogar – peguam ketiga kita selepas dua peguam pertama yang begitu mengecewakan. Mano banyak membantu semasa perobohan kali ke 4 dan beliau mempunyai semangat yang tinggi. Dia membuat kes ini secara percuma (pro-bono). Pada 11 Jun, penduduk gagal mendapat injuksi. Dua hari selepas itu, pada 13 Jun, kami merakamkan rayuan di Mahkamah Rayuan. Tarikh kes untuk mendapatkan penangguhan (stay) telah ditetapkan pada 17 Julai 2003. Terdapat 3 hari di perantaraan dan dalam masa ini kami mendapat satu berita dari sumber yang boleh dipercayai bahwa Guthrie akan masuk dan merobohkan rumah-rumah pada 16 Jun 2003, sehari sebelum Mahkamah Rayuan mendengar kes kami.
Pada kali ini, penduduk mengatur mobilisasi yang besar dan kami berdiri bersama penduduk di jalan utama yang masuk ke ladang tersebut. NGO-NGO lain, parti-parti politik dan fron-fron PSM telah turut bersama untuk melawan balik. Rayuan segera juga telah dihantar kepada pelbagai pihak untuk memberi tekanan kepada Guthrie untuk mengentikan perobohan dan menjalankan perundingan.
Pada hari yang sama di mana pengusiran dirancang, kami mendapat berita bahawa polis telah membatalkan pengusiran kerana mereka tidak mahu menyokong Guthrie kali ini dan di mahkamah, peguam-peguam kita juga diberi jaminan bahawa mereka tidak akan merobohkan rumah pada 16 Jun 2003.
Pada hari berikut, di Mahkamah Rayuan, kami kalah. Pada hari tersebut, Sivarasa membantu Manogar. Pada hari tersebut ramai bekas pekerja Bukit Jelutong dan ahli keluarga mereka telah mengerumuni mahkamah. Malangnya, 3 ahli Mahkamah Rayuan memberi satu keputusan (verdict) yang teruk. Antara alasan juri ialah, mereka sendiri pun kena mengosongkan residensi mereka bila mereka bersara.
Selepas kekalahan ini di Mahkamah Rayuan, kita ada satu lagi trump kad untuk bermain – Mahkamah Persekutuan. Kita mengadakan satu mesyuarat yang cukup serius dengan penduduk di ladang untuk mengambil keputusan samada kita mahu menggunakan kad ini. Kita merujuk kembali semua kes sebelum ini dan mendapati mahkamah tidak akan menyebelahi ataupun menjaga kepentingan pihak pekerja. Walaubagaimanapun mahkamah dan sistem perundangan biasanya diguna untuk melindungi kepentingan orang kaya. Guthrie begitu berkuasa sehingga mereka boleh meroboh rumah pekerja tanpa menggunakan perintah mahkamah tetapi begitu susah pula untuk pihak pekerja mendapatkan satu injuksi. Satu-satunya cara untuk menang perjuangan ini adalah untuk terus melindungi rumah dan tanah dari dirampas oleh Guthrie.
Selepas kekalahan kita di mahkamah, Guthrie semakin sombong dan perobohan serta pengusiran adalah perancangan mereka.
Pada ulangtahun perobohan pertama, 26 Jun 2003, satu lagi perobohan dinantikan. Kali ini, penduduk sekali lagi berkumpul di jalan masuk. Sekali lagi perobohan dibatalkan hasil dari tentangan penduduk.
Selepas ini, kami telah terus berusaha untuk berdialog dan campurtangan Musa Hitam. Pada 15 Julai 2003, buat kali pertama, sejak penglibatan kami, kita menyerah kepada tuntutan Guthrie dan mengizinkan mereka menebang 5 baris pokok dan 5 ekar tanah disekeliling Taman TTDI untuk dibangunkan oleh Guthrie. Ini tidak akan menjejaskan rumah-rumah namun sekali lagi kami terpaksa menyerah untuk mempertahankan posisi kami sekarang.
Tipu Daya dan Strategi
Kami dapati selagi perintah engkar (default judgement) tidak diketepikan, posisi penduduk sangat lemah. Jadi, pada 8 Ogos 2003, peguam kita mengambil pendekatan lain untuk mengenepikan perintah engkar asal yang telah digunakan dengan selesanya oleh Guthrie setiap masa mereka merobohkan rumah. Kes untuk mengenepikan perintah engkar telah didengar pada September dan Oktober 2004. Keputusan telah di tunda ke 13 November 2003.
Sementara itu, peguam Guthire membuat satu lagi pusingan muslihat. Mereka membuka kembali kes perintah engkar 2002 dan memfail untuk perintah rasmi hak milik (writ of possession) bertarikh 21 April 2004 di mana ia memberi penduduk masa sehingga 5 May 2011 untuk keluar dari ladang. Ini memang satu perbuatan berniat jahat. Sementara peguam-peguam kami cuba untuk mengenepikan perintah engkar (set aside the default judgement) dan sementara kami menunggu kes tersebut, peguam mereka pula cuba menguatkuasakannya.
Dengan taktik kejam terbaru yang dipakai oleh Guthrie, penduduk Bukit Jelutong telah membawa perjuangan mereka ke satu tahap yang lebih tinggi. Sementara satu lagi pengusiran sedang mengancam kita, kita membawa perjuangan ke Putrajaya. Satu demonstratsi dan majlis penyerahan memorandum dibuat di pejabat Perdana Menteri pada 29 April 2004. Memorandum juga diserahkan kepada Ketua Hakim tentang bagaimana undang-undang telah dimanipulasi.
Tindakan-tindakan ini dan lain-lain telah meletakkan isu Bukit Jelutong dalam berita nasional. Sementara berita ini mendominasi akhbar dan forum-forum lain, kami juga terus melobi Musa Hitam untuk campurtangan dan teruskan rundingan.
Pada bulan May 2004, semasa Musa menghadiri Perhimpunan Umum UMNO, wartawan Malaysiakini, Claudia sempat bertanya soalan berkenan Bukit Jelutong kepada Musa. Dalam temubual tersebut, Musa berkata bahwa mereka sedia untuk berdialog. Itu adalah satu ruang yang kami nantikan. Pada 10 May 2004, berdasarkan pada temubual ini yang tersiar dalam Malaysiakini, kami menulis surat kepada beliau.
Pada 14 May 2004, kami mendapat kemenangan pertama dimahkamah apabila perintah rasmi hak milik (writ of possession) yang diperolehi oleh Guthrie berjaya diketepikan. Kali ini, Ambiga, seorang peguam dan juga Setiausaha Majlis Peguam telah membantu Mano.
Sekarang angin meniup di pihak kami. Apabila kes untuk mengetepikan perintah engkar tiba, ia sudah ditunda, kerana Guthrie mahu berunding.
Perundingan Terakhir
Akhirnya perundingan dijalankan dan perundingan pertama berlaku pada 8 Julai 2004. Sekarang, sudah 2 tahun Guthrie gagal menduduki tanah tersebut. Kali ini, Guthrie diwakili oleh seorang yang senior, Encik Zakaria untuk menguruskan perundingan. Zakaria seorang yang berpengalaman dan mempunyai pengalaman luas dalam menguruskan pertikaian sebegini. Beliau dalam persaraan dan ini adalah tugasan terakhir beliau. Selvam bersama saya dan beberapa ahli jawatankuasa utama telah mewakili penduduk dalam rundingan.
Beberapa pusingan rundingan di jalankan, ada yang rasmi dan ada pula tidak rasmi. Mesyuarat telah diadakan pada bulan Julai dan September 2004. Beberapa isu telah diselesaikan dan di bawah Zakaria, kelihatan ada keikhlasan untuk mencari jalan penyelesaian. Tapi dari bulan September, wujud satu tempoh yang begitu lama tanpa sebarang perkembangan.
Untuk pulihkan situasi, pada 31 Disember, kami menulis surat kepada Musa Hitam untuk memberitahu bahawa ada kemajuan dalam proses perundingan dan 3 perkara utama telah diselesaikan, sementara 2 isu lagi masih belum selesai. Isu pertama yang diselesaikan ialah isu rumah kos rendah dan lokasinya telah dipersetujui. Sebelum ini Guthrie mendesak penduduk untuk berpindah ke Bukit Subang manakala penduduk pula berkeras untuk Bukit Jelutong. Satu kompromi telah dicapai dan penduduk akan pindah ke Subang 2, yang lebih dekat dengan Bukit Subang. Isu kedua, penduduk telah bersetuju untuk menyewa atau mencari rumah sementara sehingga rumah pangsa disediakan. Isu ke tiga yang dipersetujui, semua bekas pekerja yang dinafikan faedah persaraan, kini mereka berhak.
2 perkara yang belum diselesaikan ialah – kami minta rumah dijual pada harga RM25,000 tapi Guthrie pula menawarkan RM35,000. Kami meminta pampasan RM40,000 tapi Guthrie tidak komited. Perundingan telah dijalankan dengan penuh kebijaksanaan oleh kedua-dua pihak kerana buat pertama kali kedua-dua pihak telah sampai ke satu tahap penyelesian.
Selepas surat itu, rundingan telah disambung kembali pada tahun 2005. Dua mesyuarat di adakan dan akhirnya kata sepakat telah dicapai dalam semua isu semasa mesyuarat pada 6 May 2005 dan dua lagi mesyuarat pada bulan Julai dan September 2005. Peguam Guthrie dan peguam penduduk, Mano telah menyediakan kertas perjanjian. Perjanjian penyelesaian telah ditandatangani pada 28 Disember 2005.
Akhirnya Penduduk Bukit Jelutong mendapat tanah untuk Kuil dan Gereja bersama pampasan. Setiap seorang menerima rumah kos rendah dengan harga RM 25,000 dan diberi sewa RM 400 sebulan sehingga rumah siap.Mereka juga ditawarkan pampasan dan gantirugi. Maka selesailah satu rundingan. Kini mereka menanti rumah mereka untuk dibina.
(S. Arutchelvam, seorang pejuang rakyat sejak 1980an. Pemangkin dalam penubuhan Pusat Pembangunan Masyarakat dan Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) serta dalam perjuangan pekerja ladang, kilang dan peneroka bandar. Sdra Arul merupakan penyelaras SUARAM dari 1995-2006, setiausaha pertama Gerakan Mansuhkan ISA, Ahli Jawatankuasa menangani masalah pengusiran masyarakat ladang dan peneroka bandar di bawah Kerajaan Negeri Selangor (Pakatan Rakyat). Arul adalah penaung Parti Sosialis Malaysia dan dipilih sebagi Setiausaha Agung PSM selama 17 tahun, kini sebagai AJK Pusat PSM.Beliau juga merupakan calon PSM untuk kerusi DUN Semenyih dalam pilihanraya umum 2008 dan 2013.)