Kampung Bukit Sg. Putih: Tak ada yang Mustahil dalam Perjuangan

Oleh V. Paneerselvam

Di pinggir lembah Klang, berhampiran Banjaran Titiwangsa, berjiran dengan Kuala Lumpur dan di penghujung Jalan Ampang terletak Ampang yang dahulunya terkenal dengan perlombongan bijih timah. Di pinggir Lembah Klang ini terletaknya Keramat, Ampang, Kg. Pandan, Cheras dan Hulu Klang, di kawasan timur Kuala Lumpur yang tidak disentuh oleh pembangunan dan pada satu ketika mempunyai lebih daripada ½ juta peneroka bandar. Oleh kerana ia kawasan pergunungan, ramai orang membina rumah mereka di lereng bukit. Ramai daripada mereka adalah dari Negeri Sembilan dan Kedah datang mencari peluang ekonomi. Ini kerana selepas insiden Mei 1969, kerajaan menggalakkan penduduk Melayu berhijrah ke kawasan bandar dalam usaha untuk mewujudkan ‘keseimbangan kaum’. Kampung Bukit Sg. Putih terutamanya terdiri daripada orang Melayu, kira-kira 150 keluarga (tahun 1995-1996).

Sebagai etnik Melayu, penduduk di kawasan ini menikmati naungan politik tertentu – secara tersembunyi atau terbuka. Mereka adalah vote bank untuk pemerintah. Di Kampung Sg. Putih, sebahagian besarnya adalah ahli-ahli UMNO dan mereka mempunyai cawangan UMNO. Melalui naungan politik ini, mereka yang membina rumah, telah dijanjikan hak milik tanah oleh kerajaan negeri.

Pada tahun 1987, terdapat satu perbalahan besar dalam UMNO. Mahathir selaku Presiden UMNO telah dicabar Tengku Razaleigh dan Tengku Razaleigh kalah. UMNO diisytiharkan haram apabila Tengku Razaleigh mencabar keputusan pilihanraya UMNO di mahkamah. Mahathir membentuk UMNO Baru yang telah diluluskan dalam masa 2 hari. Oleh kerana itu, menjadi satu keperluan kepada UMNO untuk mendapatkan sokongan asas mereka. Terus naungan politik digunakan – hak milik tanah dijanjikan kepada peneroka bandar di seluruh tempat.

Pada tahun 1989, Kampung Sg Putih ini menjadi sebahagian daripada kawasan Parlimen  Ampang Jaya di mana berlaku satu pilihanraya kecil. Harun Idris, bekas Menteri Besar Selangor sekitar bulan Mei 1969, salah seorang pesalah kejadian Mei 1969, telah bertanding sebagai calon bebas di bawah Semangat 46. Semangat 46 telah memaksa siri pilihanraya kecil di banyak tempat termasuk di Johor Bharu. Mengapa Harun bertanding di Ampang Jaya? Kerana beliau adalah Menteri Besar Selangor dalam tempoh kejadian 13 Mei dan dilihat sebagai cauvinis Melayu yang kuat memperjuangkan kepentingan Melayu. Dia popular di kalangan orang Melayu. Dia boleh tarik undi Melayu tetapi dia kalah tipis kepada Wong Tee Keat (BN). Dalam tempoh berkempen, pihak memerintah pergi sekitar kampung-kampung peneroka Bandar dan menabur janji – tanah kepada peneroka bandar – kawasan ini mempunyai penduduk peneroka bandar paling besar.

Pada masa inilah, Dr. Nasir Hashim telah dibebaskan daripada tahanan ISA. Selepas pilihanraya, peneroka-peneroka Bandar mula menyeru pihak kerajaan untuk menepati janji. Kerajaan telah memutuskan untuk memberi hak milik tanah kepada 150 keluarga di kampung ini dan tanah tersebut terletak di kawasan lereng gunung. Projek untuk meratakan tanah itu diberikan kepada ketua cawangan UMNO. Tanah diperuntukkan kepada keluarga dengan bayaran, beberapa ribu (tidak ingat amaun). 14 daripada keluarga, tidak bersetuju dengan projek/skim ini kerana yuran terlalu mahal dan mereka yang miskin dan berpendapatan rendah tidak mampu. Mereka telah dibuang daripada skim itu. Apa caranya?

Ya, rumah 14 keluarga ini dirobohkan. Tiada notis diberi. Bukan sekali tapi dirobohkan sebanyak 4 kali, namun mereka membina semula setiap kali diroboh.

Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar (JSPB): kami bekerja dengan sebahagian besar peneroka bandar di Lembah Klang ketika itu iaitu kira-kira 40 buah kampung. Begitulah, Jawatankuasa Bertindak Kg. Bukit Sg. Putih berjumpa dengan kami dan kami telah bersetuju untuk bekerja dengan mereka. Selepas kali ke 3 rumah mereka dirobohkan, Jawatankuasa memutuskan untuk membuat demonstrasi di SUK Shah Alam, 1996 – suatu tindakan yang tidak pernah dilakukan sebelum ini. Ia adalah kali pertama, semua pintu-pintu terbuka, kami pergi terus ke koridor bangunan. Mat Taib adalah Menteri Besar. Polis datang dan tidak dapat berbuat banyak. Selepas demonstrasi, Dr. Nasir dipanggil untuk siasatan – kenyataan beliau direkod. Siasatan itu berhenti di sini kerana pihak polis tidak dapat mengenal pasti penganjur demonstrasi itu.  Kes tidak diteruskan.

Selepas kejadian inilah, pintu SUK sentiasa dikunci kerana ia menjadi tapak demonstrasi popular.

Selepas 3 perobohan itu, penduduk tidak mempunyai rumah yang selamat diduduki dan ini telah menyebabkan kematian seorang bayi yang baru lahir. Penduduk telah masukkan injunksi di atas tanah untuk menghentikan kerja-kerja tanah dan perobohan serta pengusiran 14 keluarga tersebut.Semangat perjuangan yang tinggi dan kewibaan 14 keluarga inilah akhirnya membawa kerajaan negeri ke meja perundingan. Beberapa rundingan telah diatur di balai polis.

Selepas perobohan kali ke 4, satu penyelesaian telah dicapai. Setiap keluarga diberi sebidang tanah secara percuma. Mereka dibenarkan tinggal dan melakukan kerja-kerja tanah mereka sendiri. Selepas itu terpulang kepada mereka untuk membina rumah-rumah mereka.

Mahkamah masih boleh dipercayai pada masa itu kerana sanggup mengiktiraf ekuiti peneroka ke atas tanah yang mereka usahakan. Lewat 90-an tidak lagi mempunyai trend ini.

 

Kampung Bumi Hijau, Setapak

DBKL mengeluarkan notis pengusiran di bawah Ordinan Darurat, Pencegahan Setinggan kepada peneroka Kampung Bumi Hijau, sekitar tahun 1984-1985. Kampung ini muncul selepas tahun 1969. Bekas Perdana Menteri Tun Abdul Razak mengumumkan projek Bumi Hijau – meminta orang ramai untuk mengusahakan tanah untuk pertanian dan kampung ini terletak di pinggir kawasan pergunungan. Sekitar tahun 70an, penduduk meneroka kawasan hutan primer ini, meneroka tanah, bukit cerun dan mengusahakan tanah. Majoriti penduduk adalah orang Melayu dan mereka membajak tanah untuk aktiviti pertanian. Kemudian pada tahun 80-an, DBKL (pihak berkuasa bandar) mahu tanah ini untuk tujuan pembangunan. Penduduk telah mencabar pengusiran itu di mahkamah. Hakim Harun Hashim mengiktiraf mereka sebagai ‘peneroka bandar dan bukan setinggan, ini kerana mereka telah berkerja dan mengusahakan tanah tersebut, maka mempunyai kepentingan ekuiti dan hak ke atas tanah tersebut. Malah, mereka tidak menceroboh tanah itu pun, walaupun mereka tidak mempunyai hak milik.

(V. Paneerselvam, seorang aktivis buruh sejak berumur 17 tahun. Pada tahun 1984, beliau menyertai Biro Buruh INSAN dan memainkan peranan penting dalam mengatur pekerja. 1987, beliau menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (penolong setiausaha cawangan Brickfield). Beliau telah keluar dari PSRM pada tahun 1990 atas dasar prinsip apabila parti mengeluarkan nama “Sosialis” menjadi Parti Rakyat Malaysia (PRM) . Pada tahun 1991, SWP (Suara Warga Pertiwi) ditubuhkan dan perjuangan bersejarah SWP adalah kemenangan pekerja Ladang Sg. Rasah. Dr. Nasir bersama Selvam juga telah mengasaskan JSPB (Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar) pada tahun 1995. Dalam zaman kegemilangan JSPB (1995-1998),lebih daripada 40 komuniti peneroka Bandar di Lembah Klang telah dibantu dalam perjuangan hak perumahan. Beliau merupakan salah seorang pengasas Parti Sosialis Malaysia (1998) dan masih memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat.)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *