87 NGO berarak tuntut gaji bermaruah, jaminan makanan

KUALA LUMPUR – Sejumlah 87 badan bukan kerajaan (NGO) dan parti politik berarak hampir dua kilometer dengan mengemukakan sembilan tuntutan kepada kerajaan sempena sambutan Hari Pekerja, hari ini.

Bertemakan ‘Gaji Bermaruah, Jaminan Makanan’, perarakan secara aman itu dimulakan di perkarangan bangunan Maju Junction dan berakhir di Medan Pasar di ibu negara.

Penyelaras Sambutan 1 Mei 2023, E. Parameiswary berkata pihaknya menuntut agar kerajaan melaksanakan gaji minimum terhadap semua syarikat dan majikan tanpa syarat.

“Ada lebih 200 syarikat yang kita sudah adukan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang tidak melaksanakan gaji minimum. Jadi kita mahu gaji minimum itu dilaksanakan kepada semua pekerja.

“Lagi satu kita mahu kerajaan hapuskan sistem kontrak terutamanya di jabatan kerajaan agar kakitangan itu diserap kepada jawatan tetap.

“Lain adalah luaskan skop liputan Skim Insuran Pekerja (SIP) tidak boleh ada syarat. Kita mahu syariat-syarat itu dimansuhkan,” katanya dalam sidang media selepas himpunan itu berakhir di Medan Pasar jam 1 petang tadi.

MGF01052023_MAYDAY-21
Sebahagian warga pekerja yang menyertai perarakan aman bersempena Hari Pekerja 2023 menuntut gaji bermaruah dan jaminan makanan anjuran Jawatankuasa Mei 1 ketika tinjauan lensa Malaysia Gazette di Maju Junction, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 MEI 2023.

Dianggarkan lebih 1,000 peserta turun padang dengan membawa sepanduk dan kain rentang mendesak kerajaan mengambil perhatian terhadap tuntutan mereka.

Antara NGO yang turun padang adalah Pertubuhan Persaudaraan Pesawah Malaysia (PeSAWAH), Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Gabungan Petani dan Penternak Perak (Gapeta), Parti Sosialis Malaysia (PSM), dan Gabungan E-Hailing Malaysia (GEM).

“Kita juga mahu kerajaan melaksanakan satu skim pencen untuk warga emas memandangkan Malaysia akan menuju ke negara tua.

“Laksanakan sistem pencen Ilat untuk semua pekerja pertanian, penjaja dan peniaga kecil di sektor tidak formal serta luaskan liputan PERKESO untuk 24 jam tujuh hari seminggu dan tidak terhada hanya pada waktu bekerja,” kata Parameiswary lagi.

Sebelum ini, pelaksanaan gaji minimum RM1,500 bagi kategori majikan yang menggajikan pekerja kurang daripada lima orang yang sepatutnya dikuatkuasakan pada 1 Januari ini ditangguhkan kepada 1 Julai 2023.

Keputusan itu diumumkan Menteri Sumber Manusia, V. Sivakumar selepas mengambl kira pandangan pelbagai pihak berkepentingan yang dijangka menghadapi cabaran ekonomi serta kewangan pada tahun hadapan.

Perintah Gaji Minimum (PGM) 2022 telah berkuatkuasa mulai 1 Mei lalu dengan kadar gaji minimum RM1,500 sebulan untuk semua sektor tanpa mengira wilayah bagi majikan yang menggajikan lima orang pekerja atau lebih.

Dalam pada itu, Pengerusi PSM, Dr Michael Jeyakumar Devaraj berkata Malaysia bukan negara miskin dan kekayaan negara mesti diagih-agihkan kepada rakyat marhaen.

“Kerajaan harus jadi ‘pengadil’ dan beritahu kepada pihak yang kaya raya bahawa mereka tidak boleh ambil begitu banyak, dan kerajaan ambil cukai untuk pelaksanaan pencen warga emas.

“Malah kerajaan mesti main peranan yang adil dalam membela nasib rakyat dan bukan pro kepada golongan kaya,” katanya dalam sidang media sama.

Turut ditagih himpunan ini adalah memperkasakan hospital kerajaan agar perkhidmatan diberikan secara terbaik dan percuma, kawalan harga barangan dan perkhidmatan, malah mengiktiraf hak tanah adat bagi masyarakat Orang Asli serta mengukuhkan status tanah rizab bagi masyarakat itu.

Selain itu himpunan aman berkenaan turut menuntut agar kerajaan menghentikan pengusiran paksa dan melaksanakan polisi perumahan mampu milik dengan harga yang adil kepada pekerja.

Antara lain adalah menuntut kerajaan memansuhkan akta-akta yang menyekat kebebasan media, hak bersuara rakyat serta hentikan aktiviti mengongkong kebebasan akademi dan diskriminasi gender. – MalaysiaGazette

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *