Oleh Saraswathy Muthu
Matahari terik terus menyinari sebagai tanda menyambut lebih 1,000 pekerja, yang berkumpul pada 26 November 2000 untuk menyaksikan sambutan kemenangan. Kebanyakan mereka adalah dari Perak dan kumpulan pekerja yang lain datang jauh dari Kedah, Selangor dan Negeri Sembilan. Tempat itu dihiasi dengan poster-poster dan bendera-bendera. Simbol genggaman tangan di tengah-tengah pentas, terbukti akan semangat sambutan bersejarah ini. Rentak gendang terus membara semangat. Kemudian satu demi satu pekerja yang di nantikan keluar. 17 orang, kebanyakannya wanita berumur di antara 50 hingga 71 tahun. Mereka diperkenalkan satu per satu.
Setiap nama yang diumumkan, diikuti dengan tepukan gemuruh dan slogan. Salah seorang dari mereka berkata, ‘kami tidak tahu berapa lama perjuangan ini akan berterusan namun kami bertekad untuk meneruskan perjuangan atau mati’. Sungguh mendalam kata-kata beliau.
11 tahun lalu, pada tahun 1989, majikan mereka menyatakan bahawa penduduk Ladang mesti beri laluan untuk pembangunan, langsung memberikan notis pengusiran.Ladang Klebang di wujudkan pada tahun 1905. Seorang warga emas berumur 96 tahun masih hidup dan turut bersama menyaksikan sambutan kemenangan.
Sejurus selepas notis pengusiran, tuan punya ladang telah memotong bekalan air dan letrik pekerja-pekerja. Kehidupan mereka dalam kegelapan dan begitu banyak penderitaan. Pada tahun 1994, 5 tahun kemudian, pekerja-pekerja tersebut turun ke jalan raya. Mereka mula mengatur diri dengan sokongan ALAIGAL. Mereka membentuk satu jawatankuasa dan pada 11 September pada tahun yang sama, mengadakan satu demonstrasi. Kesemua mereka ditahan dan kemudian dibebaskan.
Berita penangkapan mereka menjadi bahan persendaan beberapa pihak, antaranya ahli-ahli MIC. Presiden MIC ketika itu, Dato S.Samy Vellu berkata ‘demonstrasi tidak akan membawa kamu ke mana-mana’. Beliau tertawakan tuntutan pekerja-pekerja untuk perumahan. Kesatuan sekerja, NUPW pula berkata, mereka tidak akan membantu lagi dan sepatutnya pekerja-pekerja harus tinggalkan ladang.
Namun begitu, pekerja-pekerja inilah yang akhirnya menang.
Akibat tekanan dari orang ramai, Kerajaan Negeri terpaksa bekalkan air kepada pekerja-pekerja. Perbadanan AMZ fail kes di mahkamah untuk meroboh 2 kuil dan satu kedai runcit. Dengan bantuan Alaigal, pihak pekerja melantik Encik Kula (bekas Timbalan Setiausaha Agung DAP) untuk mewakili mereka di mahkamah. Perbadanan AMZ kalah kes dengan kos di Mahkamah Rendah dan Mahkamah Rayuan.
AMZ semakin terdesak. Mereka cuba menceroboh tanah tetapi penduduk sangat peka dan berjaya menyekat jentolak-jentolak pemaju. Selama 5 hari berturut-turut, AMZ cuba menceroboh tapi gagal juga. Akhirnya, mereka terpaksa duduk berbincang dengan penduduk. Pada 1 Nov 2000, satu persetujuan tercapai iaitu setiap pekerja akan menerima sebidang tanah seluas 50 x 90 meter dengan segala kemudahan infra seperti bekalan air, letrik dan talian telefon. Setiap pekerja juga menerima faedah pemberhentian kerja dengan jumlah 3 kali ganda lebih besar dari amaun asal. Penduduk juga dit awar satu ekar tanah dan RM50,000 untuk pembinaan kuil.
Semasa sambutan kemenangan, pengerusi PSM, Dr. Nasir Hashim berkata, “pekerja-pekerja Ladang Klebang telah buktikan bahawa perjuangan berlandaskan kelas dan kebenaran akan membawa kemenangan dan ini adalah mesej penting kepada semua pekerja dan satu amaran kepada kapitalis dalam millennium ini.” Saudara Segar, aktivis Alaigal berkata kemenangan penduduk Klebang adalah hasil usaha penduduk, malah kuil dan ‘tuhan’ di selamatkan oleh penduduk. Kemenangan pekerja-pekerja Klebang adalah kemenangan kelas pekerja.
Saraswathy Muthu, Timbalan Pengerusi PSM. Sebagai seorang pengelola masyarakat, Saras telah mengatur masyarakat tertindas dalam pelbagai sektor – perladangan, peneroka bandar, petani dan pekerja kilang -mendidik mereka mengenai hak-hak mereka dan memberi kuasa kepada mereka untuk berjuang mempertahankan hak. Beliau, salah seorang ahli PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat atas tuduhan menghasut rakyat menyertai Pergerakan Bersih 2.0 yang dipanggil untuk perhimpunan pada 9 Julai 2011. Beliau juga adalah penerima Anugerah Yayori 2011.