Perjuangan Pengusaha Van Kilang

Oleh S. Tinagaran

Pada era 80an negara kita Malaysia telah mengalami satu perubahan yang besar di mana sektor pertanian dan sektor perlombongan digantikan dengan sektor perindustrian. Kebanyakan negeri di Malaysia berebut rebut untuk menjadikan impian perubahan ini sebagai satu kenyataan. Perubahan ini juga turut dialami secara ketaranya di negeri Perak yang satu ketika dulu  dikenali sebagai “Negeri Pengeluar Timah Yang Terunggul”.

Pada era inilah munculnya beberapa syarikat gergasi di sekitar Lembah Kinta dan juga seluruh pelusuk kawasan negeri Perak. Banyak peluang pekerjaan telah ditawarkan kepada rakyat negeri Perak. Penduduk-penduduk di sekitar bandar negeri Perak telah pun menjejak kaki mereka ke alam perindustrian. Penghijrahan mereka dari sektor pertanian dan perlombongan menjadi satu kejayaan bagi kerajaan negeri Perak.

Penglibatan rakyat kawasan pedalamaan seperti peneroka bandar dan orang-orang kampung juga tidak dikecualikan di sektor perindustrian ini disebabkan mereka tidak mempunyai alternatif yang lain. Tetapi kebanyakan mereka menghadapi pelbagai masalah, di mana mereka terpaksa mengaturkan sendiri pengangkutan  untuk berulang alik dari tempat kerja mereka. Walaupun syarikat-syarikat gergasi ini menyediakan pengangkutan kepada sesiapa yang bekerja di kilang mereka, tetapi kelebihan ini hanya dapat dinikmati oleh segelintir rakyat di sekitar kawasan bandar sahaja. Pada asalnya hanya bas-bas sahaja memberi perkhidmatan ini. Oleh itu perkhidmatan ini tidak disediakan di kawasan terpencil dimana mereka-mereka ini amat memerlukan perkhidmatan seperti ini.

Jalan yang sempit, tiada jalan bertar, tiada bas awam, tiada bas kilang, tiada kereta dan tiada motor – kerumitan ini menjadi suatu beban kepada kebanyakan pekerja yang tiada berpendapatan yang tetap,  terutamanya  golongan di bawah garis kemiskinan. Pada masa inilah munculnya beberapa individu yang memberi satu harapan kepada golongan ini di mana mereka membawa masuk van-van yang digelar sebagai van kilang. Kenderaan ini memberi perkhidmatan bukan sahaja di kawasan ini, bahkan diberi sampai kediamaan mereka iaitu rumah ke rumah. Perkara ini dapat memberi satu penyelesaian kepada rakyat negeri Perak.

Sejak hari itu ramai pengusaha van kilang telah muncul di sekitar negeri Perak bagi dua tujuan iaitu memberi perkhidmatan dan mencari nafkah secara halal bagi keluarga mereka sendiri. Perkembangan ini adalah seimbang dengan perkembangan sektor perindustrian di negeri ini.

Menjadi Mangsa Agensi Kerajaan

Malangnya, peranan pemandu atau pengusaha van kilang ini tidak mendapat restu pihak kerajaan. Akibatnya dalam tahun 90an, mereka menjadi sasaran pihak penguatkuasa negeri Perak kerana tidak menepati syarat-syarat yang ditetapkan oleh Jabatan Pengangkutan.

Kerajaan pernah memberi pengiktirafan bahawa van-van ini yang memberi pengangkutan boleh dikendalikan sebagai bas kilang dengan syaratnya pengusaha-pengusaha van kilang mesti memohon lesen dari LPKP (Lembaga Pelesenan Kenderaan Pengangkutan) dan mendapat kelulusan dari Puspakom sebelum dikendalikan sebagai van kilang. Kesemua pengusaha bersedia untuk memohon Lesen ini. Walhal banyak syarat telah dikenakan oleh LPKP di mana seseorong pemohon harus menunjukkan:

  • Bahawa kenderaan itu kepunyaan beliau
  • Perlu mengecat van kepada warna biru.
  • Telah mendaftar perniagaan di Lembaga Pendaftaraan Perniagaan (SSM)
  • Mendapatkan surat perjanjian (kontrak) di antara pengurus kilang dan pengusaha
  • Memberi Nama, Ic dan Alamat ke semua pekerja yang mendapat perkhidmatan van kilang
  • Melukis pelan perjalanan dari kilang ke kawasan perumahan pekerja, diiktiraf oleh pelukis pelan.
  • Mendapatkan Lesen PSV dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)
  • Menunjukkan wang tunai sebanyak RM10,000 hinga RM25,000 ribu, di akaun pengusaha van kilang.

Syarat-syarat ini memang membebankan golongan pengusaha van kilang terutamanya untuk mendapatkan lesen PSV, mendapatkan surat perjanjian (kontrak) dan menunjukkan wang deposit begitu banyak, sedangkan golongan ini hanya melakukan perniagaan ini secara kecil-kecilan. Kebanyakan pengusaha van kilang ini menjalankan perniagaan secara subkontrak, iaitu mereka ini akan diberi kontrak oleh main kontraktor iaitu pengusaha bas kilang. Walaupun kerajaan mengiktrifkan pengusaha van ini tetapi pihak kilang enggan memberi kontrak kepada pengusaha kecil-kecilaan ini, mereka hanya memberi kepada pengusaha bas sahaja.

Oleh itu syarat yang ditetapkan oleh LPKP susah dicapai. Lagi satu masalah ialah mendapatkan lesen PSV dimana ke semua pengusaha van kilang ini terpaksa menduduki kursus selama 8jam dan mengambil peperiksaan dengan menjawab 50 soalan objektif yang diadakan di JPJ berdekatan. Kebanyakan golongan yang melibatkan diri dalam sektor ini adalah golongan yang tidak berpendidikan dan yang berusia,  jadi setiap kali mereka pergi mengambil ujian ini, mereka gagal dan mereka terpaksa mengambil lagi kerana, untuk mendapatkan lesen ini tidak ada oral test atau  ujian lisan.Ini pun menjadi satu masalah yang menghalang mereka. Halangan yang terakhir ialah menunjukkan sejumlah wang deposit kepada LPKP iaitu sebanyak RM10,000 ribu hingga RM 25,000 yang wajib ada dalam akaun pemohon lesen tersebut. Halangan-halangan ini menjadi beban bagi seseorang pemohon.

Tindakan Penguatkuasa

Di samping permohonan yang ketat dikenakan oleh LPKP, lagi satu penguatkuasa iaitu pihak polis, pihak polis trafik dan JPJ pula menyaman pengusaha-pengusaha van kilang ini di atas sebab mereka tidak mempunyai Lesen LPKP atau lebih dikenali sebagai permit. Jadi mereka menyaman semua kenderaan yang melibatkan diri dalam sektor pengangkutan ini, sewenang-wenangnya atas dasar yang tidak munasabah dan diberi gelaran yang hebat kepada semua pengusaha van kilang iaitu ‘Van Kilang Haram’.

Saman yang dikeluarkan oleh JPJ adalah sebanyak RM300, atau kemungkinan van ini akan disita. Padahal saman yang dikeluarkan oleh pihak polis dan polis trafik adalah tindakan makamah (tiada kompoun) iaitu sebanyak RM1,200 minimum hingga RM 10,000 maksimum jika didapati bersalah.  Perkara sebegini berlanjutan bagi beberapa tahun dan ada juga segelintir pengusaha telah mengundurkan diri dari sektor ini kerana mereka sudah tidak tahan dengan tindak-tanduk pihak-pihak penguatkuasa tersebut. Banyak halangan terpaksa mereka harungi setiap hari. Pengusaha van kilang ini sebenarnya banyak menyumbangkan kepada pembangunan sesebuah keluarga, negeri dan negara. Akan tetapi tiada siapa pun menghargainya malahan diberi pelbagai bagai gelaran terhadap perkhidmatan yang diberi.

Operasi Membasmi Van Kilang

Pada tahun 21 Jun 1995, Menteri Pengangkutan pada masa itu Datuk Seri Ling Liong Sik memberi satu kenyataan bahawa satu peraturan baru akan diperkenalkan kepada pengusaha-pengusaha van kilang di mana van tersebut tak perlu mengecat warna biru, tidak akan dikurangkan tempat duduk dan van tersebut boleh digunakan bagi tujuan kegunaan sendiri seperti berniaga di pasarmalam.

Beliau berjanji akan bertemu dengan Menteri Usahawan dan berbincang tentang perkara ini dan akan membawa perubahan yang dinyatakan oleh beliau sebelum akhir tahun 1995. Ini kerana peranan perkhidmatan van kilang begitu penting untuk sektor perindustrian.

Akan tetapi, hanya hari sahaja berubah dari siang ke malam dan malam ke siang, hanya tahun sahaja berlalu dari satu tahun ke tahun berikutnya. Janji yang dikatakan tidak pernah dikotakan.Berita yang dikeluarkan pada tahun 1995 ini memberi satu semangat baru kepada ke semua pengusaha van kilang. Tetapi secara realitinya, kehidupan mereka ini tidak pernah berubah malah keadaan pemandu van kilang menjadi semakin kritikal.

Selepas 5 Tahun

Pada tahun 2000 pihak JPJ telah melancarkan satu operasi secara besar-besaran. Operasi ini dijalankan siang malam untuk membasmikan van kilang yang tiada permit. Sebanyak 20 buah van telah disita dan banyak saman telah dikeluarkan. Pekerja-pekerja yang pulang dari kerja, pekerja-pekerja yang baru nak masuk kerja, pihak JPJ tidak peduli. Penguatkausa ini secara sengajanya menurunkan ke semua pekerja ditengah-tengah jalan dan menyita van tersebut tak kira siang malam.

Tindakan ini sangat membimbangkan pengusaha van kilang. Kami tidak tahu hala tuju. Ke semua usaha-usaha kami berada dalam keadaan yang tergantung. Kami berasa serba salah kerana melibatkan diri dalam perkhidmatan ini.Kami sudah tidak tahan dengan keadaan seperti ini. Setiap pagi, semasa kami start enjin van, kami terpaksa berdoa agar tiada perkara yang tidak diingini berlaku. Kehidupan kami seakan dalam ketakutan. Takut punca rezeki kami akan dirampas oleh penguatkuasa.

 

Masa untuk Mengatur

Kenyataan Menteri Pengangkutan, 1995

Pada 5 November 2000 saya sebagai salah seorang pengusaha van kilang mengeluarkan satu risalah kepada semua pengusaha van kilang agar tampil ke hadapan untuk membuat satu tunjuk perasaan di hadapan Jabatan Pengangkutan Jalanraya Ipoh Perak. Tunjuk perasan ini dicadang bermula pada 13 November 2000 tiap-tiap hari pada jam 9 pagi hingga 12 tengahari, sehingga medapat satu keputusan yang adil. 

Ini adalah satu tindakan yang terakhir bagi mendapat hak kami para pengusaha van kilang.  Pada masa itulah saya dapat berjumpa dengan saudara Sugu dari jelapang. Beliau juga seorang pengusaha van kilang. Beliau membawa saya untuk berjumpa dengan seorang aktivis yang bernama Saudara Segar dari Alaigal. Selepas berjumpa dengan beliau barulah saya berasa seperti mendapat nafas baru bagi perjuangan kami.

Pada 13 Nov 2000 seramai 400 pengusaha van kilang menyerahkan memorandum kepada Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan Negeri Perak, Datuk Jamalludin Al-Amini Ahmad. Saudara Segar dan Saudari Saras dari Alaigal turut hadir pada hari bersejarah itu. Kandungan Memorandum adalah seperti berikut:

  • Melepaskan kesemua van yang telah disita dengan sertamerta setelah dikompoun
  • Segera menghentikan operasi penahanan van-van pekerja kilang
  • Mengadakan Dialog dengan jawatankuasa sementara Pengusaha Van Kilang
  • Meluluskan permohonan permit dalam jangkamasa yang singkat dengan memberi beberapa kelonggaran
  • Menyediakan Borang permohonan di setiap JPJ Negeri untuk membuat permohonan dengan cepat.

Berikutan penyerahan memorandum, kami telah mendapat sambutan yang baik dari pihak media dan rakyat negeri Perak. Sejak itu, tajuk utama dalam beberapa suratkhabar yang berturutan dan isu kami telah dibawa dan dibincangkan di kabinet pada 9 Dec 2000 dan mengarahkan satu kajian dibuat untuk menentukan keperluan dan kedudukan kami. Justeru, pihak JPJ juga telah memberi tarikh untuk satu perjumpaan iaitu pada 11 Disember 2000.

Meja Rundingan

Pihak LPKP dan Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) juga turut hadir pada sesi perbincangan dengan pihak JPJ pada 11 Disember 2000. Dalam perjumpaan ini kami jawatankuasa seramai 13 wakil hadir dalam perbincangan ini. Perbincangan ini mengambil masa lebih satu jam dan dalam masa itu banyak perkara kami terangkan kepada Pengarah JPJ Perak. Keputusan yang dicapai dalam mesyuarat itu adalah:

  • Selama 6 bulan (sehingga 31 Jun 2001) JPJ menghentikan operasinya dan diminta para pemilik van kilang tanpa permit membuat permohonan ke LPKP
  • Dipersetujui untuk memakai nama pemilik van kilang tanpa permit dan bukan lagi van haram.
  • LPKP juga bersetuju supaya grand van boleh dipakai sebagai modal dan salinannya perlu disahkan oleh finance atau bank. Sebelum ini modal sebanyak RM10,000 hingga RM 25,000 diadakan sebagai syarat untuk memperolehi permit, sekarang tidak perlu.
  • Mendapatkan surat sokongan dari pengurus kilang untuk memastikan membawa pekerja dari kilang berkenaan. Sebelum ini perlu menunjukkan surat Kontrak.
  • Harus mempunyai Lesen PSV dan Pendaftaran Perniagaan (enterprise /Sdn Bhd)

Kami jawatankuasa berasa sangat berjaya selepas mengadakan mesyuarat ini hinggalah munculnya masalah baru, yang tidak terlintas dalam fikiran.

 

Lesen PSV

Walaupun Pihak JPJ dan LPKP memberi kerjasama tetapi kami pengusaha van kilang tidak dapat memenuhi syarat yang ditetapkan oleh LPKP iaitu mendapatkan lesen PSV sebelum menyerahkan permohonan.  Syarat untuk mendapatkan lesen ini agak sukar kerana harus menduduki kursus selama 8 jam dan wajib mengambil ujian bertulis, tiada ujian lisan.Hal ini menjadi sebagai penghalang utama bagi kebanyakan pengusaha untuk mendapatkan permit kerana kebanyakan pengusaha adalah buta huruf. Dengan segeranya jawatankuasa mengambil keputusan untuk menyelesaikan masalah ini.

Pada 27hb Dis 2000, kami menghantar surat rayuan kepada Pengarah JPJ Perak. Dimaklumkan mereka tidak mempunyai kuasa untuk menukarkan cara untuk memperolehi Lesen PSV.Pada bulan Feb 2001, kami menghantar surat kepada YB. Dato Seri Ling Liong Sik, Menteri Pengangkutan dan kepada Ketua Pengarah JPJ Malaysia supaya beliau campurtangan bagi menyelesaikan masalah PSV dengan memberikan kelonggaran untuk memudahkan ke semua pengusaha van kilang dapat membuat permohonan permit secepat mungkin. Satu delegasi telah ke pejabat Menteri untuk menyerahkan memorandum.

Pada 7 April 2001: YB Menteri Ling Liong Sik mengadakan mesyuarat dengan pengusaha van kilang di pejabat MCA Ipoh Perak. YB mengumumkan beberapa kelonggaran ekoran memorandum yang dihantar. Antara kelongaraan adalah:

  • Batalkan / Hentikan ujian teori lesen PSV yang menjadi masalah utama kepada para pemilik van dan mengadakan semula ujian lisan untuk memgatasi masalah ini.
  • Mengarahkan pihak JPJ Perak supaya menghentikan sebarang bentuk penahanan van kilang tanpa permit atau mengeluarkan saman sehingga permohonan permit ke Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) diselesaikan.
  • Melanjutkan tempoh masa enam bulan yang diberikan oleh JPJ Perak (yang tamat pada Jun 2001) sehingga masalah PSV dan permohonan permit diselesaikan.
  • Mengadakan perbincangan dengan pihak polis dan polis trafik supaya menghentikan pengeluaran saman ke atas para pemilik van kilang tanpa permit sehingga isu permit diselesaikan.
  • Ujian teori untuk PSV dibatalkan dan digantikan dengan kursus selam 3jam dan seterusnya memperolehi lesen PSV.
  • Tempoh juga dilanjutkan dari 31 Jun 2001 ke 31 Ogos 2001, dimana sehingga itu pihak JPJ tidak akan menahan atau menyaman sebarang van kilang.

Perjumpaan ini menjadi satu kejayaan yang sangat besar dalam sejarah dan juga mendapat liputan yang agak meluas dari pihak media pada hari berikutnya.

Selepas mendapat beberapa kelongaran yang terbaru kami Jawatankuasa membuat perjumpaan dan mesyuarat di seluruh negeri Perak. Antaranya adalah kawasan Utara Bagan Serai, kawasan Manjung Sitiawan dan seluruh kawasan Ipoh.Sebanyak 1000 orang pengusaha dan pemandu van telah memohon lesen PSV ini dalam masa yang singkat berikutan kelongaran yang diberi.

 

MIC mau Kredit

Dalam kegirangan ini, timbul pula masalah baru di mana sekumpulan orang yang datang dari Kuala Lumpur mengatakan kononya mereka telah lama dalam perjuangan ini untuk mendapatkan permit iaitu lebih tiga tahun.

Kumpulan itu pula mengadakan mesyuarat dengan pengusaha-pengusaha van kilang India sahaja di Ipoh dan menyuruh ke semua pengusaha supaya mengikuti mereka. Akhirnya kami mendapat tahu bahawa mereka ini adalah kuncu-kuncu MIC yang dihantar oleh Dato seri Samy untuk memecah belahkan perjuangan kami.Pada hari yang sama juga Dato Seri Samy berbual dengan saya melalui telepon dan menanya saya, sebab apa saya tidak datang berjumpa dengan dia. Beliau juga menasihati saya supaya jangan ikuti dengan kumpulan Alaigal iaitu Dr. Jeyakumar. Beliau turut memberi nombor telepon peribadi beliau dan meminta saya menghubungi beliau jika saya perlukan sebarang pertolongan.

Berikutan ini, pada pilihanraya kecil Lunas ada seorang individu yang mengaku sebagai pengerusi MIC salah satu cawangan Sungai Siput menelefon saya dan mengugut saya, jika saya terus berdegil dengan tidak mengikut dan meminta bantuan dari Dato Seri Samy. Dia beritahu saya bahawa, “you mau apapun tanya Dato dia boleh kasi, dia ada semua maklumat tentang you, kalau tidak susah nanti”.Selepas dua hari, lebih kurang 4 kereta Perdana yang berwarna Hitam mengekori di belakang van saya dari tempat kediamaan ke kilang. Tetapi tidak buat apa pun. Mereka ini cuba menakutkan saya dengan menghantar gangster-gangster. Ada juga beberapa individu yang berlainan pernah mengugut saya dengan menelefon saya. Kami pernah membuat aduan polis tentang peristiwa ini. Selepas itu tiada lagi kes seperti ini berulang

 

 

Yang Berani Berjuang Pasti Menang

Dalam perjuangan ini lebih kurang 1000 pengusaha dan pemandu van kilang telah memperolehi lesen PSV ini dengan mudah, dan golongan ini telah memohon permit sejurus mendapat lesen PSV. Selepas memohon Pegawai LPKP turun ke Negeri Perak untuk mengadakan temuduga secara kelompok. Biasanya dulu kami terpaksa pergi ke Kuala Lumpur untuk ditemuduga.

Selepas sebulan keseluruhan permohonan telah diluluskan. Pada peringkat pertama lebih kurang 156 permit telah diluluskan pada 16 September 2001. Penyampaian permit ini diberi oleh Menteri Usahawan Datuk Seri Nazri Abdul Aziz di Ipoh Perak. Lebih 500 permit telah diluluskan kepada pemohon yang berkelayakaan dalam masa dua tahun.Kejayaan ini adalah hasil titik peluh oleh kesemua pengusaha-pengusaha van kilang dan juga penglibatan Alaigal yang sangat komited. Kejayaan ini juga menunjukkan bahawa perjuangan rakyat tetap mendapat kejayaan.

 

S.Tinagaran menjadi pendukung dalam perjuangan untuk membela nasib pemandu van swasta antara tahun 2000 sehingga 2003. Beliau adalah seorang graduan ijazah Kejuruteraan dan mempunyai Sarjana dalam bidang Pengurusan Perniagaan. Buat masa ini beliau mempunyai satu Pusat Tuisyen di Rembau, Negeri Sembilan. Beliau juga memegang jawatan Setiausaha PSM Cawangan Seremban sejak 2008. Beliau juga banyak terlibat dalam isu-isu akarumbi di kawasan Negeri Sembilan.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *