Dua lelaki ganggu tugas penjawat awam ditahan

IPOH: Polis menahan dua lelaki selepas dipercayai cuba menghalang penjawat awam menjalankan tugas di sebuah lot tanah persendirian di Chepor, Chemor di sini pagi tadi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, dua lelaki tempatan yang mengaku sebagai ahli Parti Sosialis Malaysia (PSM) itu ditahan selepas enggan memberi kerjasama dan tidak mahu beredar seperti yang diarahkan pegawai polis bertugas.

Malah beliau berkata, kedua-dua mereka turut melakukan provokasi terhadap pasukan keselamatan.

“Pihak polis menerima maklumat daripada orang awam pada pukul 8.35 pagi mengenai sekumpulan lelaki telah menghalang dan mengganggu kerja-kerja pembersihan di lot tanah persendirian itu selain mengancam keselamatan pekerja-pekerja pemilik tanah.

“Bertindak atas laporan itu, pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh dan Balai Polis Kuala Kuang telah ke lokasi kejadian untuk mengesahkan maklumat berkenaan.

“Peneriksaan mendapati kumpulan tersebut telah gagal mengemukakan hak pemilikan ke atas tanah berkenaan dan dinasihatkan untuk bersurai bagi mengelakkan kejadian tidak diingini daripada berlaku,” katanya dalam kenyataannya di sini hari ini.

Menurut beliau, kebanyakan individu daripada kumpulan itu akur dan beredar dari tempat kejadian namun terdapat dua lelaki enggan memberi kerjasama.

Katanya, pihak polis terpaksa mengambil tindakan selepas tiga amaran diabaikan dengan menahan mereka mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan iaitu menghalang penjawat awam dalam menjalankan fungsi jawatannya dan Seksyen 447 Kanun Keseksaan kerana menceroboh.

“Tangkapan terpaksa dilakukan bagi mengelakkan mereka terus menghasut orang ramai mengganggu ketenteraman awam dan menceroboh kawasan itu.

“Amaran tegas turut diberikan kepada pihak-pihak berkepentingan supaya tidak terus menghasut orang awam menceroboh tanah milikan orang lain kerana ia tindakan tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang,” katanya. – UTUSAN 

Sumber: Utusan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *