Ketika artikel ini ditulis, rakan seperjuangan saya YB Dr Jeyakumar, Ahli Parlimen Sungai Siput, diberitakan akan dikenakan tindakan di bawah Akta Kanak-kanak 2001, atas penganjuran kempen berbasikal, ‘Rakyat Pengayuh Perubahan’.
Kempen ini dijayakan oleh satu pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dikenali sebagai ‘JERIT’ iaitu singkatan kepada Jaringan Rakyat Tertindas. Objektif JERIT ialah untuk membangkitkan kesedaran rakyat atas isu-isu rakyat yang memerlukan perhatian segera. Mereka berbasikal sambil mengumpulkan tandatangan atas tuntutan yang yang akan diserahkan kepada YAB Perdana Menteri Malaysia pada 18 Disember 2008. Terdapat 6 tuntutan daripada JERIT.
Yang pertama – Gubal Akta Gaji Minima. Kedua – Mansuhkan ISA. Ketiga – Perumahan Selesa Untuk Rakyat. Keempat – Kawal Harga Barangan. Kelima – Pulihkan Pilihanraya Majlis Tempatan. Keenam – Hentikan Penswastaan Perkhidmatan Asas.
JERIT telah singgah di pekan Gopeng pada 12 Disember 2008 dan diraikan oleh pihak kami dengan jamuan makan tengahari dan ucapan alu-aluan serta kata-kata perangsang daripada saya sendiri. Kami turut mendoakan agar mereka berhati-hati dalam perjalanan dan selamat sampai ke destinasi mereka.
Paparan asal di ADUN Simpang Pulai