Ladang Sg. Rinching: Tiada Kemenangan tanpa Pengorbanan & Perjuangan

Oleh Arutchelvan Subramaniam

21 Mar 2010, bekas pekerja-pekerja Ladang Sg. Rinching dan komrad-komrad Parti Sosialis Malaysia (PSM) meraikan kemenangan satu perjuangan yang telah berlanjut lebih dari satu dekad. Perjuangan mereka melawan syarikat perladangan, pihak pemaju dan kerajaan negeri Selangor menuntut rumah selesa telah berakhir.

Faktor penting untuk kemenangan suatu perjuanganadalah kita perlukan satu komuniti yang bersatu, ketabahan dan wira-wira yang berani.  Di Sg. Rinching perjuangan mereka lemah dari segi perpaduan dan ketabahan militan tetapi mereka mempunyai seorang ketua bagai hero, Ramalingam Thirumalai.

Cerita Ladang Sg. Rinching yang terletak di antara Semenyih dan Beranang, boleh memberi ilham dan pada masa yang sama boleh menghampakan. Mengilhamkan kerana ia mengambil masa 15 tahun untuk menyelesaikan masalah perumahan bekas pekerja-pekerja ladang mengalahkan satu gergasi koprat yang berpengaruh. Hampa kerana perpecahan dalaman antara kaum pekerja  yang beterusan sangat menyakiti dan amat menghampakan.

Pada satu ketika di ladang itu ada 105 pekerja atau 61 keluarga. Apabila mereka berdepan dengan pengusiran, 39 keluarga tegas dalam pendirian mereka untuk melawan balik pengusiran dan akhirnya pada hari ini, sambutan kejayaan hanya dihadiri 10 pekerja atau 8 keluarga. Apakah harus kita panggil terhadap mereka yang meninggalkan perjuangan ini awal-awal lagi? Adakah anda panggil mereka pembelot atau oportunis? Atau adakah anda panggil mereka yang meneruskan perjuangan sampai akhir ini sebagai degil?

Ladang Sg. Rinching adalah satu ladang kecil tetapi dikalangan penduduk di situ, ada banyak watak-watakyang menarik dan berwarna-warni. Ada seorang yang dikenali sebagai “mandoor” yang selalu berpakaian kemas dan hebat bercakap. Seorang bernama Mamunirasan, sering lambat faham sesuatu perkara tetapi seorang yang baik, Nadrajah pula yang dikenali kerana kefasihan dalam bahasa Tamil dan slogan-slogan radikalnya yang selalu berakhir dengan kata-kata seperti tumpahan darah. Ramayee, seorang wanita berani sehingga perananya disegani kaum lelaki. Wong, seorang yang sentiasa tenang dan bersama dalam setiap detik perjuangan. Ayamah yang telah bersama dalam perjuangan sehingga saat-saat terakhir. Ramalinggam, seorang yang sentiasa rajinlari ke sini ke sana membuat bermacam-macam tugasan. Terdapat watak-watak lain, contohnya anak beranak pemimpin-pemimpin ini yang tidak kurang juga pentingnya.

Berkenaan musuh mereka pula, syarikat yang memberi mereka kerja dan kini notis pengusiran. Syarikat tersebut bukanlah kepunyaan mana-mana syarikat perladangan gergasi yang kaya-raya seperti Guthrie, Sime Darby, Taiko Plantation atau Golden Hope. Ia dimiliki oleh Heah Seok Yeong Realty Sdn Bhd (HSYR) dan bukan ahli MAPA (Persatuan Pengeluar Pertanian Malaya). Saya masih ingat, sebelum isu pengusiran ini, kami telah berjaya mendapatkan syarikat ini membayar tunggakan gaji seperti mana yang dibayar oleh ladang-ladang MAPA apabila syarikat itu enggan mahu berbuat demikian. Ia adalah satu kemenangan yang kami semua di CDC (Community Development Centre) sungguh gembira dan pekerja-pekerja telah menghadiahkan kami tiga cincin emas sebagai tanda penghargaan. Tiada seorang pun dari kami yang mahu menyimpan cincin tersebut, akhirnya CDC diminta simpan cincin tersebutsebagai deposit untuk perjuangan masa depan.

Walaupun HSYR sebuah syarikat kecil dimana menurut pekerja ia dibeli dari orang putih. Penduduk masih bercakap tentang pengurusan orang putih diladang tersebut namum tiada banyak maklumat. Memang dari segi saiz, ladang itu kecil tetapi dari segi kondisi kerja, penindasan pekerja, sistem gaji harian yang tidak adil dan kondisi rumah pekerja yang teruk adalah konsisten dengan syarikat-syarikat perladangan lain.

Malahan, rumah-rumah pekerja di ladang ini terletak di tiga lokasi iaitu satu dipisahkan oleh jalan lama KL-Seremban manakala dua lagi lokasi dipisahkan oleh satu lembah kecil. Lokasi rumah-rumah pekerja di 3 penjuru memudahkan majikan mereka pecah dan perintah. Perkara ini memainkan peranan dalam memecah belahkan penduduk pada peringkat akhir perjuangan mereka menentang pengusiran.

Selepas lebih dari 60 tahun, pada 21 November 1994, pekerja-pekerja diberi notis pengosongan kerana HSYR telah menjual ladang dengan pekerjanya sekali kepada Agenda Istimewa kepunyaan Nam Fatt Corporation Berhad. Kami diberitahu oleh Cawangan Khas Polis Kajang bahawa salah seorang daripada anak Perdana Menteri ada kepentingan dalam projek ini dan ini telah menyebabkan perjuangan kita semakin sukar kerana pandangan umum polis adalah, kita harus kosongkan tanah. Tetapi pihak polis juga kurang senang dengan kehadiran kami kerana mereka pernah saksikan bagaimana kami telah membawa kemenangan di Ladang Braemar dimana ia juga terletak dalam daerah polis Kajang.

 

Pusat Pebangunan Masyarakat (CDC)

Peringkat pertama perjuangan sememangnya terhadap NUPW (Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang). Pada awalnya, NUPW menuntut rumah ataupun tanah, RM300 pampasan tambahan dari HSYR. Masalah dengan NUPW ialah, mereka tidak mahu mengadakan sebarang mesyuarat dengan penduduk sebelum membuat rundingan dengan pihak majikan. Ini mengecewakan pihak pekerja dan menimbulkan rasa prasangka.

Pada 27 Disember 1994, syarikat tersebut dalam satu mesyuarat dengan NUPW telah bersetuju memberi pampasan tambahan RM300 (ex-gratia) tapi bukan perumahan. Kemudian, dalam satu lagi mesyuarat, mereka tawarkan pekerja sebidang tanah yang boleh dibeli pada harga RM14,000. Ia terletak di tanah simpanan TNB. Mereka meminta pekerja bayar tunai tetapi hak milik tanah yang hanya boleh diperoleh selepas setahun. Sementara itu, HSYR dengan sombongnya memberitahu pekerja-pekerja untuk tinggal di rumah panjang sehingga mereka boleh cari rumah baru. Syarikat tersebut sangat terdesak untuk mengusir pekerja-pekerja dari kuarters pekerja sekarang.

Pekerja tempatan di Sg.Rinching tidak puas hati dengan urusan ini dan meminta rumah dibina. Mereka tidak mahu keluar dari ladang sehingga rumah dibina. Pekerja-pekerja tidak puas hati dengan cara NUPW membuat perundingan dan pada 15 January 1995, mereka telah membentuk satu Jawatankuasa dan memulakan rundingan langsung dengan syarikat. Kami (CDC) bersama pihak pekerja di kala ini dan kami memang faham kekecewaan mereka. NUPW pula berpandangan bahawa tawaran syarikat adalah satu urusan yang baik dan tiada niat untuk memperjuangkan tuntutan rakyat.

Sementara itu, pihak syarikat pula tidak mengiktiraf jawatankuasa yang dibentuk oleh majoriti pekerja dan telah meneruskan urusan dengan NUPW serta menandatangani perjanjian pada February 1995. NUPW telah menandatangani perjanjian tanpa persetujuan pekerja. Mereka meminta pekerja menerima sahaja perjanjian yang dibuat dan juga menegaskan mereka tidak boleh mengendali isu perumahan memandangkan itu bukan mandat mereka kecuali isu-isu berkaitan pekerjaan.Syarikat pula menggunakan perjanjian ini sebagai alasan ntuk mengusir pekerja secara paksa.

Pekerja-pekerja menentang habis-habis. Oleh itu, babak pertama dalam perjuangan ini adalah terhadap NUPW di mana hubungan terputus dengan Kesatuan dan pekerja-pekerja telah menubuhkan jawatankuasa mereka sendiri untuk memperjuangkan takdir mereka. Syarikat pula cuba meratakan tempat itu dan mengusir penduduk ke rumah panjang tetapi tidak berjaya. Pekerja tegas dalam pendirian mereka.

 

Agenda Istimewa

Babak kedua adalah tempoh yang lebih menarik – puncak perjuangan adalah antara tahun 1996 hingga 2000. Pada 1 Julai 1996, pihak pemaju Agenda Istimewa mula menebang pokok. Seperti biasa strategy mereka adalah untuk mengasingkan pekerja dari pokok-pokok. Ini akan menimbulkan banyak kesusahan kerana tanah lapang akan menyebabkan kepanasan yang ekstrim dan ketidakselesaan disamping tiupan debu ke rumah-rumah mereka. Ini akan memaksa pekerja keluar dari ladang. Satu strategi yang diguna pakai dengan berjaya di Ladang Bukit Tunggu.

Pengalaman luas yang diperoleh daripada perjuangan ladang lain seperti Ladang Braemar, telah menyediakan pekerja-pekerja Ladang Sg. Rinching untuk berdepan dengan peristiwa yang bakal berlaku. Pada 24 Julai 1996, mereka menulis tuntutan mereka di atas kayu papan dan mendukung papan tersebut ke seluruh kawasan ladang, diiringi dengan pukulan gendang tradisional India ‘yurimi’. Papan tuntutan tersebut dipacakkan untuk paparan awam. Untuk menjaga keselamatan kawasan mereka, 100 meter sekeliling kawasan rumah dilindungi dari pencerobohan pemaju dan mesin-mesin mereka. Sah, sekarang ia adalah konflik tanah atau perang kawasan yang serius.

Dalam 15 tahun yang lalu, kawasan 100 meter ini telah diceroboh dan dicabuli oleh pemaju satu dozen kali dan setiap kali pekerja kena respon dan memacak semula papan amaran 100meter dan membuat aduan polis. Mereka kena mengejar mesin pemaju yang mungkin datang dari mana-mana arah.Pada Januari 20, 1997, pekerja-pekerja akhirnya mendapat masa untuk berehat apabila kedukaan mereka semakin mengacau dan kerajaan Negeri Selangor melalui EXCOnya, Rajagopal mengadakan satu mesyuarat dengan pekerja-pekerja. Dalam mesyuarat ini, syarikat setuju untuk menyelesaikan masalah perumahan termasuk peruntukkan tanah untuk kuil.

Oleh kerana janji tidak ditepati dan polisi kerajaan negeri Selangor meminta isu perumahan pekerja ladang diselesaikan dulu sebelum kerja-kerja pembangunan bermula juga tidak dihormati, maka pekerja mengadakan tunjuk perasaan pertama di luar kawasan ladang di tapak pejabat Agenda Istimewa dekat Taman Midah, Jalan Cheras pada 15 Julai 1998. Jalan Cheras yang sibuk melihat satu lagi protes tapi bukan untuk isu tol, sebaliknya pengusiran paksa.Pekerja-pekerja berjaya menjaga 100 meter sekeliling rumah mereka dari pencerobohan pemaju. Banyak cerita perjuangan tentang bagaimana mereka berjaya menghalang pemaju dari masuk ke kawasan lindungan mereka atau menebang pokok-pokok.

Dari sudut propaganda, laungan pekerja ialah, pihak pemaju hanya perlu kos 0.04% untuk membina mereka rumah dan kos ini boleh didapatkan kembali dengan menjual hanya 2 unit bungalow. Kita nak tegaskan bahawa ini adalah perjuangan kelas.

Syarikat berkenaan teruskan kerja-kerja pembangunan mereka dan pada 4 Disember 1998, project mereka dilancarkan oleh Menteri Besar Selangor ketika itu, Tan Sri Abu Hassan. Kemeriahan pemaju telah diganggu. Pekerja-pekerja  membuat demonstrasi sepanjang jalan dan di tempat pelancaran projek. Di tapak pelancaran, hujan lebat dan saya masih ingat bagaimana kami berdiri dengan pekerja-pekerja dan anak-anak mereka di bawah hujan lebat mendukung poster-poster protes. Ia mungkin satu scenario yang sesuai untuk gambar tamil tapi ini adalah perjuangan sebenar dengan hujan betul. Kami basah kuyup tapi tidak tenggelam. Perjuangan ini mendapat simpati dan sokongan moral. Ada pihak kerajaan dan pemaju yang mahu mengambarkan betapa kejamnya kami membawa anak-anak kecil semasa hujan untuk protes tapi pandangan sebegitu hanyut dalam air hujan. Demonstrasi ini telah memberi satu persepsi betapa seriusnya kita dalam meneruskan perjuangan ini.

Satu lagi peristiwa kemuncak dalam tempoh ini ialah tunjuk perasaan yang dibuat diibupejabat Agenda Istimewa – Nam Fatt di Klang. Ini adalah sata jangkamasa yang begitu genting sekali. Agenda Istimewa teruskan kerja-kerja projek mereka. Jangkamasa ini akan diperingati untuk aksi-aksinya yang telah membawa isu pekerja Ladang Sg. Rinching ke perhatian awam.

 

Tindakan Undang-Undang

Babak ke tiga perjuangan ini adalah tahun-tahun selepas 2000. Satu tempoh yang mencabarkan dan meletihkan. Dalam tempoh yang panjang ini, pemaju menggunakan pelbagai taktik seperti membeli pemimpin-pemimpin, membuat urusan secara individual dengan pekerja, menimbulkan rasa takut, menggunakan samseng untuk memberi amaran kepada pekerja, menggunakan pengaruh MIC untuk menerima tawaran dan macam-macam lagi. Ada pekerja yang sudah letih. Perjuangan ini menuntut begitu banyak pengorbanan dan tiada jalan sekat dalam tawaran.

Syarikat juga sudah berundur dari perancangan rumah panjang dan maklumkan akan membina rumah pangsa kos rendah. Ia bersetuju untuk memberi pampasan RM17,000 jika pekerja tinggalkan ladang ketika itu juga. Dimaklumkan bahawa rumah boleh dibeli pada harga diskaun RM39,000 apabila rumah sudah siap dibina. Diberitahu juga bahwa sesiapa yang tidak mahu ambil tawaran, maka mereka tidak akan menerima apa-apa lagi dan kes akan di bawa ke mahkamah untuk mengusir penduduk.

Kemudian, syarikat itu merancang untuk mengambil tindakan undang-undang dan ini adalah tamparan hebat. Ini memang berhasil dan ramai juga tinggalkan ladang. Paling teruk, banyak juga konflik dalaman yang menyebabkan beberapa keluarga tergesa-gesa menerima tawaran dan tinggalkan ladang.

Perkara paling mengecewakan yang kumpulan ini buat sehingga membawa kemudaratan kepada perjuangan yang lebih besar ialah mereka membuat satu perjanjian tambahan dengan pihak pemaju dimana ia menyatakan bahawa kumpulan ini sedia tinggalkan ladang tetapi mereka harus diberikan faedah yang sama dengan pihak pekerja yang terus berjuang. Ini adalah trump kad kerana ia memberi ruang kepada opurtunis dan parasit untuk mengaut hasil titik peluh mereka yang berani teruskan perjuangan. Opurtunis-opurtunis ini boleh tinggalkan ladang dengan gembira tanpa melalui kepedihan dan konfrontasi-konfrontasi dari pengusiran ini. Ini juga menyebabkan orang keluar dari ladang kerana mereka masih dapat apa yang lain akan dapat. Babak ini dimenangi oleh Syarikat.

Babak ke-empat dan terakhir adalah selepas 2002. Jumlah pekerja yang masih ada untuk meneruskan perjuangan bertambah kurang. Namun mereka memang mempertahankan ladang dengan Ramalingam memainkan peranan sebagai pemimpin teragung, memikul tugasan yang berat. Semakin lama, tugas menjadi semakin susah kerana bilangan pekerja semakin kurang. Segala tanggungjawab jatuh atas bahu Ramalinggam dan keluarganya. Beliau adalah satu-satunya pemimpin yang masih ada di ladang.

Pada September 2002, pihak syarikat telah pergi ke mahkamah untuk mengusir baki pekerja. Itu merupakan satu lagi kemenangan kepada syarikat, kerana ini mendorong beberapa pekerja mengambil tawaran dan keluar dari ladang. Kes mahkamah ditarik balik atas sebab teknikal dan syarikat mulakan tindakan mahkamah kedua pada tahun 2005.

Pada September 2004, keadaan menjadi sangat rumit kerana Agenda Istimewa terpaksa menceroboh masuk 100 meter kawalan penduduk untuk melengkapkan fasa pertama pembangunan mereka. Pekerja-pekerja yang menduduki 10 meter dari kawasan pembangunan ini mahu keluar dan ini akan menyusahkan pekerja-pekerja yang tinggal jauh sikit untuk menghentikan kemaraan pemaju. Samseng-samseng digunakan dan perjuangan terpaksa dikompromi pada saat ini. Ia dipanggil satu langkah ke belakang dan dua langkah ke depan. Menggunakan pelbagai helah, kita berjaya memaksa pemaju ke meja rundingan.  Mesyuarat kritikal ini diadakan dipejabat peguam pemaju pada 21 September 2004, dimana kita setuju untuk melonggarkan kawalan 100 meter di satu bahagian dan membenarkan pemaju menjalankan kerja di kawasan tersebut. Sebagai balasan, kita merundingkan rumah kos rendah sama ada di tingkat bawah atau tingkat pertama.

Boleh diperhatikan di sini bahwa pekerja terpaksa kompromi tuntutan mereka untuk rumah teres kos rendah sebab tidak ada pembinaan rumah teres kos rendah di kawasan itu. Disamping itu, bilangan pekerja tidak cukup besar untuk mendesak pemaju membina rumah teres. Pada masa yang sama, pihak syarikat pula sedia untuk menawarkan rumah kos rendah. Tawaran mereka ialah RM38,000 satu unit dan ganti rugi RM17,000.

Pada 26 Ogos 2005, syarikat sekali lagi pergi ke mahkamah Tinggi Shah Alam.  Pihak pekerja diwakili oleh Manogar, seorang aktivis bersama kumpulan Concerned Citizen Group (kini MP Teluk Intan). Tetapi kes tidak berjalan kerana menunggu hasil rundingan. Aksi pekerja yang seterusnya dengan Dewan Undangan Negeri telah membawa harga rumah kepada RM35,000.

Pada Januari 2008, di saat ahkir perjuangan, pekerja ditunjuk rumah yang ditawarkan kepada mereka. Pekerja-pekerja melawat rumah tersebut dan puas hati. Seluruh rumah ditutupi dengan jubin, terdapat 3 bilik, bilik mandi dan tandas terasing. Semua pekerja ditawarkan rumah di tingkat bawah dan tingkat pertama seperti mana syarat penyelesaian. 10 orang pekerja terbabit cukup gembira dan seronok.

24 Januari 2008, adalah satu lagi saat bersejarah apabila ke 10 pekerja berhimpun di tapak pejabat Agenda Istimewa, Kesuma Lakes. Kali ini mereka bukan berdiri di sini untuk protes tetapi untuk menandatangani Perjanjian Jual Beli (S & P) yang akan membolehkan mereka menjadi pemilik rumah pangsa kos rendah pada harga separuh memandangkan mereka diberi gantirugi RM17,000 setiap seorang.

Kemudian timbul pula masalah mendapatkan pinjaman bank dan memindah keluar. Pada hujung tahun 2009, kebanyakan dari 10 pekerja telah keluar. Ramalingam dan beberapa orang lagi masih ada diladang sebab ada beberapa perkara masih belum selesai. Hujung bulan Mar 2010, semua pekerja pun sudah keluar setelah masalah mereka diselesaikan.

Keraian kemenangan di Sg. Rinching adalah satu sambutan sederhana. Pekerja-pekerja dan aktivis dari ladang bersebelahan turut bersama. Dr. Nasir, Selvam, Sivarajan dan komrad-komrad CDC yang lain berada bersama untuk meraikan kemenangan pekerja. Bagi CDC dan PSM, ini adalah satu lagi cenderahati dalam almari.

Saya balik dengan hati lega kerana satu perjuangan telah tamat. Sayamengenangjuga. Sekiranya bilangan pekerja di ladang Sg. Rinching ramai, sekiranya ada ramai pemimpin seperti Ramalingam, sekiranya pekerja bersatu hati, kita mungkin berjaya dapatkan rumah percuma. Peliknya, sekali lagi hujan turun dengan lebat, dengan kilat dan guruh petir memekakkan telinga. Sinaran petir menembusi awan hitam. Pengalaman yang sama semasa sambutan kemenangan di Braemar dan Brooklands. Mungkin itu satu mesej bahawa tidaklah teruk sangat pencapaian kita.

Analisa muktamad, Nam Fatt Corporation, syarikat pemaju gergasi yang mempunyai pejabat di Hong Kong dan Sudan dan pemaju projek mewah Kesuma Lakes dan pekan saintifik komersil, akhirnya tunduk juga kepada 10 orang lelaki dan perempuan yang letih lesu, yang tidak mempunyai apa-apa lagi untuk dilepaskan kecuali rantai penindasan. Dunia akan terus mendengar cerita-cerita orang lemah mengalahkan mereka yang berkuasa. Cerita begini akan terus memberi ilham kepada generasi akan datang kerana tiada kemenangan tanpa pengorbanan dan perjuangan.

 

  1. Arutchelvam, seorang pejuang rakyat sejak 1980an. Pemangkin dalam penubuhan Pusat Pembangunan Masyarakat dan Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) serta dalam perjuangan pekerja ladang, kilang dan peneroka bandar. Sdra Arul merupakan penyelaras SUARAM dari 1995-2006, setiausaha pertama Gerakan Mansuhkan ISA, Ahli Jawatankuasa menangani masalah pengusiran masyarakat ladang dan peneroka bandar di bawah Kerajaan Negeri Selangor (Pakatan Rakyat). Arul adalah penaung Parti Sosialis Malaysia dan dipilih sebagi Setiausaha Agung PSM selama 17 tahun, kini sebagai AJK Pusat PSM.Beliau juga merupakan calon PSM untuk kerusi DUN Semenyih dalam pilihanraya umum 2008 dan 2013.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *