Oleh Saraswathy Muthu
Ladang Stratshila berumur 100 tahun. Pengurusan ladang getah ini bertukar tangan dari Harrison Crossfield kepada Golden Hope selepas Negara merdeka. Lebih 1,000 pekerja bekerja di ladang ini pada zaman kemuncaknnya. Pada tahun 1998 Golden Hope menjual ladang ini kepada, PCBD (Perak Cooperation Berhad Development) untuk tujuan pembangunan (Bandar Meru Raya Cyber City Project). Ketika itu hanya tinggal lebih kurang 50 pekerja. Mereka diberi notis penamatan kerja dan hanya layak menerima faedah pemberhentian kerja (20 hari gaji bagi setiap tahun perkhidmatan). NUPW setuju dengan perjanjian ini.
20 pekerja membantah keputusan ini. Menurut mereka ini adalah pengusiran paksaan untuk tujuan pembangunan. Mereka hilang tempat tinggal, pekerjaan dan hilang mata pencarian. Oleh itu 20 pekerja ini menuntut rumah atau tanah ganti. Kumpulan pekerja ini terdorong dengan perjuangan pekerja Ladang Klebang yang dibantu oleh ALAIGAL.
Pekerja-pekerja ini berjumpa dengan Alaigal. Dalam mesyuarat Alaigal, kami sebulat suara membuat keputusan untuk tidak melibatkan diri kerana pihak Kesatuansedang membantu mereka. Tambahan pula, penduduk diladang ini berpecah belah mengikut kasta dan banyak pergaduhan dalaman.
Secara peribadi, saya tidak dapat terima keputusan Alaigal kerana pada saya pekerja-pekerja itu adalah mangsa dan kelas tertindas. Sebagai aktivis, saya harus bersama mereka dalam perjuangan. Lagipun mereka menuntut suatu perkara asas dan ia adalah hak mereka.
Selama 3 bulan kami mencuba sedaya upaya untuk mengadakan mesyuarat di ladang kerana ada beberapa pihak seperti kesatuan, jawatankuasa kuil dan MIC kacau penduduk kerana tidak mahu penglibatan Alaigal. Kononnya, kami adalah penghasut!
Sistem Kasta
Sistem kasta ini adalah warisan yang dibawa bersama oleh pekerja-pekerja dari India Selatan ke Malaya lebih 100 tahun dahulu. Ia adalah satu ‘hadiah’ kepada British yang mengamalkan polisi pecah dan perintah di Negara-negara tanah jajahannya, sehingga mengorganisasi pekerja-pekerja menjadi satu cabaran besar. Namun begitu, pekerja-pekerja di Ladang adalah salah satu kumpulan yang paling teratur dalam tahun 1940an. Malangnya, kemunculan ‘kesatuan kuning’, satu lagi kaedah untuk mematahkan semangat perjuangan pekerja-pekerja pada tahun 1950an telah memecahbelahkan kesatuan pekerja.
Saya memang terkejut dengan situasi di Ladang Strathisila yang teruk berpecah belah disebabkan kasta, sehingga mereka tak makan minum di rumah orang lain yang berlainan kasta! Mereka tidak campur dengan satu sama lain. Kononnya, ia berdosa. Jadi, bagaimana boleh kami adakan mesyuarat?
Saya mesti bercerita tentang satu pasangan yang cukup berani untuk melanggar amalan atau adat yang kaput iaitu Komrad Kathiresan dan Jothi. Mesyuarat pertama kami di adakan di rumah mereka, di hadiri oleh beberapa pekerja sahaja. Itu adalah kejayaan pertama kami.
Isu Pencemaran Air
Dalam mesyuarat, pihak pekerja telah mengutarkan masalah mereka iaitu pencemaran air. Bekalan air mereka dari kolam buatan manusia yang terletak di kawasan bukit, lebih kurang 10km dari kuarters pekerja. Bekalan disambung melalui paip air dari kolam ke tangki air yang terletak di atas tanah. Dari situ paip disambung ke setiap rumah. Sebelum pengusiran, mereka menerima bekalan air 24 jam. Selepas notis pengusiran pula, bekalan air mereka terganggu lebih 25 kali di antara tahun 1998 – 2002. Air itu tidak lagi bersih. Ia tercemar dengan sampah dan serangga. Harapan Golden Hope, gangguan ini akan menyebabkan penduduk tinggalkan ladang.
Dengan satu kumpulan pekerja yang kecil, iaitu seramai 12 orang, kami mengambil beberapa tindakan awal. Pertama, kami membuat aduan polis terhadap Golden Hope, menuntut agar air bersig dibekalkan. Laporan kedua kami di Jabatan Alam Sekitar dan Jabatan Kesihatan di Ipoh.
Pegawai dari Pejabat Daerah (DOE) melawat dan memeriksa tapak bekalan air dan mencadangkan kepada pihak syarikat untuk membersihkan bekalan air iaitu kedua-dua tempat simpanan air. Ini telah memberi sedikit keyakinan kepada pihak pekerja dan ramai lagi telah menyertai kami.
Akhirnya, kami dapat adakan satu mesyuarat besar di Dewan Orang Ramai. Semua pekerja telah menghadiri mesyuarat tersebut di mana kami membincang tentang tuntutan mereka. Dalam mesyuarat kedua, semasa kami sedang mengesahkan segala tuntutan, tiba-tiba muncul beberapa orang dengan senjata di tangan mereka sambil mengeluarkan kata-kata kesat terhadap pekerja-pekerja wanita (kebanyakan pekerja adalah wanita). Mereka berteriak dan tendang tembok papan, “kamu nak rumah atau kamu mahu dibelasah”. Kami memang terperanjat sebab ini adalah pengalaman pertama kami dengan samseng-samseng. Mereka berulang kali berkata, ‘jangan melawan kesatuan’
Satu Langkah ke Belakang
Kami membuat aduan polis tentang insiden ini dan kami juga mengambil keputusan untuk berundur sejenak. Namun kami masih adakan mesyuarat kelompok di rumah Jothi. Dalam masa sebulan yang berikut, pekerja-pekerja menerima notis pengusiran dari pihak pemaju, PCBD. Kami tiada pilihan lain melainkan memanggil mesyuarat besar. Malangnya, hanya 20 pekerja hadir dan mereka inilah yang telah meneruskan perjuangan sehingga akhir. Mereka tegas dengan tuntutan mereka ialah rumah ganti, pekerja lain tinggalkan ladang dengan faedah penamatan kerja sahaja.
PCBD sangat agresif
PCBD telah memfail kes di mahkamah untuk mendapatkan hak milik kosong. Mereka mahu memulakan kerja-kerja pembangunan dengan segera dan luas kawasan tersebut, lebih kurang 1,000 ekar.Kami melantik komrad Balam sebagai peguam pekerja dan kes telah berjalan selama 2 tahun.
Sementara kes berjalan, Kerajaan Negeri melalui PCBD cuba mengusir keluar ke semua 20 keluarga secara kejam dan agresif. Pecubaan pertama adalah dengan memotong bekalan elektrik. Kemudian, mereka bawa beberapa jentolak besar. Ia di letak di jalan masuk ke ladang. Ladang ini sebenarnya terletak di sebelah jalan utama. Ke semua 20 keluarga sempat berkumpul dan berlaku konfrontasi antara penduduk dan pihak PCBD. Begitu ramai sekali polis berada di sana. Penduduk membuat rantai manusia sekeliling stesen letrik dan selepas 2 jam bergolak, akhirnya pihak PCBD meninggalkan ladang itu. Satu kemenangan pertama kepada pekerja-pekerja yang berjaya menyelamatkan stesen letrik yang membekalkan letrik.
Sehari selang, pihak pemaju kacau dan membuli penduduk. Selain dari stesen letrik, mereka juga datang untuk memecah bekalan air paip, dewan orang ramai, rumah-rumah kosong, kubur, rumah yang dihuni dan kedai-kedai.
Oleh kerana tanah itu luas dan mempunyai beberapa jalan masuk, penduduk terpaksa berjaga-jaga setiap masa untuk menjaga kawasan mereka (10 km radius). Kami juga mengadakan mesyuarat sekerap mungkin untuk membincang strategi dan pelan tindakan.
Mereka membahagi tugas untuk memerhati orang luar atau kenderaan yang masuk ke ladang. Ada satu insiden yang saya masih ingat, satu trak kecil berwarna merah meronda kawasan ladang – kami rasa tidak selesa dan mengusir keluar trak itu. Kemudian kami membuat aduan polis. Selepas seminggu, kami mendapat tahu PCBD sedang merancang untuk membawa masuk FRU untuk memulakan kerja mereka.
Kami membuat lebih daripada 350 aduan polis dalam 4 tahun pertama perjuangan.Kami juga membuat aduan di Bukit Aman terhadap pihak polis yang mengaju pistol terhadap pekerja dan mengugut untuk menangkap mereka jika tidak memberi laluan kepada jentolak-jentolak. Banyak kali, polis bersama pemaju semasa cubaan perobohan rumah pekerja walaupun mereka sedar kes masih di mahkamah. Ketua Balai Polis Daerah Ipoh, Ahmad Tajuddin berkata pemaju ada hak untuk memulakan kerja.
Kemenangan 13 May_ Ladang stratshila mendapat lot tanah percuma
Selepas 3 tahun berkonfrontasi, akhirnya 20 orang pekerja ini senyum besar dengan hadiah perjuangan mereka, sebidang tanah lot kepada setiap orang.
Pada awalnya mereka melawan kesatuan yang telah mempermainkan mereka, kemudian gangsterberi masalah. Sejak itu satu demi satu masalah muncul….pemaju, polis, dan Kerajaan Negeri. Pekerja Ladang Stratshila telah melawan mereka semua dengan cukup berani. Malah bila lebih kurang 30 pekerja lain memihak kepada pemaju, mereka masih teguh, membuat lebih 150 aduan polis, mengadakan beberapa demonstrasi dan berlaku beberapa pertembungan dengan pihak pemaju. Memang lebam, kalah tidak.
Mereka melawan sehingga melumpuhkan segala usaha pemaju yang mahu membangunkan kawasan sekitar tempat tinggal mereka. 20 orang pekerja ini telah berkempen di seluruh Perak dan sokongan komrad-komrad lain terus menyebarkan perjuangan mereka. Sementara pihak pemaju mencari kemenangan melalui mahkamah, pekerja pula memberi tekanan politik. Pekerja-pekerja ini memang tahu bahawa PCBD adalah ‘anak kesayangan’ Kerajaan Negeri, maka mereka bawa masalah mereka ke jalanraya. Mereka meminta Ketua Menteri untuk campurtangan. Gabungan Pekerja Perak telah berjumpa dengan Ketua Menteri Tajol Rosli. Beliau amat tertekan dan meminta PSBD menyelesaikan masalah ini.
Maka, satu penyelesaian di luar mahkamah di jalankan. PCBD akhirnya setuju dengan tuntutan asas pekerja – tanah lot percuma bersama gantirugi. Peguam pihak pekerja iaitu Komrad Bala dan kaunsel senior, Dominic Puthucheary telah bekerja keras untuk memastikan perjanjian di antara dua pihak ini bebas dari sebarang kecuaian. Pada 13 May2002 lebih 400 pekerja-pekerja dan penyokong-penyokong dari kumpulan peneroka, petani, pejaja, pekerja ladang dan kilang telah berkumpul di Mahkamah sehingga polis trafik tercabar dengan keadaan sesak. Malah pihak pemaju sendiri di iringi oleh polis.
Akhirnya, Tuan Hakim Hamid Embong mengumumkan Perintah Mahkamah yang bersejarah – 2 ekar tanah dan RM20,000 sebagai ganti rugi. Pekerja-pekerja terbabit juga menerima pampasan kerja dari Golden Hope. Kemenangan ini disambut dengan tangisan ria. Sekali lagi terbukti kemenangan bukanlah semudah itu. Kemenangan menanti, hanya untuk yang sanggup mati dan menghargai setiap detik perjuangan mereka. Salam merah kepada 20 pekerja Ladang Stratshila dan keluarga mereka termasuk semua orang yang telah bersama mereka.
Saraswathy Muthu, Timbalan Pengerusi PSM. Sebagai seorang pengelola masyarakat, Saras telah mengatur masyarakat tertindas dalam pelbagai sektor – perladangan, peneroka bandar, petani dan pekerja kilang -mendidik mereka mengenai hak-hak mereka dan memberi kuasa kepada mereka untuk berjuang mempertahankan hak. Beliau, salah seorang ahli PSM yang ditahan di bawah Ordinan Darurat atas tuduhan menghasut rakyat menyertai Pergerakan Bersih 2.0 yang dipanggil untuk perhimpunan pada 9 Julai 2011. Beliau juga adalah penerima Anugerah Yayori 2011.