Sekumpulan badan dianggotai 12 NGO, parti politik dan gerakan sivil merancang untuk mengadakan perarakan pada 1 Mei ini untuk mendesak kerajaan menaikkan kadar gaji minimum menjadi RM2,000.
Menurut Jawatankuasa 1 Mei, mereka akan berarak dari Dataran Maybank di Bangsar ke Dataran Merdeka bermula pukul 10 pagi.
Jurucakapnya Parameiswary Elumalai berkata walaupun kerajaan sudah menetapkan RM1,500 sebagai gaji minimum, jumlah tersebut masih rendah jika dibandingkan dengan kos sara hidup yang kian meningkat.
“Tidak semua pekerja menikmati gaji minimum ini bahkan ada kes apabila kontraktor kerja pembersihan masih tidak membayar pekerjanya mengikut kadar minimum yang ditetapkan,” katanya pada sidang media di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor, hari ini.
Tambah Parameiswary pihaknya mengakui keadaa ekonomi negara selepas dilanda pandemik Covid-19 semakin pulih namun pada masa sama kos sara hidup kian meningkat.
Keadaan itu, katanya, menjejaskan rakyat dalam kategori B40 yang turut melibatkan pekerja, peniaga kecil, pelajar dan penganggur.
“Oleh sebab itu kami menuntut gaji untuk pekerja boleh hidup, bukan sekadar angka minimum,” katanya.
Badan itu antara lain dianggotai Suara Rakyat Malaysia (Suaram), Parti Sosialis Malaysia (PSM), Muda, dan Persatuan Sahabat Malaysia.
Mereka bersetuju berarak dengan tema “Gaji Untuk Hidup” sempena sambutan Hari Pekerja kali ini.
Harap tidak dihalang
Perarakan sempena Hari Pekerja itu adalah acara tahunan yang dianjurkan sejak 1994. Pada tahun lalu gabungan terbabit berarak dari Maju Junction di Jalan Tuanku Abdul Rahman ke Medan Pasar dengan tema “Gaji Bermaruah, Jaminan Makanan”.
Menurut Parameiswary, laporan Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan ketika ini 35 peratus pekerja di sektor formal berpendapatan kurang daripada RM2,000 sebulan.
Katanya mengikut data pada Mac 2023 seseorang pekerja bawah 20 tahun dan mendapat gaji median RM1,500 sebulan hanya mampu mencapai kadar maksimum RM3,500 pada semasa berusia antara 45 dan 49 tahun.
Justeru kata Parameiswary perlaksanaan gaji untuk hidup sebanyak RM2,000 akan membolehkan pekerja mampu menganggung keperluan asas seperti makanan, perumahan, pengangkutan, tenaga, kesihatan, pendidikan dan simpanan untuk hari persaraan.
Tahun ini selain menuntut kadar gaji minimum yang lebih tinggi, mereka juga mahu Akta Pekerja Gig digubal bagi menjamin kebajikan pihak yang berkenaan.
Tidak ketinggalan mereka menuntut hak tanah adat Orang Asal diiktiraf, hak saksama buat pekerja imigran, pengisytiharan darurat iklim, hak kesaksamaan gender dan orientasi seksual di tempat kerja, dan pemansuhan Akta Hasutan 1948.
Parameiswary turut memaklumkan bahawa Jawatankuasa 1 Mei akan memaklumkan kepada pihak polis mengenai rancangan mereka berarak itu agar selaras dengan Akta Perhimpunan Aman 2012.
Sementara itu wakil Suaram, Azura Nik Nasron, berkata pihak berkuasa tidak mempunyai hak untuk menghalang mereka untuk berhimpun secara aman.
“Ini hak kami dan kami berharap perhimpunan tidak diganggu oleh sesiapa,” katanya.