PUTRAJAYA – 31 JANUARI 2023: “Jangan tangguh lagi! Bina rumah PPR untuk rakyat B40 di Cameron Highlands!” Beginilah seruan oleh penduduk-penduduk daripada golongan berpendapatan rendah B40 di Cameron Highlands, Pahang, yang mengunjungi Pejabat Perdana Menteri dan ibu pejabat Kementerian Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) pada hari ini untuk menyerahkan memorandum yang menggesa kerajaan supaya menyelesaikan kemelut perumahan mereka dengan memasukkan peruntukan dana untuk membina rumah PPR di Cameron Highlands dalam Bajet Kerajaan Persekutuan.
Jawatankuasa Rumah Mampu (JRM) Cameron Highlands bersama-sama dengan lebih kurang 90 orang penduduk Cameron Highlands yang hadir di Putrajaya pada hari ini, menuntut pada kerajaan supaya melaksanakan segera pembinaan rumah di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR) di Cameron Highlands. Rumah PPR yang terakhir dibina di Cameron Highlands adalah pada tahun 1970-an, iaitu lebih 50 tahun dahulu!
Menurut Suresh Balasubramaniam, aktivis Parti Sosialis Malaysia (PSM) Cameron Highlands yang telah lama memperjuangkan isu rakyat di situ, JRM Cameron Highlands ditubuhkan sejak tahun 2017 untuk memperjuangkan isu perumahan bagi golongan B40 yang menetap di Cameron Highlands.
“JRM telah banyak kali menghantar surat, memorandum dan sebagainya kepada banyak pihak, termasuk Kementerian Perumahan, Jabatan Perdana Menteri, Menteri Besar Pahang dan beberapa agensi kerajaan yang berkaitan untuk menuntut supaya membina rumah PPR bagi penduduk B40 di Cameron Highlands,” kata Suresh. “Tuntutan ini dikemukakan kerana kami mendapati bahawa ramai penduduk berpendapatan rendah di Cameron Highlands menghadapi masalah perumahan, termasuk mereka yang tinggal di rumah sewa tetapi tidak mampu membayar sewa dan mereka yang tinggal di atas tanah kerajaan yang akan diusir keluar. JRM telah mengumpulkan nama-nama mereka yang menghadapi masalah perumahan. Sekarang ini, sudah terdapat sebanyak 250 buah keluarga yang berdaftar dengan JRM untuk memohon pembinaan rumah mampu milik bagi golongan B40.”
Walaupun penduduk-penduduk B40 di Cameron Highlands telah menuntut pada kerajaan untuk membina rumah PPR sejak tahun 2017, tetapi pihak kerajaan masih gagal meluluskan sebarang projek perumahan untuk rakyat B40 di Cameron Highlands sehingga kini. Penduduk-penduduk B40 Cameron Highlands masih tidak mampu memiliki rumah sendiri kerana harga rumah di Cameron Highlands terus melambung tinggi, yang diakibatkan oleh pembelian rumah oleh orang luar untuk tujuan pelaburan dan penyewaan kepada para pelancong. Projek perumahan yang dikatakan mampu milik, seperti PR1MA, dijual dengan harga lebih RM200,000 seunit, jauh tinggi daripada kemampuan rakyat berpendapatan rendah B40.
Mengikut kajian JRM Cameron Highlands, terdapat hampir 1,000 buah keluarga B40 yang memerlukan rumah sendiri untuk dibeli atau disewa-beli di Cameron Highlands. Kini mereka semua terpaksa menyewa rumah ataupun meneroka tanah kosong tanpa kelulusan pihak berkuasa untuk membina rumah. Adalah amat membahayakan penduduk-penduduk yang meneroka tanah dan membina rumah dicerun bukit, tetapi mereka tiada pilihan lain kerana tiada perumahan rakyat yang disediakan oleh pihak kerajaan. Pernah berlaku beberapa insiden kehilangan nyawa melibatkan keluarga B40 yang tinggal di lokasi berbahaya akibat ketidakupayaan memiliki sebuah rumah di Cameron Highlands.
Kajian yang dijalankan oleh JRM Cameron Highlands pada tahun 2019 menunjukkan bahawa sekitar 73% golongan marhaen di Cameron Highlands hanya mempunyai pendapatan bulanan kurang daripada RM2,000. Sekitar 87% merasakan mereka tidak mampu membeli rumah di Cameron Highlands.
Walaupun Kerajaan Negeri Pahang telah memperuntukkan tapak tanah kepada KPKT untuk membina rumah PPR di Cameron Highlands, tetapi Kerajaan Persekutuan masih gagal dalam menyediakan perumahan bagi golongan berpendapatan rendah di situ. Tanah yang diperuntukkan untuk membina rumah PPR rakyat masih tidak dibangunkan lagi sehingga sekarang, tetapi beberapa projek rumah mewah dan PR1MA cepat dibangunkan untuk mereka yang berkemampuan membeli rumah sedemikian!
Sejak tahun 2020, Unit Perancang Ekonomi (UPE) memaklumkan bahawa tiada perancangan dan belanjawan yang diperuntukkan untuk membina perumahan bagi rakyat B40 di Cameron Highlands. Ini amat mengecewakan penduduk-penduduk berpendapatan rendah di Cameron Highlands. JRM Cameron Highlands menggesa pada Kerajaan Persekutuan supaya memperuntukkan dana dalam Belanjawan untuk pembinaan rumah PPR di Cameron Highlands, kerana perumahan sebagai keperluan asas rakyat harus diutamakan dan tidak patut ditangguhkan lagi.
Turut hadir semasa penyerahan memorandum pada hari ini ialah A. Sivarajan, Setiausaha Agung Parti Sosialis Malaysia (PSM). Sivarajan berkata, “Projek perumahan PR1MA yang dikatakan mampu milik itu sebenarnya tidak mampu ditanggung oleh rakyat B40. Rakyat B40 yang bergaji kurang daripada RM2,000 sebulan tidak mampu membeli rumah berharga RM200,000. Rumah PR1MA bukannya penyelesaian bagi masalah perumahan rakyat B40 di Cameron Highlands.”
“Penyelesaian yang dituntut oleh rakyat B40 di Cameron Highlands ialah membina rumah berharga RM42,000 untuk isi rumah yang berpendapatan RM3,000 ke bawah, seperti yang dilakukan di negeri-negeri lain,” ulas Sivarajan.
JRM Cameron Highlands menggesa Anwar Ibrahim selaku Perdana Menteri merangkap Menteri Kewangan supaya meluluskan dana untuk pembinaan rumah PPR di Cameron Highlands dalam Bajet 2023 yang akan dibentangkan semula pada bulan Februari 2023.