Penduduk Orang Asli dakwa minum air najis

IPOH – Lebih 100 penduduk Orang Asli, Kampung Kelatap, Pos Perwor dekat Sungai Siput terdedah dengan ancaman penyakit apabila sumber air bukit kegunaan harian didakwa tercemar akibat projek kuari berhampiran penempatan mereka.

Penduduk, Sobri Abu Bakar, 39, mendakwa lebih dua tahun penduduk menggunakan air yang dicemari najis dan bahan buangan dari tandas milik rumah kongsi pekerja di tapak projek berkenaan.

“Dalam tempoh dua tahun itu, kami memasak dan minum air keruh dan bukan lagi jernih seperti sebelum ini. Sedih melihat tandak (takungan) air yang dibina untuk kegunaan kampung berubah warna.

“Sejak itu penduduk sering mengalami sakit seperti cirit-birit. Bila kami jejak hulu sungai, kami terkejut pencemaran ini bermula dari tapak projek bercampur air najis dan buangan yang mengalir masuk ke anak sungai,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyerah memorandum pencemaran kuari Hutan Simpah Piah, Pos Perwor di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini pada Jumaat.