Penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig mampu noktahkan isu kadar upah – GEM

KUALA LUMPUR: Gabungan eHailing Malaysia (GEM) berpandangan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig berupaya menoktahkan semua permasalahan berkaitan isu kadar upah yang tidak tetap dan rendah dihadapi pekerja sektor terbabit.

Ketua Aktivisnya, Jose Rizal, berkata ia dilihat akan turut dapat memastikan pemerkasaan perlindungan sosial secara komprehensif.

“Terima kasih Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana hari ini sekali lagi memperingatkan akan pentingnya disegerakan penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig dalam ucapan beliau pada Sambutan Hari Pekerja Peringkat Kebangsaan 2024 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya.

“Pihak sekretariat GEM menyokong sepenuhnya penubuhan Suruhanjaya Pekerja Gig atas beberapa dasar, termasuk menoktahkan segala isu dan permasalahan berpanjangan di dalam hal berkaitan isu kadar upah yang tidak tetap dan rendah,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Anwar dalam amanat bersempena Sambutan Hari Pekerja 2024 pagi tadi mengarahkan supaya penubuhan Suruhanjaya Pekerja GIG disegerakan untuk membela nasib pekerja sektor berkenaan.

Anwar berkata, penubuhan suruhanjaya itu penting bagi memberi perhatian dan keprihatinan yang lebih kepada pekerja bagi sektor terbabit.

 

Jose berkata, GEM turut percaya suruhanjaya terbabit dapat memberi jaminan berkaitan hak pekerjanya secara menyeluruh.

“Ini merangkumi hak memperoleh pendapatan dan representasi yang adil.

“Selain itu, hak untuk mendapatkan sumber atau dana dari pihak kerajaan serta hak mendapatkan jaminan keselamatan sosial, jaminan simpanan masa hadapan serta jaminan kesihatan.

“Kami juga berharap diberikan hak untuk protes atau berunding,” katanya.

Tambahnya, GEM turut yakin suruhanjaya itu akan mendapatkan punca kuasa sebagai sebuah badan bagi melindungi perihal sosioekonomi yang adil lagi saksama, selain mengekalkan DNA hibrid penggiat industri.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *