TUNTUTAN PRU-15 GABUNGAN MARHAEN SEMPENA HARI PEMBASMIAN KEMISKINAN

Sempena dengan Hari Pembasmian Kemiskinan sedunia pada 17 Oktober 2022 dan Piliharaya Umum akan datang, kami dari Gabungan Marhaen ingin mengambil kesempatan ini untuk menegakkan tuntutan kepada semua Parti Politik dan calon-calon pilihanraya untuk mengambil iktibar mengubah nasib golongan Marhaen. Sekaligus merangka langkah dan polisi untuk menamatkan jurang kemiskinan di Malaysia.

Hari ini adalah sangat signifikan kepada golongan Marhaen. Hari ini didedikasi untuk membasmi kemiskinan. Selagi kita tidak menangani kemiskinan di kalangan rakyat Marhaen, maka kita akan gagal sebagai sebuah negara dan masyarakat.

Selepas diserang COVID-19 sejak tahun 2020, golongan Marhaen menghadapi pelbagai masalah dari segi keperluan asas seperti perumahan, kesihatan, pekerjaan, peningkatan harga barangan asas dan banyak lagi. Ini menyebabkan kemiskinan di kalangan golongan Marhaen yang sudah pun kais pagi makan pagi, kais petang makan petang; menjadi lebih parah.

Pada tahun ini, mantan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata, kerajaan dalam proses mengemas kini pendapatan garis kemiskinan (PGK) berdasarkan Hasil dapatan tinjauan pendapatan, perbelanjaan isi rumah dan kemudahan asas (HIES/BA 2022) yang sedang dilaksanakan oleh Jabatan Perangkaan Malaysia. Menurut beliau, akibat daripada COVID 19, kadar kemiskinan mutlak dan miskin tegar telah meningkat masing-masing kepada 8.4% dan 1.0 % pada tahun 2020. Ini kerana segolongan kelas menengah turut terjerumus dalam kemiskinan.

Kami sedar COVID 19 membawa kesan yang serius kepada ekonomi dan sosial di seluruh dunia. Krisis kesihatan awam telah mempengaruhi masyarakat yang paling terpinggir di seluruh dunia, termasuk Malaysia, dari segi ekonomi dan juga sosial.

Sempena dengan Hari Pembasmian Kemiskinan Sedunia dan Pilihanraya Umum yang akan datang, kami berharap tuntutan dan keadaan golongan Marhaen akan diteliti oleh semua parti politik dan calon pilihan raya.

Sebarang janji untuk perubahan semasa pilihanraya tidak membawa faedah jika ianya tidak ditunaikan. Maka, apa yang diperlukan di sini ialah satu kerajaan dan wakil rakyat yang berjiwa rakyat dan boleh menunaikan tuntutan-tuntutan di bawah:

  1.  Hak Orang Asal/Asli
    1. Iktiraf Hak Tanah Adat Orang Asal di Malaysia dan berikan hak milik
      kekal serta kukuhkan status tanah Rizab Orang Asal/Asli di Malaysia
      (Semenanjung, Sabah dan Sarawak).
    2. Rancangan pembangunan tanah Orang Asal hendaklah berasaskan
      kehendak, keperluan dan aspirasi Orang Asal/Asli.
  2. Jaringan Pekerja Kontrak Kerajaan (JPKK)
    1. Wujudkan jaminan kerja untuk semua pekerja kontrak dengan hapuskan sistem kontrak
    2. Iktiraf Sumbangan Cleaner dan Pengawal keselamatan
    3. Laksanakan Gaji Minima RM1500 kepada semua pekerja kontrak di bangunan Kerajaan
  3. Jaringan Pekerja Tidak Formal (JPTF)
    1. Iktirafkan pekerja di sektor gig ekonomi sebagai pekerja di bawah Akta Kerja 1955 dan semua caruman wajib atau perlindungan sosial asas seperti KWSP, PERKESO dan Skim Insurans Pekerja harus diwajibkan.
  4. Jaringan Pemandu lori
    1. Pemandu lori tidak dihukum untuk kesalahan majikan. (Saman; Seperti untuk muatan melebihi had harus ditanggung oleh Majikan bukannya pemandu)
    2. Penguatkuasaan undang undang sedia ada dalam Akta Kerja – Pemandu lori mesti dapat menikmati cuti cuti berbayar iaitu cuti rehat mingguan, cuti tahunan, cuti sakit dan cuti umum.
    3. Pemandu Lori dibayar Elaun untuk kerja kerja yang tak bergaji.
  5. Gabungan Kesatuan Sekerja
    1. Hentikan Pemerasan dan menghancurkan Kesatuan sekerja
    2. Pembentukan dan peningkatan keahlian kesatuan sekerja harus diutamakan untuk menjamin hak dan kebajikan pekerja.
    3. Tingkatkan kebajikan dan taraf hidup pekerja
  6. Gabungan Petani
    1. Hak bertani dan jaminan makanan – Hentikan pengusiran petani dari tanah mereka. Iktirafkan dan berikan geran tanah kepada golongan petani dan penternak yang telah lama bertani dan membekalkan hasil pertanian untuk kegunaan tempatan demi menjamin keupayaan pengeluaran makanan tempatan.
  7. Gabungan Penternak Nasional
    1. Kerajaan kawal harga kenaikan makanan ternakan
    2. Sime Darby iaitu GLC Kerajaan harus mempunyai tanggungjawab social dan hentikan pengusiran Penternak dari ladang
    3. Kerajaan harus jaga kebajikan pengeluar daging dan susu tempatan dan kawal AP (lesen import).
  8. Jaringan Pesawah
    1. Menukar semua subsidi input untuk pengeluaran padi kepada bentuk tunai/baucar
    2. Meningkatkan insentif harga padi kepada 80 sen sekilogram dan mengembalikan segera bayaran wang sara hidup
    3. Menyelesaikan masalah pemerasan pesawah yang berlaku di peringkat kilang
    4. Hentikan promosi Projek Estet Berskala Besar (Smart SBB), sebaliknya menyokong dan meramaikan usahawan-usahawan petani individu dan syarikat tempatan
    5. Mengiktirafkan pesawah padi sebagai Pegawai Keselamatan Makanan dan menawarkan Pencen Warga Emas kepada pesawah
  9. Jawatankuasa Sokongan Masyarakat Ladang (JSML)
    1. Hentikan pengusiran paksa – Kerajaan harus hentikan sebarang pengusiran paksa penduduk dari tempat tinggal mereka. Pastikan tidak putuskan utiliti seperti air dan elektrik.
    2. Buat undang-undang Skim Perumahan Ladang
    3. Sertai Masyarakat ladang dalam Rancangan Pembangunan Luar Bandar
  10. Gabungan Peneroka Bandar dan Perumahan
    1. Kekalkan kampung peneroka bandar
    2. Hentikan pengusiran paksa. Gubal Enakmen Anti Pengusiran
    3. Pampasan Rumah Ganti Rumah / Lot tanah
  11. Gabungan Flat Kos Rendah
    1. Majlis Perbandaran ambil alih penyelenggaraan Flat Kos Rendah
    2. Batalkan cukai penyelenggaran untuk Flat Kos rendah dan selaraskan dengan hanya satu cukai pintu.
  12. Gabungan Alam Sekitar
    1. Iktiraf Darurat Iklim dengan segera
    2. Moratorium terhadap pembalakan dan perlombongan di hutan primer

Latar belakang Gabungan Marhaen

Gabungan Marhaen adalah gabungan komuniti akar umbi, kolektif masyarakat, kesatuan sekerja, NGO yang berfikiran sama, pemimpin masyarakat akar-umbi dan aktivis masyarakat. Gerakan ini berinspirasi untuk mewakili kepentingan majoriti rakyat di negara kita, iaitu kelas pekerja, petani, rakyat bawahan, anak muda dan masyarakat terpinggir.

Misi utama Marhaen adalah untuk menggabungkan dan memantapkan semua komuniti Marhaen untuk memperjuangkan hak dan kepentingan golongan marhaen demi untuk mengujudkan masyarakat yang adil dan saksama dari segi agihan kekayaan dan kesejahteraaan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *