Siapa Pembunuh Kesatuan Guppy Plastik?

Oleh. S. Arutchelvan

Pada tahun 1998, Anwar Ibrahim dipecat dari jawatannya sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ia adalah satu peristiwa penting dalam Negara ini kerana ia melahirkan Gerakan Reformasi. Pada tahun yang sama di Cheras Jaya, 3 ahli kesatuan wanita juga telah dipecat. ‘Jenayah’ mereka hanyalah sekadar cuba menubuhkan satu kesatuan sekerja.  Satu Kesatuan yang telah dihancurkan secara sistematik hanya kerana ia mewakili kepentingan pekerja bertentangan dengan kepentingan keuntungan dan kepentingan pemodal.

 

Ini semua bermula pada tahun 1997. Satu kumpulan wanita terus keluar dari kilang apabila majikan mereka, Guppy Plastic Industries Sdn Bhd menaikkan gaji sebanyak 10 sen! Mereka cukup kecewa dan menuntut kenaikan gaji yang lebih adil memandangkan syarikat mereka menghasilkan produk plastik yang amat menguntungkan. Syarikat tersebut juga eksport ‘rumah anjing’ ke luar Negara dan ini telah menjadi tajuk perbualan antara pekerja, ‘mereka bina rumah untuk anjing tetapi pekerja dia layan bagai ‘anjing’.

 

 

Pimpinan Kesatuan Sekerja Wanita Pertama

Pihak majikan tak boleh bertolak ansur dengan tindakan mogok kilat pekerja dan mahu mematahkan penentangan mereka. Syarikat membawa masuk polis semasa perundingan untuk menakutkan pekerja dan untuk hentikan mogok kilat. Mereka juga menaikkan sedikit gaji harian pekerja. Ia adalah permulaan konfrontasi antara pihak pekerja yang memerlukan lebih gaji untuk menyara keluarga dan syarikat yang mahu lebih keuntungan untuk menyuap ketamakan mereka. Pihak pekerja yang majoritinya perempuan mengambil keputusan bahawa mereka perlukan satu organisasi untuk melindungi mereka. Ketika inilah mereka membuat keputusan tekad untuk menubuhkan satu kesatuan. Mereka mendampingi Pusat Pembangunan Masyarakat (CDC), satu organisasi akar umbi yang terletak di Kajang. CDC kemudiannya membantu pekerja-pekerja ini untuk menubuhkan kesatuan.

 

16 November 1998 merupakan satu hari bersejarah kepada pekerja-pekerja kerana satu mesyuarat diadakan di Dewan MCA ‘Chow Lai’ Balakong. Lebih daripada 30 pekerja hadir dan sebulat suara bersetuju untuk menubuhkan kesatuan. Tujuh orang wanita dilantik sebagai Jawatankuasa Protem. Sungguh melucukan apabila beberapa pemimpin wanita menyuarakan perlu memperuntukkan jawatan untuk pekerja lelaki! Satu senario terbalik. Memandangkan tiada pekerja lelaki yang layak memegang jawatan, maka buat pertama kali satu Kesatuan Sekerja Pekerja-Pekerja Guppy Plastik Industries Sdn Bhd pimpinan 100% wanita ditubuhkan.

 

Pada 7 Disember 1997, pimpinan Kesatuan Sekerja Guppy dengan bangganya membuat permohonan dengan Pendaftar Kesatuan Sekerja. Proses pendaftaran kesatuan dengan Pendaftar Kesatuan Sekerja (RTU) merupakan satu lagi proses yang rumit. RTU bersikap bermusuhan apabila mereka menyedari bahawa ia adalah kesatuan yang terdiri daripada pemimpin wanita semuanya. Mereka langsung tidak mendorong, sebaliknya mengejek. Kononnya mereka perlukan lelaki untuk membuat kerja-kerja yang wanita tak mampu buat. Akhirnya, selepas 5 bulan mengharungi pelbagai halangan, Kesatuan didaftarkan pada 27 April 1998 dengan nombor pendaftaran 813.

 

 

Samada Tutup Kesatuan atau Tutup Syarikat!

Kepimpinan kesatuan yang baru dan muda ini amat teruja. Mereka langsung tak sedar akan liku-liku yang bakal dihadapi. Kesatuan segera turun aksi mengeluarkan risalah tentang berita baik penubuhan kesatuan dalam 3 bahasa – Melayu, Mandarin dan Tamil. Ia diedarkan kepada pekerja bersama dengan salinan surat pendaftaran kesatuan. Mereka meneruskan untuk membuat borang Keahlian Kesatuan, resit pembayaran, membuka akaun bank dan membincang jadual berjumpa pekerja untuk mendengar rasa tidak puas hati mereka.

Konflik pertama dari bos datang apabila Kesatuan meminta kebenaran untuk meletakkan notis Kesatuan di pondok Guard dan kantin. Syarikat itu segera menolak dan berkata tiada ruang dalam kilang akan dibenarkan untuk Kesatuan meletakkan sebarang notis. Dengan ruang ini disekat, Kesatuan terpaksa mengedarkan risalah. Syarikat itu kemudian mula mensasarkan beberapa pemimpin Kesatuan utama yang mereka merasakan sebagai tiang di belakang penubuhan Kesatuan. Mereka diberi amaran akhir dan berkata pengedaran risalah yang dibuat oleh mereka akan mewujudkan masalah dan mengganggu pengeluaran syarikat. Dua hari selepas itu, tiga pekerja telah diberi amaran. Pihak majikan Guppy menghantar beberapa wakil mereka ke pejabat CDC di Kajang. Mereka cuba meyakinkan aktivis CDC bahawa Bos Guppy telah menjaga kebajikan pekerja dan dengan itu tidak ada keperluan untuk sebuah Kesatuan Pekerja.

Mereka juga berkata bahawa bapa Pengurus Besar tidak mempunyai toleransi untuk Kesatuan dan tidak mahu apa-apa Kesatuan wujud di kilang. Kesatuan yang baru ditubuhkan amat keliru. Ianya didaftarkan oleh Kerajaan tetapi mereka tidak boleh mendapatkan Syarikat untuk berunding dengan mereka. RTU kemudian memberitahu pekerja bahawa mereka mesti mempunyai sekurang-kurangnya ¾ daripada jumlah pekerja dalam Kesatuan untuk mendapat pengiktirafan Syarikat dan hak untuk berunding. Mereka juga memberitahu pekerja untuk memberi syarikat senarai nama Jawatankuasa Protem Union supaya syarikat itu tahu siapa yang harus mereka berkomunikasi.

Ini adalah kesilapan maut yang Kesatuan pelajari kemudian. Ini adalah apa yang syarikat itu perlukan, kerana sehingga masa itu, mereka tahu bahawa pekerja mempunyai kepala-kepala tetapi mereka tidak tahu siapa yang mengetuai mereka. Sekarang kerana mereka telah mendapat dokumen yang diberikan oleh kesatuan itu sendiri berdasarkan nasihat dari RTU, syarikat dalam masa kurang dari 4 hari, telah menggantung seluruh Kesatuan Jawatankuasa Protem.

Pada 4 Jun 1998, seluruh kepimpinan Kesatuan digantung dengan empat pertuduhan, di antaranya mencemarkan nama syarikat, memaksa pekerja untuk menyertai kesatuan,  melibatkan diri dalam aktiviti-aktiviti yang tidak berguna (kesatuan) semasa waktu kerja dan mengancam kesejahteraan pekerja lain.

Dengan kepimpinan Kesatuan digantung selama dua minggu, Bos Guppy mengambil macam-macam tindakan untuk mengancam dan menghancurkan Kesatuan. Syarikat itu menemui setiap pekerja yang ketakutan,secara berasingan, memisahkan mereka, dan menakut-nakutkan mereka. Meminta mereka untuk menandatangani kertas pengakuan bahawa mereka telah dipaksa untuk menyertai Kesatuan dan berkata bahawa mereka yang menyertai kesatuan akan dilayan dengan lebih teruk. Mereka yang enggan menandatangani diancam dengan penamatan atau layanan kasar. Para pekerja terkejut. Mereka menjangkakan dengan Kesatuan, mereka akan lebih dilindungi. Mereka tidak menjangka ini akan berlaku kerana kesatuan mereka mempunyai suatu kelulusan berdaftar daripada Kerajaan.

Sementara itu kepimpinan yang telah digantung kerja dengan perasaan cemas membuat aduan dengan RTU. Malangnya, mereka tidak mendapat perlindungan. Mereka diminta pula pergi ke Jabatan Perhubungan Perusahaan (JPP) yang memberitahu mereka terpaksa menunggu kerana mereka tidak dipecat tetapi hanya digantung. Kedua-dua jabatan ini tidak campur tangan walaupun terang-terangan terdapat pelanggaran hak Kesatuan dan pekerja. Mereka benarkan kesatuan itu dibunuh dan ditikam. Mungkin mereka dibentuk untuk berfungsi sebegitu. Buat ruang palsu untuk pekerja-pekerja mengadu dan memfailkan rasa tidak puas hati mereka selagi kepentingan kapitalis tidak terhalang. Dalam kes Kesatuan Guppy, kekecewaan ini berulang-ulang.

RTU sebaliknya terus memberitahu Kesatuan bahawa mereka harus bekerja untuk mendapatkan pengiktirafan daripada syarikat dan bukan tumpuan kepada penggantungan kepimpinan. Sementara itu Syarikat memanggil tujuh pemimpin yang digantung dan membuat keputusan untuk memecat tiga daripada 4 dengan amaran tegas. Ini juga satu cara untuk menunjukkan kepada JPP bahawa mereka tidaklah begitu kejam.

Yang dipecat merupakan tiga pemimpin utama – Pengerusi Koyilvani, Setiausaha Roshamiza dan Bendahari Ratna. Tiada siasatan dalaman dijalankan. Panel itu memanggil tiga individu dan memberitahu bahawa mereka dipecat serta-merta namun mereka mempunyai 2 pilihan. Sama ada mereka mengakui bahawa mereka bersalah dan mereka akan dibayar gaji 3 bulan ditambah dua minggu gaji penuh yang ditangguhkan semasa penggantungan mereka atau jika mereka mengaku tidak bersalah, mereka hanya akan dibayar dua minggu gaji penuh. Ketiga-tiga mengaku tidak bersalah. Empat ahli jawatankuasa kesatuan telah dibenarkan pulang kembali bekerja dengan amaran tegas bahawa mereka tidak boleh melakukan kegiatan kesatuan atau menghadapi nasib yang sama.

Mendengar nasihat RTU, Kesatuan memberi tumpuan kepada membina keahlian untuk mendapatkan pengiktirafan dan membiarkan kes pemecatan pemimpin-pemimpin dikendalikan oleh JPP. Ini merupakan satu lagi nasihat yang tidak baik. RTU dan IRD tidak pernah melindungi Kesatuan yang dalam keadaaan terancam dan kini memberitahu mereka untuk terus bergerak walaupun telah kehilangan Pengerusi, Setiausaha dan Bendahari mereka. Ia seperti menasihatkan, anda masih boleh berjalan walaupun bahagian utama badan anda sudah lumpuh.

Kesatuan terus menjadi aktif. Terus berkempen di luar premis kilang. Tandatangan dan petisyen sokongan dikumpulkan. Proses ini berterusan selama 2 tahun. Tiga pemimpin kesatuan yang dipecat terus memenangi setiap pilihan raya Kesatuan sejak itu tanpa bertanding, satu tanda bahawa populariti mereka tidak menjadi sia-sia.

Selepas mengumpulkan lebih daripada 200 keahlian, lebih daripada yang diperlukan untuk mendapatkan pengiktirafan, pada 23 Ogos 2000 Kesatuan dimaklumkan bahawa Syarikat enggan memberi pengiktirafan kepada Kesatuan atas alasan tidak mempunyai majoriti. Kesatuan amat bingung kerana mereka mempunyai lebih daripada 3/4 daripada pekerja dalam Kesatuan. Kemudian barulah diberitahu bahawa terdapat sebuah lagi kilang di Prai dan Kesatuan tidak membawa mereka ke dalam perkiraan. Tidak sekali pun pekerja diberitahu tentang kewujudan cawangan Guppy di Prai, RTU pun tidak menasihatkan mereka.

Dengan ini, Syarikat menyangka bahawa mereka telah berjaya menghancurkan Kesatuan. Kesatuan yang kini luka, meneruskan perjuangan. Mereka terus mengadakan mesyuarat dalam bilangan yang kecil agar api Kesatuan terus menyala. Ia adalah satu tugas yang sukar kerana kekalahan demi kekalahan terus menimpa mereka. Syarikat itu sangat paranoid (taksub) dengan Kesatuan. Ada sekali, apabila melihat pekerja-pekerja sedang berborak dengan Koyilvani (yang masih popular), di pintu gerbang syarikatnya, Bos Guppy terus menjerit kepada beliau dan pekerja lain. Katanya, sama ada anda menutup Kesatuan atau saya menutup Syarikat.Begitulah, kehadiran Koyilvani sendiri dapat mengegarkan Syarikat Guppy!

 

Keadilan Buta Kebenaran Bisu

Setelah gagal untuk menghentikan Kesatuan, Syarikat kemudiannya memecat dua orang lagi pemimpin yang menjadi nadi Kesatuan iaitu Timbalan Pengerusi,Puan Rahimah dan Penolong Bendahari Puan Visalatchy. Mereka ditahan atas tuduhan palsu mencuri wang pekerja. Siasatan kanggaru telah diadakan dan kedua-dua mereka dipecat. Kedua-dua mereka memainkan peranan penting untuk menguatkan kesatuan dari dalam kilang apabila tiga yang lain telah dipecat. Ini merupakan satu lagi tamparan hebat kepada kesatuan. Sekali lagi JPP menasihatkan pekerja untuk memfailkan kes itu dan RTU mengatakan bahawa Kesatuan mesti cuba untuk mendapatkan pengiktirafan dengan mendapatkan pekerja dari kilang Prai.

Dengan harapan kecil, pemimpin-pemimpin yang dipecat meneruskan perjuangan mereka. Mereka pergi ke Prai, Pulau Pinang 300 kilometer jauh untuk mengatur pekerja Guppy di sana. Ia merupakan satu lagi pertempuran besar. Dengan tidak ramai kenalan, mereka ‘berkhemah’ di luar pintu gerbang Guppy, dengan harapan dapat berjumpa pekerja semasa waktu rehat dan selepas waktu pejabat untuk mendapatkan keahlian yang cukup ramai untuk menyertai Kesatuan. Ahli CDC membantu mereka. Dana dikutip daripada kawan-kawan dan kenalan untuk memastikan aktiviti-aktiviti Kesatuan berterusan.

Tidak lama kemudian, mereka berjaya mendapatkan satu kumpulan pekerja di Prai untuk membentuk jawatankuasa dan tidak lama kemudian, mereka bekerja untuk mendapatkan lebih ramai ahli untuk menyertai Kesatuan. Mereka juga telah mengetengahkan isu-isu yang dihadapi oleh pekerja-pekerja di Prai dan ini membawa masuk lebih ramai pekerja menyertai kesatuan.

 

Majikan kembali mengancam. Dua ahli kesatuan paling aktif di Prai telah dipecat. Ini berjaya menutup Kesatuandi Prai. Banyak laporan telah dihantar kepada JPP, RTU dan Menteri.Sehingga masa itu, kesatuan itu telah membuat 15 laporan kepada JPP mengenai penganiayaan terhadap Kesatuan, 3 laporan kepada Kementerian Sumber Manusia mengenai penganiayaan dan segala bentuk eksploitasi oleh Pengurusan Guppy dan sekitar 7 laporan polis terhadap Pengurusan Guppy dan 7 laporan telah dibuat kepada Jabatan Buruh.Tiada satu pun tindakan ini‘menghentikan’ Bos Guppy. Undang-undang telah merampas hak pekerja untuk mogok. Ia telah membuat Kesatuan lemah dan tidak relevan.

Antara tahun 1945 hingga 1948, 67% daripada tenaga kerja Malaya telah menjadi anggota Kesatuan. Darurat tahun 1948 dan seterusnya setiap undang-undang utama dan peraturan-peraturan pekerja telah melemahkan pekerja-pekerja dan Kesatuan Sekerja. Hari ini, terdapat hanya sekitar 7% pekerja menjadi ahli kesatuan sekerja dengan kebanyakan mereka tanpa pengiktirafan untuk berunding atau menjalankan Perjanjian Bersama. RTU dan JPP ditubuh untuk membunuh Kesatuan dan melemahkan organisasi pekerja. Majikan-majikan mempunyai kelebihan kerana mereka boleh memecat kepimpinan Kesatuan sesuka hati; menghalang mereka daripada memasuki premis itu; memanipulasi undang-undang untuk menghentikan pengiktirafan Kesatuan sementara syarikat itu menyembelih kesatuan manakala RTU, JPP, Menteri Sumber Manusia pula tidak melakukan apa-apa.

Beberapa rundingan telah diadakan. Tetapi akhirnya, pegawai-pegawai kerajaan berkata kepada Kesatuan, “kami amat bersimpati dengan anda, tetapi kami tidak boleh berbuat banyak, tangan kami terikat dan kami mesti mengikut undang-undang, kita tidak boleh menyebelahi mana-mana pihak”. Seorang lagi pegawai memberitahu, “Anda tidak sepatutnya bertindak secara emosi, dia adalah majikan anda, dia membayar anda”. Menariknya, semua tindakan yang diambil oleh pegawai-pegawai kerajaan berkenaan, hanya selepas pekerja terbabit dipecat atau dihukum. Tidak ada langkah pencegahan langsung. Akhirnya pekerja yang menjadi mangsa, mereka yang dipecat atau dihina atau diintimidasi dan yang paling teruk adalah merayau tanpa pekerjaan. Dalam keadaan itu, apa ertinya harmoni dalam industri apabila mata pencarian pekerja diinjak-injak?

Kemudian kes aktivis Kesatuan dipecat melalui satu lagi perjalanan roller coaster. Kes itu pergi ke Mahkamah Perusahaan, ke Mahkamah Tinggi, kemudian ke Mahkamah Rayuan dan akhirnya Mahkamah Persekutuan.

Para pekerja kalah dalam mahkamah Industri. Perbicaraan pertama kes itu bermula pada 30 September 1998 di Mahkamah Perusahaan. Kes berjalan bertahun-tahun tetapi berakhir tanpa keputusan kerana Pengerusi tidak menulis penghakimannya. Segala tekanan kami untuk penghakiman tersebut, menyebabkan seluruh kes itu didengar semula. Kemudian perbicaraan semula bermula pada 26-7-2004. Selepas dua tahun kes berjalan, ahli kesatuan kalah kes pada 31May 2006. Bagaimana boleh Mahkamah berpendapat bahawa ia bukan Union Busting walhal bos Kilang itu mengakui bahawa dia memang sasarkan Kesatuan?

Kesatuan membuat rayuan dan Mahkamah Tinggi dalam keputusannya pada 14 Dis 2009 mengubah keputusan Mahkamah Perusahaan dengan menyatakan bahawa keputusan untuk memecat pekerja adalah terlalu keras dan mahkamah perindustrian tidak mengambil kira aspek Union Busting. Namun, keputusan ini dihancurkan dalam masa 20 minit sahaja oleh Mahkamah Rayuan pada Februari 2012. Segala kepercayaan 3 ahli kesatuan ini terhadap keadilan musnah sama sekali. Mahkamah Rayuan memberi keputusan mengerikan, menegakkan keputusan Mahkamah Perusahaan untuk memecat kesatuan tiga wanita yang cuba untuk membentuk kesatuan sekerja empat belas tahun yang lalu. Hakim-hakim Abdul Wahab Patail, Anantham Kasinathan dan Linton Albert langsung tidak menunjukkan belas kasihan mahupun simpati. Penghakiman mereka memihak kepada bos Guppy yang mahu memusnahkan kesatuan.

Mahkamah rayuan merasakan bahawa tiga ahli kesatuan telah dipecat kerana melakukan kerja kesatuan semasa kerja. Ini adalah tidak benar sama sekali dan semua pekerja telah memberi keterangan terhadap pembohongan ini. Namun 3 orang aktivis kesatuan ini tegas dalam pendirian untuk menggunakan segala instrumen yang ada untuk memastikan keadilan kepada yang dianiyai. Rayuan kepada Mahkamah Persekutuan dibuat.

Betul kata Marx (1848), pekerja tidak akan kehilangan apa-apa kecuali rantai mereka. Ketiga-tiga wanita ini telah kehilangan segala-galanya namun mereka berjuang. Saya menerima panggilan daripada peguam yang mewakili ketiga-tiga pekerja. Katanya, Guppy Bosses membantah permohonan pemohon utama untuk rayuan, Koyilvani – Pengerusi Kesatuan yang telah diisytiharkan bankrap pada tahun 2011. Saya panggil Vani untuk mengesahkan fakta dan dia berkata Ya, kerana tidak dapat menyelesaikan pinjaman perumahan beliau. Vani memberitahu saya, “Apa pun, sila pastikan kes kami berjalan!”

Pada 4/2/2013, kes dibicarakan di Mahkamah Persekutuan Putrajaya. Keputusan Mahkamah ini juga mengecewakan. Segala harapan dan keyakinan 3 aktivis ini dicampak dalam tong sampah.  Hanya Kesatuan yang patuh, tunduk dan kuning dibenarkan untuk berfungsi. Yang lain dihancurkan oleh satu sistem yang melindungi kelas kapitalis minoriti. Selama ketidaksamaan ini wujud, akan terus ada pekerja dan kesatuan ditubuhkan untuk melindungi mereka.

Begitulah kisah Kesatuan Guppy. 14 tahun perjuangan terhadap satu sistem patriarki, eksploitasi dan pro-modal. Satu harapan baru untuk umat manusia hanya mungkin apabila setiap pekerja dibayar setimpal dengan buruhnya dan pekerja dapat menikmati hasil buruhnya.

S. Arutchelvam, seorang pejuang rakyat sejak 1980an. Pemangkin dalam penubuhan Pusat Pembangunan Masyarakat dan Jaringan Rakyat Tertindas (JERIT) serta dalam perjuangan pekerja ladang, kilang dan peneroka bandar. Sdra Arul merupakan penyelaras SUARAM dari 1995-2006, setiausaha pertama Gerakan Mansuhkan ISA, Ahli Jawatankuasa menangani masalah pengusiran masyarakat ladang dan peneroka bandar di bawah Kerajaan Negeri Selangor (Pakatan Rakyat). Arul adalah penaung Parti Sosialis Malaysia dan dipilih sebagi Setiausaha Agung PSM selama 17 tahun, kini sebagai AJK Pusat PSM.Beliau juga merupakan calon PSM untuk kerusi DUN Semenyih dalam pilihanraya umum 2008 dan 2013.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *