Ladang Sg. Rasah: Kesedaran Politik dalam Perjuangan Ekonomi

Oleh V. Paneerselvam

Semua orang berada dalam mod Deepavali. Ia adalah pada bulan Oktober 1990. Sementara 22 keluarga di Sg. Rasah, Ladang Bukit Raja (@ Ladang Sg. Rasa) sedang sibuk membuat persiapan untuk sambutan Deepavali, pemilik ladang itu, Sime Darby Sdn Bhd pula sibuk menjual ladang tersebut kepada Max Harta. Max Harta adalah sebuah syarikat RM2 ditubuhkan oleh 2 pegawai kanan PKNS iaitu Pengurus Besar dan Pengarah PKNS. Penduduk Sg. Rasah terkejut apabila mereka diberi notis penamatan perkhidmatan dan pengusiran.

 

PKNS adalah perintis dan pemangkin dari segi pembangunan ekonomi. Melalui PKNS, Kerajaan Negeri Selangor memulakan projek pembangunan di seluruh pelosok negeri ini terutama di kawasan luar bandar. Ketika inilah muncul Max Harta, entiti swasta yang menjadi pemain utama dalam projek-projek pembangunan. Ertinya, keuntungan adalah niat utama mereka.  Sudah tentu Pengurus Besar dan Pengarah PKNS yang menubuhkan syarikat ini sudah tahu segala maklumat dan pengetahuan di mana negeri itu mahu melaksanakan pembangunan! Chan Ah Chye dan Mat Noor adalah antara pegawai kanan yang terlibat dengan syarikat swasta ini.

Syarikat induk adalah Talam Corporation dan antara anak syarikat mereka ialah Max Harta, Maxis Segar. Mereka terlibat dalam projek Perbandaran Pandan Mewah, Bukit Beruntung, Taman Perindustrian Bukit Rajah dan lain-lain. Saya percaya syarikat ini adalah salah satu kroni Ketua Menteri Selangor, Muhammad Bin Muhammad Taib @ Mike Tyson.

Berbalik kepada persiapan Deepavali di Sg. Rasa, seminggu sebelum Deepavali, pilihan raya umum (1990) telah diumumkan. Pilihan raya adalah satu rahmat tersembunyi kerana ia menganggu pelan pengusiran Sime Darby. Untuk pengetahuan anda, pada masa itu, pekerja-pekerja ladang mempunyai bekalan elektrik (generator) dan air yang terhad. Dalam kes Sg. Rasah mereka mempunyai bekalan paip air. Salah satu taktik pengusiran standard adalah mengganggu kemudahan asas – bekalan air diputuskan. Kami memahami sejauh mana pemaju mahu segera memulakan projek pembangunan.

Disebabkan pilihan raya dan atas permintaan ahli-ahli politik terutamanya Barisan Nasional, Sime Darby sebagai GLC (syarikat milik kerajaan) bersetuju untuk melambatkan proses penamatan kerja dan pengusiran paksa.

Penentangan 

Perayaan Deepavali masih belum selesai. Air adalah keperluan asas. Bekalan sudah dipotong. Jadi, apa yang perlu rakyat lakukan?

Lokasi ladang ini hanya di tepi jalan utama dan di belakang ladang itu adalah Kilang ASM Steel. Saluran paip besar untuk bekalan air ke kilang tersebut dibina melalui kawasan ladang. Mereka mempunyai sistem mengunci di beberapa poin sepanjang saluran paip dan ini adalah bagaimana penduduk Sg. Rasah mendapatkan bekalan air mereka.

Sementara itu kerja-kerja tanah di sekeliling ladang tersebut sedang berjalan, bererti seluruh tempat itu berlumpur, tambah pula kerana musim hujan. Penduduk terpaksa berjalan berkaki ayam atau menyarung beg plastik atas kasut mereka untuk berjalan melalui ladang mereka. Di sebelah petang, terutamanya, penduduk menghadapi cabaran besar untuk mengangkut air dari jauh dengan gunakan jalan yang berlumpur itu. Bila saya pergi ke ladang tersebut buat pertama kali selepas Deepavali, ini adalah senario yang menyambut saya.

Nah, bagaimana saya tahu tentang Sg. Rasah dan kenapa saya ke ladang tersebut?

Ceritanya bermula dari zaman Dr. Nasir Hashim menjadi perintis Biro Buruh INSAN. Penghujung tahun 1986, berlaku perpecahan, Dr. Nasir dan saya sendiri telah menyertai PSRM (Parti Sosialis Rakyat Malaysia), cawangan Shah Alam. Salah seorang ahli Cawangan, Komrad Segar adalah dari Ladang Sg. Rasah. Setiausaha MTUC sekarang, Encik Gopal juga berasal dari ladang tersebut tetapi dia tidak mempunyai peranan yang penting dalam perjuangan. Pada masa itu, beliau adalah Penolong Setiausaha Agung Kesatuan Kelengkapan Pengangkutan (TEU). Pada tahun 1987, kerajaan melancarkan “Operasi Lalang” untuk mengurangkan penentang politik. Dua ahli jawatankuasa cawangan PSRM Shah Alam telah ditangkap, Komrad Dr. Nasir dan Komrad Arokiadass (juga Setiausaha Agung TEU) di bawah ISA. Dr. Nasir telah dibebaskan sekitar tahun 1989. Pada awal tahun 1990, PSRM menggugurkan perkataan Sosialis dari PSRM. Mereka menjadi PRM. Kedua-dua Nasir dan saya tidak mempunyai pilihan lain selain meninggalkan parti yang tidak lagi membawa aspirasi Sosialisme. Ketika itulah tercetus idea untuk menubuhkan sebuah NGO yang dikenali sebagai SWP (Suara Warga Pertiwi @ Parti Pekerja Sosialis). Hampir semua ahli daripada cawangan PSRM Shah Alam menjadi ahli SWP. Ini yang membawa kami ke Ladang Sg. Rasah. Projek pertama kami di bawah SWP dan ia adalah kemenangan bersejarah pertama kami dalam perjuangan perumahan alternatif untuk pekerja ladang di negara ini.


Mengatur Pekerja  

Terdapat kira-kira 24 pekerja dan 2 keluarga mempunyai kedua-dua suami dan isteri bekerja di ladang tersebut. Sebahagian besar pekerja adalah anggota NUPW (Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Ladang). Selepas penamatan kerja, pekerja-pekerja menerima faedah penamatan kerja seperti yang tertera dalam perjanjian kolektif mereka. Ia merupakan satu jumlah yang sangat kecil. Faedah penamatan kerja dalam Akta Pekerjaan dan dalam CA adalah satu dan sama. Penduduk hilang pekerjaan, rumah mereka dan struktur sosial jua hilang! Selama 3 generasi mereka membanting tulang untuk syarikat perladangan dan apa yang mereka dapat? Satu amaun kecil,kononnya ‘faedah’. Tengoklah sendiri, apa gunanya NUPW!

Kedua, selepas penamatan, NUPW tidak mewakili pekerja lagi. Isu perumahan pekerja tidak lagi menjadi tanggungjawab Kesatuan. Asasnya, para pekerja diabaikan dan dibiarkan pada belas kasihan Syarikat Perladangan. Sekumpulan kecil orang di Sg. Rasah juga ahli MIC. Sesetengah daripada mereka adalah penyokong kuat T.M. Durai (EXCO Kerajaan Negeri Selangor).

Syarikat itu biarkan satu pilihan terbuka untuk pekerja, iaitu untuk bekerja di divisi lain, iaitu kira-kira 10 kilometer dari sini, Bahagian Hean Boon, Ladang Bukit Rajah. Daripada hidup tanpa bumbung di atas kepala, ini adalah satu-satunya pilihan.

Pendekatan kami adalah untuk bertemu dengan penduduk dan mereka respon secara positif dengan idea melawan syarikat perladangan untuk rumah alternatif. Mereka membuat keputusan yang jelas untuk menuntut perumahan alternatif kerana tidak mahu menjadi setinggan. Penduduk sedar, satu-satunya jalan keluar adalah untuk melawan.

Sekitar Disember 1990, kerja mengatur masyarakat kami bergerak ke fasa berikut.  Mereka membentuk satu jawatankuasa kerja dan di kalangan pemimpin utama adalah Komrad Perumal, K. Ganesan, Segar, Krishnan dan Saroja – merupakan gabungan pekerja dan pemimpin belia. Jawatankuasa ini telah diberi mandat di mana mereka boleh membuat keputusan hanya apabila tawaran pihak lawan adalah  lebih baik daripada permintaan atau tuntutan mereka sendiri. Perkara ini penting kerana semua ladang-ladang lain yang bangkit lawan kalah dalam perjuangan mereka kerana helah yang digunakan oleh kerajaan, kesatuan dan pemaju. Mereka tertipu kerana kurang tahu cara-cara menjalankan rundingan.

Kami biasa mengadakan mesyuarat mingguan dan kadang-kadang setiap hari pada masa krisis. Semasa mesyuarat ini, jawatankuasa memutuskan untuk mengadakan piket di sepanjang Lebuhraya Persekutuan. Piket pertama adalah pada 1 Jan 1991. Berturut-turut, kami telah mengadakan piket setiap hari Ahad hingga Mac 1991. Hampir setiap piket, kita mendapat gangguan dari pelbagai kuasa – Jabatan Tenaga Kerja, polis, MIC, Union.

Terdapat juga gangguan dari samseng (dihantar oleh MIC) tetapi rakyat berjaya meneutralkan mereka malah sebelum kami pergi ke ladang tersebut.

Menariknya, Jabatan Tenaga Kerja hairan dengan tindakan kami kerana mengikut pandangan mereka, penduduk tidak menghadapi sebarang ‘masalah’. Menurut mereka semua pekerja telah ditempatkan semula dengan pekerjaan disambung di Ladang Boon Hean (sekali dengan perumahan juga). Misteri disebalik pemahaman mereka akan diterangkan.

Sementara itu polis menjemput jawatankuasa penduduk untuk satu mesyuarat. Dalam mesyuarat itu, OCPD ketika itu Zakaria (juga dikenali sebagai Tuan Zack) teruk-teruk memarahi jawatankuasa tersebut dengan bahasa kesat malah memberi amaran kepada mereka akan ditangkap dan dimasukkan dalam lokap. (En. Zakaria ini kemudian beliau menjadi OCCI untuk KL dan dia adalah pegawai yang bertanggungjawab untuk tangkapan di Kg. Udara semasa pengusiran paksa), Selepas mesyuarat itu, pekerja sememangnya takut dengan ugutan-ugutan yang dibuat, namun mereka beranikan diri untuk membuat satu laporan polis terhadap OCPD. Ini adalah proses memperkasakan rakyat.

Yang menarik ialah ialah apabila jawatankuasa itu keluar dari balai polis, Ketua Polis Daerah yang tidak menyedari laporan mereka, menjerit ke arah mereka, ‘mengapa kamu tidak meninggalkan ladang itu lagi?’. Bagaimanapun, akhirnya, dia turunkan nada dia. Kemudian, kami juga membuat laporan di Bukit Aman dan mereka telah menyerbu Balai Polis Klang.

NUPW dan MIC memainkan peranan yang sama – memaksa penduduk untuk terus bekerja di Ladang Boon Hean.

Piket yang dibuat telah memberi kesan kepada pemilik ladang kerana mereka sepatutnya menyerahkan milikan kosong kepada pemaju. Dia memanggil kami untuk mesyuarat. Mereka menawarkan RM3000 bagi setiap pekerja untuk perbelanjaan berpindah. Saya berada di mesyuarat itu juga dan kami menolak tawaran itu.

Dalam pada itu, kami terus berurusan dan mengadakan rundingan dengan pemaju melalui kontraktor mereka. Ini adalah penting untuk memastikan mereka tidak mengambil tindakan melampau untuk menyelesaikan masalah. Harapan dan keyakinan itu penting. Mereka membuat satu tawaran RM5000 dan ada sekali mereka berkata, ‘akan menambah RM5 000 lagi’. Respon kami, ‘tidak boleh diterima.’

Akhirnya, Kerajaan Negeri telah memanggil kami untuk satu mesyuarat. Ini adalah pada Mac 1991. Ketua Menteri (Mat Taib) hampir mengulangi kata-kata dan gaya Tuan Zakaria. Pekerja keluar dari mesyuarat tanpa memberi apa-apa janji atas alasan mereka tidak mempunyai mandat. Ketua Menteri itu minta pekerja segera mengosongkan tanah itu.

Kami teruskan piket. Pada masa ini, terdapat satu pengumuman daripada kerajaan negeri mengenai dasar perumahan baru bagi pekerja ladang, dimana ladang-ladang itu dijual untuk pembangunan. Pengumuman ini telah mengakhiri segala intimidasi daripada pihak lain.

Dengan dasar ini, semua ladang mesti menyediakan perumahan alternatif kepada pekerja-pekerja mereka jika mereka menjual atau menukarkan status tanah ladang untuk tujuan pembangunan.

 

Penduduk Menentang Pemaju

Dalam salah satu mesyuarat jawatankuasa, kami mengambil keputusan untuk melindungi kawasan 100 meter perimeter daripada ancaman pencerobohan. Pengepungan, kawasan keselamatan, tidak boleh diceroboh oleh pemaju untuk kerja-kerja pembangunan mereka. Jawatankuasa itu juga memutuskan untuk membuat rondaan malam selepas menerima beberapa ancaman dari phak pemaju bahawa mereka mahu membakar rumah-rumah penduduk.

Kuil Hindu agak terpencil sedikit dari kawasan perumahan, pemaju telah cuba merobohkan sebahagian dari kuil. Ini mencetuskan kemarahan penduduk. Pertama kali seluruh masyarakat dari segenap umur bersatu menentang pemaju (bayangkan keadaan pemandu traktor yang sedang merobohkan sebahagian kuil itu!). Orang ramai mula mengejar traktor dan pemandu itu terus tinggalkan traktor dan berjaya melarikan diri.

Sekitar pertengahan April 1991, penduduk menerima saman mahkamah dari pihak pemaju untuk dapatkan pemilikan kosong. Saman mahkamah ini telah memaksa kami untuk melakukan sedikit kerja rumah dan kajian. Hasilnya, kami mempelajari bahawa Kanun Tanah Negara, Seksyen 214 (a) – peruntukan mengenai Lembaga Tanah Ladang untuk memastikan dan melindungi pekerja ladang apabila dilakukan fragmentasi tanah atau dipaksa pindah, yang telah digubal sekitar tahun 60-an. Ini adalah kerana pemecahan tanah perladangan dan pemindahan pekerja berleluasa. Pemasukan (a) bermaksud ia adalah satu pindaan yang dibuat kemudian. Semua perladangan yang melebihi saiz tertentu perlu membuat permohonan kepada Lembaga Tanah Ladang bagi kelulusan untuk membangunkan semula tanah perladangan. Ia memerlukan mereka mengisytiharkan status pekerja termasuk perkara-perkara seperti pusat jagaan kanak-kanak, kuil dan perkara lain di ladang. Aplikasi ini perlu ditandatangani oleh kedua-dua pembeli dan penjual.

Siapa Menganggotai Lembaga Tanah Ladang?

Menteri Besar, Setiausaha Kerajaan Negeri dan beberapa orang lain. Untuk Ladang Sg. Rasah, permohonan itu telah dimasukkan lewat tahun 1990 (sebelum pilihanraya umum). Ia telah diluluskan oleh Lembaga Tanah Ladang untuk meneruskan urus niaga.

Apa yang mengejutkan kami adalah, menurut permohonan ini kesemua pekerja telah ditempatkan semula dan dibekalkan dengan pekerjaan, perumahan alternatif dan faedah penamatan kerja. Ini adalah salah satu daripada kes pertama di mana syarikat perladangan (Sime Darby) menawarkan pekerjaan yang berterusan selepas membayar faedah penamatan. Jangkaan mereka adalah untuk orang mengosongkan tanah itu tetapi itu tidak berlaku. Jadi, adalah salah bagi Lembaga Tanah Ladang untuk memberi kelulusan. Nampaknya mereka mempunyai kohort dan dirancang dengan baik dan sekarang anda tahu mengapa Jabatan Tenaga Kerja hairan dengan tindakan piket penduduk!

Dengan penemuan ini, kami mengambil keputusan untuk ‘perang habis-habis’ dengan semua pihak yang komplot terhadap penduduk – Kerajaan Negeri, Pemilik Ladang dan Pemaju. Menjelang Jun 1991, penduduk telah membuat hampir 12 laporan polis terhadap semua gangguan, ancaman dan pencerobohan. Di antara Ogos-Oktober 1991, kami membuat laporan BPR. Satu bulan selepas laporan BPR, Ho Hup (kontraktor utama bagi syarikat pembangunan yang juga pemegang saham) memanggil kami untuk mesyuarat.

Pada 13 September 1991, Kampung Sentosa (di Jalan Klang Lama) telah dirobohkan dan pada hari itu Dr Nasir Hashim sepatutnya memimpin. Jawatankuasa Sg. Rasah untuk membuat laporan tatatertib terhadap balai polis Klang di Bukit Aman pada kira-kira jam 2.30 petang.

Pada pagi 13 Sept, Dr. Nasir menerima panggilan daripada penduduk Kampung Sentosa ketika beliau berada di tempat kerjanya, UKM. Menurut panggilan telefon, DBKL dan polis telah mengepung tempat itu dan perobohan rumah-rumah akan berlangsung bila-bila masa. Saya menerima panggilan dari Nasir juga. Nasir bergegas ke Kampung Sentosa. Perobohan sedang dijalankan. Nasir telah ditangkap pada kira-kira 9:30 pagi bersama-sama dengan 30-40 orang lain dan dibawa ke balai polis Brickfields. Saya tiba di Kampung Sentosa selepas penangkapan itu. Atas sebab itu, saya terpaksa pergi bersama dengan Jawatankuasa Sg. Rasah untuk membuat laporan di Bukit Aman.

Kira-kira 13 orang daripada kami pergi. Rakaman kenyataan mengambil masa selama 6 jam. Apabila kami selesai, jam sudah lebih 7 malam. Sementara itu, di ladang pula banjir teruk  disebabkan kerja-kerja pembangunan. Oleh itu, Pegawai Daerah dan Ketua Polis Daerah (Baru) telah turun dengan segera melihat keadaan. Pada masa inilah, OCPD memberitahu penduduk bahawa Bukit Aman (unit Tatatertib) menyerbu balai polis Klang. Satu berita yang sungguh baik namun diluar jangkaan kami!

Dalam minggu yang sama, semasa berada di Kg. Sentosa, saya menerima panggilan daripada Jawatankuasa Sg. Rasah bahawa,“Boss Ho Hup berada di ladang, beg penuh dengan wang, dia mahu menyelesaikan masalah kami, sekarang juga secara tunai”. Penduduk Sg. Rasah tergamam dan tidak dapat percaya apa yang sedang berlaku di sekeliling mereka. Saya pergi ke sana dengan mengambil pengangkutan awam dan sampai 2 jam kemudian. Kami bertemu dengan pengurus Ho Hup yang mahu menyelesaikan perkara itu dengan segera. Kami meminta masa untuk mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat.

Seperti yang dirancang, rundingan berlaku dengan Encik Low Chee (Ho Hup BOSS) bersama dengan ahli-ahli Jawatankuasa. Beliau tawarkan RM5000 tunai dan bertanya kami apa lagi yang kami mahu. Kami menjelaskan bahawa kami sudah mempunyai tawaran RM10,000 sebelum ini.

En. Low berkata ‘pantat saya sudah keluar api.’ Penentangan daripada rakyat telah mendedahkan ramai orang yang mempunyai kepentingan dalam projek pembangunan dan menyebabkan siasatan oleh BPR dan polis. Jadi, untuk menutup isu ini, mereka perlu menyelesaikan masalah penduduk Ladang Sg. Rasah. Kemudian dia tawarkan 15,000 dan saya terus membantah dan berkata, “sebarang amaun kurang daripada RM25,000 tidak guna dirunding! Beliau menerima dan kami terkejut, namun saya mencadangkan RM30, 000 dan dia memuktamadkan perjanjian pada RM27, 500. Rumah Ganti ditawarkan di Puchong Perdana, pada harga RM25,000. Beliau juga bersetuju memberi pampasan untuk penempatan semula kuil iaitu RM30,000. Untuk sambutan kemenangan, dia memberi RM6,000. Apabila saya menerima RM6,000 tangan saya menggeletar kerana ia hanya 6 nota dan buat pertama kali saya lihat sehelai kertas bernilai satu ribu wang ringgit !!!

Perjanjian jual beli rumah dan sambutan kemenangan dilakukan pada tahun 1991 pada hari Deepavali di tanah ladang Sg. Rasah. Satu peristiwa penuh dengan emosi. Semasa kita masuk dalam perjuangan ini, tuntutan kami sangat asas – rumah alternatif dan pampasan yang munasabah. Tetapi bagaimana kita boleh mengira pampasan yang munasabah untuk satu masyarakat yang telah membanting tulang selama tiga generasi. Perumahan alternatif percuma adalah pampasan yang adil untuk mereka. Pendekatan kami dalam kerja mengorganisasi dan mengatur pekerja, selepas kemenangan ini berubah sama sekali. Pada mulanya, peranan aktivis itu adalah sulit/rahsia tapi sekarang kita bekerja secara terbuka.

(V. Paneerselvam, seorang aktivis buruh sejak berumur 17 tahun. Pada tahun 1984, beliau menyertai Biro Buruh INSAN dan memainkan peranan penting dalam mengatur pekerja. 1987, beliau menyertai Parti Sosialis Rakyat Malaysia (penolong setiausaha cawangan Brickfield). Beliau telah keluar dari PSRM pada tahun 1990 atas dasar prinsip apabila parti mengeluarkan nama “Sosialis” menjadi Parti Rakyat Malaysia (PRM) . Pada tahun 1991, SWP (Suara Warga Pertiwi) ditubuhkan dan perjuangan bersejarah SWP adalah kemenangan pekerja Ladang Sg. Rasah. Dr. Nasir bersama Selvam juga telah mengasaskan JSPB (Jawatankuasa Sokongan Peneroka Bandar) pada tahun 1995. Dalam zaman kegemilangan JSPB (1995-1998),lebih daripada 40 komuniti peneroka Bandar di Lembah Klang telah dibantu dalam perjuangan hak perumahan. Beliau merupakan salah seorang pengasas Parti Sosialis Malaysia (1998) dan masih memegang jawatan sebagai Ahli Jawatankuasa Pusat.)

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *