500 Keluarga Kuala Kuang Melawan Balik Hak untuk Bernafas

Oleh K. Kunasekaran

23 April 2004, merupakan satu hari bersejarah dan bermakna kepada 500 keluarga di Kampong Baru Kuala Kuang dekat Chemor.  Setelah bertungkus lumus dan berazam untuk enam tahun, akhirnya kemenangan tiba juga di kampung  baru ini. Hari ini satu perjanjian bersama yang akan menceriakan hati penduduk Kampung Kuala Kuang telah mengambil tempat apabila Peguam Rusnah & Loh (peguam Kilang Chip Lam Seng) menandatangani satu perjanjian dengan Peguam penduduk saudari Meena Raman. Upacara bersejarah ini turut dihadiri oleh Timbalan Pengerusi PSM M. Sarasvathy.

Pengerusi Jawatankuasa Anti Bau Busuk, Saudara Chai Sin Cheong amat gembira dan amat berterimakasih kepada Alaigal dan PSM dan beliau sering mengulangi bahawa jika kedua pihak ini tidak melibatkan diri sejak 1999, maka sukar mendedahkan masalah ini kepada umum dan mengheret pihak syarikat  Chip Lam Seng ke Mahkamah.

Penyelesaian diluar mahkamah ini tidak jatuh dari langit begitu sahaja. Ia melibatkan satu berjuangan berterusan, beberapa demontrasi, puluhan memorandum dan surat bantahan kepada kerajaan negeri dan Jabatan Kerajaan dan ratusan aduan polis dan mesyuarat-mesyuarat semasa. Pernah juga AJK dan aktivis sosial ditahan polis.

Kes ini akhirnya dibawa ke mahkamah oleh penduduk dan tarikh perbicaraan penuh telah ditetapkan pada 10 hingga 15 Mei. Peguam penduduk adalah Meena Raman dan Deviyanai, dari Persatuan Pengguna Penang (CAP).

Namun bahang kes terlalu panas sehingga pihak kilang terpaksa membuka ruang dan mengalah. Antara terma-terma penting yang dicapaikan dalam persetujuan bersama adalah seperti berikut :- 

·         Kilang getah ini akan ditutup dan menghentikan operasinya secara penuh dan pindahkan ke kawasan perindustian Khantan sebelum 30-3-2005

·         dalam 21 hari dari tarikh perjanjian ini, pihak  kilang ini dengan sepenuhnya menghentikan penggunaan asid  sulfrik dan tukar kepada asid formik yang menyebabkan bau busuk.

·         dalam 21 hari dari tarikh perjanjian ini, pihak kilang juga memasukan sejenis bahan kimia di kolam air yang menakung getah air untuk mencairkan atau menghapuskan bau busuk dari kolam tersebut.

·         pemantauan akan dilakukan oleh Jabatan Alam Sekitar dan data bacaannya akan dihantarkan kepada peguam Plaintif.

·         dalam tempoh 90 hari dari tarikh pindahan kilang itu (30-3-2005),kolam-kolam tesebut ditutup dengan lengkap dan kawasan itu ditanam dengan pokok-pokok

Pihak kilang juga membayar yuran peguam Plaintif RM25, 000 dalam tempoh 7 hari dari tarikh perjanjian ini.

Latar Belakang Kampung Kuala Kuang

Para penduduk Kampung Baru Kuala Kuang ini mula menetap di kawasan ini sejak zaman penjajah British pada tahun 1940an dalam satu rancangan penyusunan semula yang dilaksanakan oleh penjajah pada masa itu. Selepas kemerdekaan, kampung ini mula diiktiraf oleh kerajaan dengan mengeluarkan hak milik tanah kepada setiap keluarga yang mendudukinya dan juga membekalkan segala kemudahan asas.

Kemudahan-kemudahan lain seperti sekolah, pasar, kuil dan dewan komuniti juga wujud di kampung ini. Kemudian, lebih kurang pada tahun 1979, kilang getah Chip Lam Seng mula beroperasi berhampiran kawasan perumahan kami.Pada masa itu,kilang ini hanya menjalankan perniagaannya secara kecil-kecilan. Disamping itu,bangunan kilang itu juga amat kecil dan hanya  digunakan untuk memproses getah kering sahaja. Namun,mulai tahun 1990an  kilang itu mempergiatkan perniagaanya  dan menambahkan  bangunan kilang. Jarak kilang ini di lebih kurang8 kaki sahaja dari kediaman penduduk.

 

Ancaman Kesihatan dari Kilang Getah Chip Lam Seng

Akibat pengeluaran bahan toksik dari kilang ini menyebabkan ramai di kalangan penduduk kampung ini sentiasa menghadapi dengan masalah kesihatan seperi berikut:-

o   kulitnya gatal

o   sesak nafas akibat menghidu bau asid

o   matanya pedih

o   hidungnya sakit

o   bunyi bising yang kuat

o   kain-kain yang tersidainya menjadi kotor dan berbau

o   udara tercemar

o   tidak selera makan dan tidur

o   anak-anak kecil dan pelajar-pelajar sering sakit

           

Sejak tahun 1995 sehingga sekarang pihak penduduk telah mengadu dan membuat laporan dan juga menghantar surat serta MEMORANDUM kepada pihak-pihak berikut:-

·         Jabatan Alam Sekitar

·         Menteri Alam Sekitar

·         Berjumpa dengan pelbagai ahli politikdari pelbagai parti

 

Tetapi segala usaha  menjadi buntu dan tidak ada mana-mana pihak seperti diatas mengambil tindakan dalam isu ini.

 

Minta Bantuan Alaigal dan PSM 

Selepas itu, Jawatankuasa Baru di lantik dan En. Chai Sin Cheong menjadi Pengerusi Anti Bau Busuk. Pada tahun 1999 , Jawatankuasa Anti Bau Busuk telah meminta bantuan dari Alaigal dan PSM. Alaigal dan PSM masuk ke Kampung Kuala Kuang untuk bersama-sama mengatur langkah. Mesyuarat kemudian diatur setiap minggu yang turut dihadiri oleh aktivis Alaigal dan PSM.

Penduduk mula mengatur langkah dan membuat aduan-aduan polis dan menghantar beberapa surat kepada bekas Menteri Besar Peak, Tan Sri Ramli Ngah Talib dan juga Jabatan Alam Sekitar.

Kemudian satu perhimpunan seramai lebih 1000 diadakan dihadapan Pejabat kerajaan negeri. FRU dikerah untuk meleraikan penduduk. Tapi penduduk yang berani dan memahami perjuangan  tidak gentar dan semakin berani. 

Penduduk Kuala Kuang yang berani ini kemudian telah mendirikan khemah bantahan di tepi Jalan raya Kuala Kuang memasang sepanduk-sepanduk dan kain rentang. Khemah tepi jalanraya ialah tanda bantahan bahawa kawasan perumahan mereka tidak selamat.

 

Mentri BesarBaru…Janji Baru 

Selepas pilihanraya (1999) Tajol Rosli dilantik sebagai Menteri Besar Baru. Disebabkan terdesak, pada 8-3-2000 beliau telah memanggil semua pihak yang terbabit dalam isu ini hadir ke mesyuarat bagi menyelesaikan masalah yang  berlarutan di kampung ini.

 Akhirnya, Menteri Besar mengarahkan pihak pengurusan kilang getah Chip Lam Seng supaya perpindah dari kediaman kampung ini dalam tempoh dua tahun dari tarikh  keputusan majlis mesyuarat Exco  15-3-2000. Kerajaan Negeri juga telah menawarkan 25 ekar tanah di kawasan Khantan Baru untuk penempatan semula. Disamping itu,bagi memudahkan segala proses kelulusan pelan dan sebagainya, Menteri Besar sendiri berjanji akan mengawasi bagi menyegerakan proses tersebut. 

Namun, penduduk semakin resah apabila kerja-kerja pembangunan tanah belum dijalankan oleh kilang itu. Walaupun Kerajaan Negeri telah memberi tapak alternatif baru,pengurusan kilang itu tidak serius dan tidak nampak sebarang usaha untuk berpindah ke kawasan baru. Sementara itu, bau busuk semakin lama semakin kuat dan menghantui penghuni kampung ini. 

 

Aktiviti Menanam Papan Tuntutan

Para penghuni kampung amat bimbang dan rasa sangsi dan pada ulangtahun pertama, penduduk  dimana pada 1hb April 2001,  penduduk Kuala Kuang berkumpul di kampung mereka untuk memacak PAPAN TUNTUTAN YANG MERANGKUMI 4 PERKARA UTAMA seperti berikut :-

(a)    Pindahkan Kilang Getah Chip Lam Seng Dalam Tempoh 2 Tahun Mulai Dari 15-3-2000  Hingga 31-3-2002

(b)   Jabatan Alam Sekitar Menubuhkan Satu Pejabat Sampingan(Site Office) Untuk Memantau Tahap Pencemaran  Sehingga Kilang Itu Dipindahkan.

(c)    Setelah Kilang Itu Dipindahkan, Kerajaan Negeri  Perak Harus Menukarkan  Status Tapak Tanah Kilang Itu  Kepada  Tanah Pertanian Atau Perumahan.

(d)   Jika Kilang Itu Tidak Berpindah Dalam Masa Yang Ditetapkan, Maka Kerajaan Negeri Harus Menutup Operasi Kilang Itu Dan Terus Mendakwa di  Mahkamah.

 

Tindakan ini mendapat reaksi ganas dari pihak Kerajaan. Pada hari tersebut para penduduk dihalang oleh pihak polis dan 4 orang Jawatankuasa Anti Bau Busuk di tangkap oleh polis atas tuduhan perhimpunan haram termasuk saudara Segar. Kes ini masih berlanjutan dimana tarikh perbicaraan seterusnya adalah pada 25-6-2004.

 

Selain daripada itu, polis mula meningkatkan gangguan kepada pihak AJK yang mengadakan mesyuarat mingguan di khemah tepi jalan dan aktiviti mereka. Penduduk tidak gentar membuat aduan polis terhadap pihak polis.  Tuan kedai yang memberikan bekalan elektrik ke khemah telah diugut dan akhirnya elektrik dipotong. Namun akhirnya lampu dapat dipasang semula.


Polis Membuat Aduan Polis Terhadap Alaigal

Sungguh peliknya, Alaigal yang membantu penduduk Kuala Kuang inidisekat dan diugut oleh pihak polis dengan membuat aduan rasmi kepada pihak Pejabat Pendaftran atas tuduhan menghasut penduduk Kuala Kuang dan aktiviti anti kerajaan. Alaigal disaman hadir ke pejabat pendaftran untuk disoal siasat. Alaigal mencabar pihak pendaftaran dan sehinggan ini tiada perkembangan seterusnya. 

Namun sepanjang minggu pilihanraya dan dalam setiap peluang yang diperolehi para penduduk sentiasa mengutarakan isu mereka. Akhirnya kilang getah itu mengalah juga. 

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *